21Oktober2019

Tak ada benda nak dihisap, 'langau' akan terbang...

Ahli parti yang setia umpama garam yang akan menjadi pengubat kepada parti dalam mendepani cabaran dan seterusnya bangkit untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Orang tua-tua khabarkan, yang ada di depan kita hari ini  adalah semua garam UMNO yang tinggal untuk mengubat penyakit UMNO. Langau-langau dah terbang dah. Tidak ada benda yang nak dihisap lagi mereka pun terbang. Biarlah langau ini terbang dan biarlah kita di sini menjadi garam. Kita ubatkan dan rawatkan penyakit kita… luka kita… kita rawat supaya yang penting tidak lama lagi pilihan raya.

“Kalau ikutkan sebelum ini, mereka itu tidak akan sampai lima tahun…Itu pun tidak sabar dah tu. Tidak usahlah kita pening-pening kepala, kita buat kerja dan kita kukuhkan parti kita. Kita bukan lagi jadi kerajaan… ingat… pokok tumbang… tanya kamu YB atau kita YB… biarkan mereka buat kerja.

“Kalau lambat buat kerja kita masuk dalam media sosial dan sebagainya. Kita ganyang mereka pulak. Mereka dulu bukan buat kerja pun…mereka hanya mencari salah kita. Hari ini kita cari salah diaorang pulak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan khas pimpinan UMNO Pusat bersama UMNO Melaka, pada Ahad.

Menurutnya lagi, ahli UMNO seluruh negara diminta menjadi ahli terus Barisan Nasional (BN) sekiranya UMNO terbubar.

Beliau berkata, langkah menjadi ahli terus BN itu hanyalah bersifat sementara bagi menunggu kepimpinan UMNO memulihkan kembali parti tersebut.

“Kalau terbubar UMNO ada empat cara untuk kembalikan keadaan seperti biasa, jika perlu kita jadikan BN rumah tumpang sekejap. BN (boleh) ambil ahli terus jadi (ahli UMNO) masuk (BN) terus, sementara pulihkan UMNO,” katanya.-12/11/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 216  tetamu dalam talian