30Mei2020

Agenda Daily

Tabung Pakatan Harapan jadikan kerajaan pemalas...?

Cadangan pemansuhan BR1M atau Bantuan Sara Hidup oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad amat dikesali Pemuda UMNO.

Ketua Pemuda UMNO Nibong Tebal Mohd Norhiesam Ismail berkata tindakan kerajaan untuk menghapuskan BR1M atas alasan tidak mahu terlalu memanjakan rakyat sehingga terpaksa bergantung kepada kerajaan sebenarnya adalah satu alasan yang tidak boleh diterima pakai sama sekali.

“Seharusnya sebelum kerajaan mengeluarkan kenyataan sedemikian mereka harus mencermin diri sendiri.

“Sekiranya mereka menuduh tidak mahu memanjakan rakyat maka bagaimana pula dengan sikap kerajaan yang meminta untuk rakyat menderma kepada Tabung Harapan bagi menyelesaikan hutang negara.

“Sebenarnya, bukan rakyat yang bersikap manja dan bergantung kepada kerajaan, tetapi kerajaan PH yang bergantung kepada rakyat dan malas berusaha mencari dana bagi menyelesaikan hutang negara. Kerana itulah kerajaan PH hanya mengambil cara mudah iaitu dengan meminta kepada rakyat,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Norhiesam, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin, seharusnya mereka peka dengan masalah kos sara hidup yang menghimpit rakyat apatah lagi apabila cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bakal dikuatkuasakan bermula 1 September ini.

“Sudah menjadi bualan dan mungkin harga barang akan melonjak naik apabila SST dilaksanakan. Sekiranya kerajaan tetap mahu menghapuskan BR1M maka kami menggesa kerajaan juga harus berhenti mengutip derma untuk Tabung Harapan.

“BR1M yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu sebenarnya telah banyak membantu kehidupan rakyat malah ada yang berjaya memulakan perniagaan dengan hasil pemberian tersebut.

“Justeru, Pemuda UMNO Nibong Tebal berharap agar kerajaan PH lebih bersikap bertanggungjawab terharap rakyat yang telah memberi undi kepada mereka sehingga berjaya menumbangkan Barisan Nasional yang telah banyak berjasa selama ini,” tegas beliau.

Pemuda UMNO Nibong Tebal juga melihat tindakan kerajaan ini juga merupakan satu penganiayaan dan menzalimi rakyat yang telah memberi mandat kepada Kerajaan PH.

“Kerajaan langsung tidak menyelami permasalahan dan denyut nadi rakyat. Kerajaan PH hanya berbangga dengan slogan ‘Malaysia Baru’ tetapi rakyat terus terbeban,” katanya.-30/8/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 334  tetamu dalam talian