15November2019

Agenda Daily

Tok Pa keluar UMNO, KJ salahkan Zahid...

"This is on you, Mr Presiden." itu baris akhir dari tweet bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin mengulas Datuk Seri Mustapa Mohamad keluar UMNO.

Menurut Khairy kerjasama yang dihulurkan parti itu dengan PAS menyebabkan Umno kini 'kehilangan sinarnya'.

"Saya telah bersuara dalam mengingatkan parti saya terhadap pakatan dengan PAS. Dan saya menanggung serangan dari dalam.

"Sekarang, kita telah kehilangan sinar utama parti kita. Seorang pemimipin yang pintar dan baik. Ini semua salah kamu, Mr Presiden," tweet Khairy.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii menyifatkan tindakan Mustapa sebagai pengkhianat kepada perjuangan parti itu.

Oleh itu Ahli Parlimen Jeli itu disaran supaya mengosongkan kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu atas tiket Barisan Nasional (BN).

Mohd Razlan berkata bekas Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri itu perlu berbuat demikian sekiranya masih memiliki maruah.

“Apa yang Tok Pa lakukan hari ini merupakan perkhianatan kepada kepercayaan parti.

“Beliau berkata tentang rejuvenasi parti walhal beliau yang seorang tua, sekian lama menjadi pemimpin parti pun bertanding pada PRU yang lepas. Lepas tu bertanding lagi sebagai ketua bahagian dan bertanding juga sebagai MT (Majlis Tertinggi UMNO).

“Kalau ada maruah, sila letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Jeli, sebagai manusia yang ada maruah dan berprinsip,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Mustapa berkata beliau membuat keputusan keluar UMNO setelah memerhatikan lanskap politik negara, hala tuju parti itu dan BN serta masa depan negara.

Mustapa yang menyandang kerusi Jeli sejak sekian lama memenangi kerusi itu dengan majoriti 6,647 undi pada pilihan raya umum ke-14.

Dalam perkembangan yang sama, Exco Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda UMNO Segamat Bastien Onn menyifatkan keputusan Mustapa sebagai mengejutkan menjelang Perhimpunan Agung UMNO.

Menurut Bastien sekiranya Mustapa menggunakan alasan kerjasama dengan PAS sebagai punca masalah, beliau sepatutnya membangkitkan perkara itu mengikut saluran parti.

"PAS merupakan parti dominan di Pantai Timur, apa salahnya UMNO bekerjasama dengan PAS di mana semacam UMNO bekerjasama dengan MyPPP dalam kerangka BN.

"Kerjasama PAS dan UMNO semacam PAS masuk BN," katanya dalam satu kenyataan.

UMNO dan PAS sebelum ini berbincang untuk menjalinkan kerjasama selama berbulan-bulan lamanya, termasuk menyokong kempen antara satu sama lain dalam beberapa pilihan raya kecil.

Pada 15 Sept, Zahid mengetuai delegasi pemimpin UMNO menghadiri muktamar PAS di Kuala Terengganu.

Zahid juga dilapor berkata beliau percaya jalinan kerjasama antara UMNO dan PAS adalah jujur atas persefahaman dalam menegakkan syiar Islam

Bagaimanapun, Zahid berkata pembentukan sebuah gabungan pembangkang untuk menghadapi PRU15 perlu diperhalusi di pelbagai peringkat.-19/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 290  tetamu dalam talian