21November2019

Agenda Daily

DARI HAL KIASU DAN MASA DEPAN ORANG MELAYU...

Sekarang ini kita sedang menyambut Bulan Kemerdekaan Malaysia yang ke 48. Tapi sejauh manakah generasi muda dan kita semua ahli masyarakat Melayu benar-benar peka dan memahami mengenai erti sebenar sambutan kemerdekaan yang kita sambut saban tahun ini ?

 


Apakah kita semua sudah puas hati dengan pengisian dan kemajuan yang dicapai oleh orang Melayu sejak kita merdeka 48 tahun yang lalu kalau dibandingkan dengan kaum lain ?

Tahukah kita apakah cabaran-cabaran masa depan orang Melayu sepuluh tahun, lima puluh tahun, seratus tahun malah seribu tahun lagi? Tahu dan sedarkah kita bahawa orang Melayu sedang berhadapan dan bersaing dengan kaum-kaum lain di negara ini yang tamadun mereka berumur beribu-ribu tahun. Ketahanan dan ' resilient' serta 'survival instinct' mereka adalah berlipat kali ganda lebih kuat dari masyarakat kita.

Sedar atau tidak pada peringkat massa tidaklah penting. Yang penting dan utama ialah kita samaada pemimpin-pemimpin politik, pemimpin-pemimpin masyarakat, tokoh-tokoh cendekiawan, tokoh-tokoh pentadbiran awam, tokoh-tokoh korporat dan usahawan dan pemimpin-pemimpin NGO sebagai gulungan elit bangsa haruslah membuat satu perancangan jangka panjang orang Melayu. Jika perlu beberapa tindakan drastik dan berani harus dilakukan secara hikmah demi ' survival' orang Melayu. Ini akan mengelakkan masyarakat Melayu supaya tidak akhirnya terpinggir di negara asal mereka sendiri.

Ada banyak contoh di mana masyarakat pribumi sesuatu negara itu terpinggir dan terhakis kedudukan mereka akibat pertembungan dengan masyarakat pendatang yang lebih aggresif dan mempunyai kelebihan ilmu, sains dan teknologi.

Contoh yang terdekat ialah Singapura. Dalam Kabinet Kerajaan Singapura ada dua puluh orang menteri. Orang Melayu 14 % dari jumlah penduduk ada hanya seorang Menteri Melayu, Dr Yaacob Ibrahim yang bertanggungjawab mengenai Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air dan juga merangkap Menteri Hal Ehwal Masyarakat Islam.

Orang Cina (76 % penduduk Singapura) mempunyai enam belas orang Menteri. Orang India (10 % ), mempunyai tiga orang Menteri. Seorang darinya, Profesor S Jayakumar adalah seorang Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Undang-Undang. Nyata sekali orang Melayu di Singapura sudah hilang dan tiada 'political leverage' mereka. Dalam proses 'social engineering ' yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew , tapak kampung-kampung Melayu seperti Geylang, Bedok dan lain-lain telah didirikan banyak bangunan apartment bertingkat-tingkat. Orang Melayu telah dipecah-pecahkan kepada dua atau tiga keluarga di setiap blok apartment.

Akibatnya tiada kawasan parlimen yang majoriti orang Melayu. Jadi hilanglah kuasa politik Melayu oleh perancangan kerajaan Singapura yang serba halus tapi amat efektif ini. Mungkinkah perkara yang sama akan berlaku di Pulau Pinanag, Selangor dan Johor dalam masa tiga puluh atau lima puluh tahun lagi ? Tidak mustahil jika tiada sebarang tindakan diambil sekarang ini juga.

Contoh lain seperti apa yang kita lihat berlaku hari ini kepada orang Palestin yang nampaknya kian hari kian hilang negara asal mereka akibat dari kotak-katik kerajaan Israel pimpinan Ariel Sharon yang disokong kuat dan sepenuhnya oleh Amerika Syarikat.

Begitu juga contoh masyarakat terpinggir lain seperti masyarakat pribumi Kepulauan Hawaii, masyarakat Red Indian di Amerika Syarikat, masyarakat Champa di Kampuchea, masyarakat kaum asli di Australia dan kaum Maori di New Zealand. Bak kata Allahyarham Aminuddin Baki adakah kita mahu " ayam di kepok mati kelaparan dan itik di air mati kehausan " ? Atau masihkah lagi berlaku " kera di hutan disusukan , anak di rumah mati kelaparan" ?

