26Januari2020

Agenda Daily

Sungai Kandis: Bersih gesa SPRM siasat pesta makan durian PKR

Bersih 2.0 menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pesta makan durian yang bakal dihadiri calon PKR jika program tersebut diteruskan oleh PKR.

Program anjuran Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) di Seksyen 32 Shah Alam menyalahi Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya, kata badan itu.

Acara selama dua jam Sabtu ini dijadual dihadiri Zawawi Mughny, yang dicabar dua calon lain, dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Lokasinya betul-betul dalam kawasan pilihan raya dan diadakan dalam tempoh berkempen pilihan raya kecil Sungai Kandis, kata Bersih 2.0.

“Jika acara ini tidak dibatalkan dan gaya kempen ini berterusan maka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajib menyiasat.

“Dan [SPRM perlu] mengambil tindakan berdasarkan Seksyen 3 dan Seksyen 7 Akta SPRM,” kata jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan.

Kohijrah terlibat dalam program mikrokredit yang dijalankan oleh kerajaan negeri sejak 2015, kata badan itu lagi.

Selain konflik kepentingan koperasi itu, Bersih 2.0 menegaskan penganjuran itu “salah guna jentera kerajaan” ketika berkempen.

“Semua agensi kerajaan sepatutnya kekal berkecuali dan tidak menyebelahi mana-mana parti pada setiap masa,” katanya.

Bersih 2.0 mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan agar berpegang pada janji dalam manifesto untuk menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa.

Pilihan raya kecil ini dipanggil susulan kematian penyandangnya, wakil rakyat PKR Mat Shuhaimi Shafiei, akibat barah awal bulan ini.

Ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Zawawi, Datuk Lokman Noor Adam (Barisan Nasional) dan K Murthy (Bebas).

Hari penamaan calon diadakan Sabtu lalu, sementara hari mengundi jatuhnya pada 4 Ogos ini.-26/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 198  tetamu dalam talian