26Mei2020

Agenda Daily

Antara Hulu Selangor dan Kubang Pasu

Saya dan isteri saya mempunyai satu persamaan yang jarang kedapatan. Kami berdua dari daerah sempadan. Saya dari Hulu Selangor yang merupakan daerah sempadan antara Selangor , Perak dan Pahang. Sementara isteri saya pula dari Kubang Pasu iaitu daerah sempadan Kedah dengan Thailand dan juga negeri Perlis.

 

Ayah saya walaupun dari Selangor tetapi oleh kerana memasuki SITC (Mabtab Perguruan Sultan Idris) telah tertambat hatinya dengan ibu saya iaitu seorang pelajarnya di Sekolah Latihan SITC.

Sementara arwah bapa mertua saya Hj Idris merupakan seorang yang serba boleh. Dari seorang guru silat kemudian membawa lori, menjadi pedagang dengan orang Siam membawa masuk barang-barang dari Siam untuk dijual di Malaysia dan kemudianya menjadi orang kuat kepada saorang Murshid, Tarikat Naqsabandiah.

Begitu juga sebelah keluarga saya daripada arwah aki , wan dan ayah saya juga adalah ahli Tarikat Naqsabandiah dan biasa bersuluk di Dong , Pahang pada tahun 50an . Inilah pengalaman dan asam garam hidup orang sempadan. Begitu juga apabila Sultan Perak suatu masa dahulu mengistiharkan Hari Raya Aidil Fitri satu hari lebih awal dari negeri-negeri lain ramai orang Hulu Bernam yang berhariraya sama di Tanjong Malim .

Saya dilahirkan di Kampong Sg Manggis dekat Kalumpang beberapa tahun selepas Jepun mengaku kalah kepada Pihak Bersekutu. Ayah saya berasal dari Kampong tersebut sementara ibu saya kelahiran Tanjong Malim.

Saya difahamkan ibu kepada emak saya yakni wan saya adalah Orang Rawa yang berasal dari Temerloh, Pahang. Mengikut kisahnya unyang saya sebelah emak cantik dan putih orangnya dan dari golongan senang,

Satu hari seorang yang susah dan berkulit gelap yang tinggal dalam rumah sampan di Sungai Pahang , Temerloh , telah terpikat dengan unyang saya lalu ia masuk meminang.

Tentunya pinangan tersebut ditolak dengan kata-kata kesat dari keluarga unyang saya. Sebagai reaksi dan reaksi begini biasa pada zaman dahulu (tidak tahu reaksi seperti ini masih ada lagi sekarang? ) beliau telah mengilmu unyang saya lalu unyang saya pun terpikat dengannya.

Mereka kemudiannya berkawin dan suami isteri tersebut telah lari ke Tanjong Malim untuk memulakan penghidupan baru. Demikianlah cerita yang sampai kepada kami generasi dibawah.

Bandar Tanjong Malim, Perak adalah bandar sempadan yang dipisahkan dari Ulu Bernam, Selangor oleh Sungai Bernam yang luasnya lebih kurang 30 hingga 40 meter sahaja.

Walaupun rumah saya di Ulu Bernam tapi oleh kerana pejabat pos di Tanjong Malim jadi alamat pun menggunakan Tanjong Malim, Perak Darul Ridzwan.

Akibatnya semasa di kolej dan universiti saya selalu bergerak aktif dalam Persatuan Pelajar Anak-anak Perak. Itulah yang selalu berlaku kepada mereka yang tinggal di kawasan sempadan.

Isteri saya pula orang Kedah. Lebih tepat lagi beliau dilahirkan di Pulau Timbul, sebuah perkampongan orang keturunan mamak (yang ada campuran dengan arab Yemen) dekat Tunjang.

Mereka telah datang ke Tanah Melayu ( Pulau Pinang dan Kedah) pada sekitar tahun 1755. Difahamkan mereka menjadi Penasihat Agama kepada Sultan Kedah. Oleh kerana itu mereka telah dianugerahkan oleh Sultan, tanah untuk kediaman di kawasan Titi Gajah.

Lalu ramailah mereka yang tinggal di Titi Gajah selain dari Pulau Pinaang dan Pulau Timbul. Maka terdapatlah cawangan keluarga ini di Pulau Pinang, Titi Gajah, Anak Bukit dan Pulau Timbul.

Tradisi masyarakat ini ialah berkahwin sesama mereka sendiri untuk mengekalkan identiti mereka yang cukup konsevatif dan kuat memegang agama serta untuk menjaga harta tetap berada dalam keluarga mereka.