Apakah kuasa politik yang dipegang oleh orang Melayu hari ini dapat kekal menyelamatkan orang Melayu selama-selamanya. Ini adalah antara persoalan-persoalan yang harus difikirkan oleh bukan sahaja cendiakawan dan ahli-ahli intelek Melayu bahkan pemimpin-pemimpin politik, ketua-ketua jabatan kerajaan dan tokoh-tokoh korporat dan usahawan Melayu seluruhnya. Dan proses pemikiran dan perancangan ini bukanlah boleh bermusim-musim sahaja tetapi haruslah berterusan.

Agak menarik baru-baru ini dalam wawancaranya didalam akhbar Mingguan Malaysia , Professor Di Raja Engku Aziz , antara lain, telah menasihatkan masyarakat Melayu supaya bersifat lebih kiasu dari orang China. “ Kiasu ” ini maknanya lebih kurang satu sifat di kalangan orang Cina yang tidak mahu atau mudah mengalah atau tidak mudah memberi laluan kepada orang lain atau ' selfish ' atau menjaga kepentingan sendiri sahaja..

Kebetulan pula saya ada berjumpa dan bersembang lama dengan seorang teman British di sebuah restoran makanan Malaysia di Edgware Road,London Sahabat saya ini selalu dan biasa datang ke Malaysia kerana arwah isterinya adalah saorang wanita Melayu yang berasal dari Johor Bahru. Beliau telah memberikan pendapat berikut mengenai ketiga kaum di negara kita, iaitu “ The Malays are warmth, the Chinese are particular while the Indians are emotional ”.

Bila saya rujuk Oxford English Dictionary saya, makna perkataan-perkataan yang digunakan itu membawa makna bahwa orang Melayu adalah baik, peramah dan cepat simpati, orang China berkira, memilih dan cerewet sementara orang India pula cepat mengikut perasaan dan penyedih.

Apabila dikaitkan kenyataan kawan British saya ini dengan pandangan Pak Engku jelas saranan Pak Engku itu supaya orang Melayu harus lebih bersifat kiasu adalah bersesuaian. Orang Melayu hendaklah bersifat sentiasa waspada dan selalu menjaga kepentingan dan hak mereka dan tidak mudah memberi laluan senang kepada kaum lain. Ini tentunya akan mengurangkan kehakisan hak dan kepentingan orang Melayu sendiri.

Kalau kita lihat hari ini banyak industri di negara ini yang telah dikuasai sepenuhnya oleh tokoh-tokoh korporat dan usahawan Cina. Misalnya seperti industri pembuatan, pembinaan, pemaju perumahan dan hartanah, franchise dan sebagainya. Penyertaan orang Melayu dalam setengah-setengah industri ini hanyalah melalui syarikat-syarikat milek kerajaan (GLCs) samaada diperingkat kerajaan pusat atau kerajaan negeri. Contohnya pemaju perumahan dan hartanah seperti SimeUEP adalah kepunyaan Sime Darby yang dikuasai oleh Perbadanan Nasional Bhd. Begitu juga Guthrie, Golden Hope. Pada peringkat GLC negeri pula ialah Kumpulan Hartanah Selangor kepunyaan Kumpulan Darul Ehsan Berhad yang dipunyai oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Jumlah penyertaan orang Melayu secara individu boleh dikira dengan tangan dan itu pun dengan bantuan Kerajaan. Tidak ada apa-apa bantuan dari orang bukan Melayu seperti perjanjian kontrak sosial pada 1955 itu.

Walaupun ekonomi Malaysia ini rata-rata di monopoli oleh satu kaum, mereka belum puas hati. Inilah sifat kiasu yang harus juga ada orang Melayu seperti saranan Pak Engku Aziz.

Semasa ucapan dasarnya sebagai Presiden MCA, Dato Seri Ong Ka Ting telah meminta kerajaan membuka peluang kepada peniaga-peniaga bukan Melayu dalam tiga jenis industri. Satu dari industri tersebut ialah bidang minyak dan gas.

