"Walaupun Najib bukan Presiden tapi dia juga manusia..."
- Terakhir dikemaskini: 10 Ogos 2018
Pemimpin dan ahli UMNO perlu memberi peluang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan dirinya kerana beliau difitnah, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menggesa
Gesaan beliau berikutan desakan meminta Najib berhenti melibatkan diri dengan aktiviti politik sehingga turut mengaitkan Najib sebagai faktor kekalahannya dalam PRK Sungai Kandis.
"Walaupun Najib bukan lagi Perdana Menteri atau Presiden UMNO tetapi jangan dilupa bahawa beliau masih lagi seorang manusia yang mempunyai hak yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Najib masih lagi Ketua UMNO Bahagian dan merupakan ahli Parlimen jadi bantuan yang dihulurkan dalam PRK Sungai Kandis adalah wajar," katanya dalam rakaman di Facebooknya yang berdurasi kira-kira 15 minit.
Menurutnya, seperti mana yang pernah dikatakan sebelum ini, Najib adalah mangsa fitnah, mangsa persepsi buruk yang diwujudkan pembangkang dan dalam konteks Malaysia hari ini dalam zaman kecepatan media sosial ini.
Beliau berkata, fitnah yang dilemparkan boleh diwujudkan ke atas sesiapa sahaja selagi memegang jawatan, malah jika tidak berjawatan sekalipun tetap akan terplit dengan pelbagai fitnah.
Katanya, sungguhpun Najib bukan lagi Presiden UMNO tetapi fitnah ini berkalih pula kepada Presiden UMNO yang baharu iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Ahmad Zahid juga kini berdepan dengan fitnah dan persepsi buruk. Dan jika, UMNO terus berterusan mengambil sikap setiap kali pemimpinnya difitnah kita nak tukar pemimpin dan tidak mahu mempertahankan pemimpin, ia tidak akan ke mana dan menghancurkan parti.
"Secara peribadi saya berpandangan ini adalah satu kelebihan yang ada pada parti pembangkang yang patut dicontohi orang-orang UMNO ini, sebagai contoh pemimpin PKR boleh sahaja menggunakan isu Azmin untuk menjatuhkan beliau tetapi ia sebaliknya, Azmin dipertahankan oleh kepimpinan PKR. Begitu juga dengan pembangkang lain seperti PAS. Masing-masing mempertahankan pemimpin mereka," katanya.-10/8/2018