Mereka merasakan kalau anak-anak mereka berkahwin dengan orang luar dikhuatiri pegangan agama keturunan mereka akan menjadi lemah.

Cuma generasi isteri saya mulanya anak muda dan anak gadis mereka berkahwin dengan orang-orang Melayu. Ini disebabkan anak muda dan gadis mereka keluar belajar dan berkerja di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Kami telah bekahwin pada tahun 1974. Ini bererti perkahwinan kami sudah masuk tiga puloh satu tahun. Jadi sudah 31 tahun lamanya saya mengenali Jitra khasnya, di mana kelurga isteri saya tinggal sekarang dan Kubang Pasu amnya. .

Saya amatlah kagum dengan pembangunan dan perubahan yang dialami oleh Kubang Pasu dalam masa tersebut.

Oleh itu saya ingin membuat sedikit perbandingan mengenai kemajuan dan pembangunan prasarananya dengan Daerah Hulu Selangor, tempat asal saya. Perbandingan ini dibuat atas dasar sebuah kajian bandingan atau comparative study sahaja .

Ia tiada mempunyai apa-apa maksud lain selain cuba mencari penyebab utama di antara pembangunan di Kubang Pasu berbanding daerah Hulu Selangor.

Kemajuan dan pembangunan prasarana dari segi pendidikan dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terdapat di Kubang Pasu amatlah impresif sekali. Ia mempunyai sebuah universiti yang sungguh cantik dan canggih kampusnya iaitu Universiti Utara Malaysia(UUM) di Sintok.

Terdapat sebuah politeknik iaitu Politeknik Sultan Abdul Halim (POLIMAS) Cawangan Utara Institut Pengurusan Pendidikan Aminuddin Baki terletak di Jitra. Kubang Pasu juga mempunyai sebuah Maktab Latihan Perguruan yang bertempat di bekas tapak kampus sementara UUM di Bandar Darul Aman.

Di Jitra telah sedia ada sebuah SBP (Sekolah Berasrama Penuh) iaitu Sekolah Sultan Abdul Halim yang mula ditubuhkan pada tahun awal 60an lagi. Isteri saya adalah alumni sekolah ini.

Ia adalah merupakan kumpulan elit diantara sekolah-sekolah SBP yang termasuk juga Sekolah Alam Shah, Putrajaya, Kolej Melayu Kuala Kangsar ( MCKK), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, Kolej Tuanku Khursiah (TKC), Seremban, Sekolah Dato Abdul Razak (SEDAR), mula-mula di Tanjong Malim tapi kemudiannya di Seremban dan Sekolah Tun Fatimah, mula-mula di Melaka dan kemudiannya di Johor Baru.

Sebuah pusat matrikulasi terdapat di Changloon. Manakala sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sedang dalam pembinaan di Jitra.

Jitra juga mepunyai sebuah Institut Latihan Belia Negara (ILBN) yang serba baru.

Dari segi prasana pentadbiran pula Kubang Pasu mempunyai sebuah kompleks pentabiran yang menempat pejabat daerah dan pejabat tanahnya. Kompleks ini adalah mengikut pandangan saya adalah yang tercanggih di seluruh Malaysia.

Di sebelah Kompleks tersebut terdapat sebuah dewan besar tersergam indah bernama Dewan Wawasan.Di Bandar Darul Aman bersebelahan dengan Kelab Golf Darul Aman terdapat sebuah taman tasik yang sungguh menarik dan moden, tempat riadah untuk penduduk tempatan.

Sesungguhnya orang Kubang Pasu amat bertuah sekali.

Berbanding pula dengan daerah Hulu Selangor, daerah kelahiran saya, Pejabat Daerah dan Tanahnya adalah masih bangunan yang lama yang dibina oleh British sekitar tahun 50an dahulu. Waktu itu saya masih bersekolah rendah di Government English School, Kuala Kubu Bharu (KKB).

Dahulu terdapat sebuah Maktab Latihan Polis dimana kadet ASP dan Inspektor dan Pegawai Kanan Polis mendapat latihan asas dan latihan lanjutan mereka.

Kini maktab tersebut hanya untuk pegawai rendah polis sahaja. Pegawai kanan polis dari ASP keatas dilatih di Maktab Latihan Pegawai Kanan Polis di Cheras.

Maktab Latihan Bomba masih di KKB.

Di Hulu Selangor terdapat sebuah MRSM di Ampang Pecah bersebelahan dengan Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kem Bina Negara, kelolaan Yayasan Selangor.

Di Hulu Yam ada sebuah Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor.