Juga kebelakangan ini telah mula dipertikaikan mengenai perjanjian sosial atau 'social contract ' antara kaum yang berlaku pada tahun 1955 menjelang Tanah Melayu menuju ke arah kemerdekaan. Melalui kontrak sosial inilah orang Melayu telah bertolak ansur dan bersedia memberikan kerakyatan kepada bukan Melayu. Dan sebagai balasannya orang bukan Melayu yang menguasai bidang ekonomi berjanji akan membantu orang Melayu meningkatkan kedudukkan ekonomi mereka supaya setanding dengan bukan Melayu.

Perlu dingat bahawa sebelumnya semasa orang Melayu menentang konsep Malayan Union yang dicadangkan oleh British apabila mereka kembali semula ke Tanah Melayu, orang Melayu tidak bersetuju memberikan kerakyatan kepada kaum pendatang.

Negara Brunei Darussalam adalah lebih bijak dalam hal ini dari kita kerana mereka tidak memberi taraf kerakyatan kepada kaum pendatang atau ‘i mmigrant ’ di negara mereka. Jumlah masyarakat pendatang sebanyak setengah juta hanya mendapat taraf penduduk tetap. Jadi tentunya mereka tidak ada kuasa untuk mengundi.

Ini yang perlu dihebahkan kepada kalangan generasi muda bukan Melayu hari ini yang lahir pada tahun 60an ,70an dan 80an yang telah mula mempersoalkan kontrak sosial tersebut. Bahkan pemimpin politik orang Cina seperti Dato’ Seri Lim Keng Yeik turut ternyata kurang arif mengenai sejarah atau mereka memang berniat untuk menukar dan mengubah fakta sejarah seperti apa yang dilakukan oleh Jepun mengenai keganasan mereka semasa Perang Dunia Kedua.

Kononnya sebagai rakyat Malaysia mereka tidak mendapat layanan yang saksama.

Apa yang mereka lupa ialah kontrak sosial itu adalah yang menjadi asas penting dalam konsep perkongsian kuasa Kerajaan Perikatan pada saat kemerdekaan Tanah Melayu (kemudiannya Malaysia) selepas British berundur.

Peristiwa 13 Mei 1969 tercetus akibat perarakan besar-besaran mengelilingi seluruh Kuala Lumpur termasuk Kampung Baru, Kampung Pandan dan lain-lain kawasan Melayu oleh penyokong-penyokong parti pembangkang iaitu Gerakan, DAP dan Partai Sosialis yang bersifat provokatif dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang Melayu.Ini selepas parti pembangkang dapat sama kerusi di Dewan Undangan Selangor.

Kerajaan Perikatan telah berubah menjadi Kerajaan Barisan Nasional bila Majlis Tindakan Negara (Mageran ) dibubarkan dan Parlimen mula bersidang semula.Barisan Nasional mengekalkan konsep perkongsian kuasa yang sama seperti Parti Perikatan. Konsep inilah yang telah berjaya memberikan keamanan dan keharmonian untuk mencetuskan pembangunan Malaysia yang pesat seperti apa yang kita lihat hari ini.

Pihak-pihak yang mempertikaikan kontrak sosial ini cuba menimbulkan balik slogan Lee Kuan Yew semasa Singapura masih berada di dalam Malaysia iaitu konsep ' Malaysian Malaysia' nya yang sampai hari ini masih menjadi pegangan DAP pimpinan Lim Kit Siang. Walaupun DAP kononnya parti berbilang kaum tapi ia sebenarnya satu parti chauvanis Cina. Begitu juga Gerakan.

Hakikatnya Melayu sudah banyak bertolak ansur dengan bukan Melayu. Kerakyatan sudah diberikan kepada bukan Melayu. Mereka sekarang adalah rakyat Malaysia yang sama taraf dengan rakyat Melayu dan Bumiputra sedangkan kedudukan ekonomi Melayu masih di tahap yang membimbangkan ' survival' orang Melayu sendiri. Dan tiada nampak apa-apa bantuan dari orang bukan Melayu untuk menaikkan ekonomi Melayu seperti yang di janjikan pada tahun 1955 dahulu.

Pada pandangan saya adalah jelas iaitu kita wajar baik berpada-pada demi menjaga kepentingan dan kebajikan orang Melayu terjamin dan terpelihara.Kaum-kaum lain yang banyak mendapat nikmat yang melimpah ruah di negara ini pula sepatutnya harus sentiasa mempunyai perasaan bersyukur dan berterima kasih dan tidak meminta ditambah bermacam-macam lagi dan mendakwa itu ini tidak adil bila tak dapat.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 291  tetamu dalam talian