Di tahun 90an dahulu ada ura-ura untuk mendirikan kampus cawangan Massachusetts Institute Of Technology (MIT) di Bernam Jaya , Bandar Gerbang Utara Selangor di Hulu Bernam. Namun sampai sekarang belum ada apa-apa perkembangannya.

Begitu juga pembagunan Bandar Baru Kalumpang yang sepatutnya telah lama bermula tapi sekarang ini hanya tinggal nama sahaja.

Walaubagaimanapun Hulu Bernam segar pembangunannya limpahan dari dua projek besar disekitarnya yaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim dan Proton City di Behrang.

Projek perumahan naik seperti cendawan di Tanjong Malim, Hulu Bernam dan Kalumpang. Saya yang selalu balik ke kebun buah-buahan saya di Kampung Keliang melihat phenoma pertumbuhan ekonomi di sekitar Hulu Bernam ini dengan rasa bangga sekali .

Cuma ada anasir negatif yang terdapat di desa-desa pinggir kota iaitu masalah penagih dadah. Bekas-bekas penagih dadah yang telah di lepaskan dari pusat serenti banyak membuat kacau bilau bila mereka balik ke kampung-kampung.

Mereka memecah rumah dan mencuri. Ini mendatangkan ketakutan kepada masyarakat setempat. Ia menimbulkan trauma terutamanya kepada golongan wanita oleh kerana penagih dadah ini bila memecah rumah boleh melakukan perkara-perkara yang tidak diingini keatas kaum wanita. Phenoma ini berlaku di seluruh negara sekarang ini.

Mengenai hal ini saranan saya kepada kerajaan ialah supaya semua bekas penagih dadah ini hendaklah diqurantin di sebuah kawasan seperti kawasan Rancangan FELDA khas untuk mereka.

Di situ mereka diberi tanah kebun getah atau kelapa sawit sebagai mata pencarian mereka. Semua pergerakan mereka hendaklah diawasi dan sentiasa diberi kaunseling yang berterusan . Ini adalah seperti yang berlaku di England pada akhir kurun ke 18 dan awal kurun ke 19 apabila banduan-banduan mereka dihantar jauh secara paksa ke Australia untuk memulakan penghidupan baru di tanah jajahan tersebut .

Rata-rata pembangunan di Kubang Pasu adalah lebih pantas dari Hulu Selangor. Kalau Kubang Pasu amat rancak, Hulu Selangor sebaliknya adalah lembap dan lesu. Kemungkinan besar ini adalah di pengaruhi oleh pimpinan politik Kubang Pasu yang dipimpin sendiri oleh Tun Dr Mahathir yang telah menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun. Dan Pegawai Daerah Kubang Pasu adalah yang terkanan didalam susunan hiraki Pegawai-pegawai Daerah seluruh negeri Kedah.

Walhal pemimpin UMNO Hulu Selangor, Dato Idris Abu Bakar adalah dilihat sebagai seorang pemimpin politik yang lightweight. Beliau adalah saorang ADUN yang hanya menjadi Pengerusi Public Accounts Committee (PAC) Selangor yang mana rombongan lawatan PAC ke Mesir baru-baru ini telah menjadi kontroversi dan terpaksa dibatalkan atas arahan Menteri Besar Selangor, Dato Seri Dr Mohd Khir Toyo sendiri.

Begitu juga dengan Ahli Parlimen Kubang Pasu yang dahulunya Dr Mahathir dan sekarang Dato Johari Baharom , adalah merupakan anak tempatan Kubang Pasu.

Walhal Hulu Selangor pula dari dahulu adalah orang luar yang mewakilinya di Parlimen. Dari Ong Yoke Lin, Khaw Kai Boh, Lee Kim Sai, ketiga-tiga mereka dari MCA. Kemudiannya diikuti oleh SS Subramaniam dan sekarang S Palineval dari MIC.

Saya rasa sudah sampai masanya wakil UMNO yang sepatutnya mendapat giliran menjadi calon Barisan Nasional untuk bertanding mewakili Hulu Selangor di Parlimen pada pilihanraya umum yang akan datang.

Apa yang dikehendaki ialah seorang pemimpin UMNO yang berani, berwawasan jauh dan berhemah tinggi, pemimpin seperti Tun Dr Mahathir, yang diharap akan membawa Daerah Hulu Selangor yang tercinta ini ke mercu tahap pembangunan yang cemerlang yang kalau tidak pun seperti Kubang Pasu tapi hampir-hampir sepertinya.

Inilah harapan dan impian seorang anak kelahiran Hulu Selangor.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 362  tetamu dalam talian