05Disember2019

Agenda Daily

Penyakit PKR jangan dibawa ke dalam PH - PPBM

Seorang pemimpin PPBM mengingatkan sekutu mereka dalam PKR supaya lebih beradap dalam kata-kata mereka dan hanya bercakap tentang hal ehwal parti sendiri tanpa perlu memfitnah pemimpin parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau tertarik dengan komen beberapa pemimpin PKR yang mendakwa perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mahu menyekat Anwar daripada menjadi pemimpin negara.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM itu yang jelas merujuk kepada ucapan seorang Ahli Parlimen daripada PKR Sabtu lepas yang mendakwa terdapat usaha menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri berkata, pemimpin atasan PKR perlu bersikap tegas dan membuktikan mereka tidak bersetuju dengan sikap biadap jika tidak mahu rakyat menganggap mereka meredai fitnah dan perangai buruk yang ditunjukkan.

Beliau berkata, tuduhan liar dan fitnah mungkin menjadi budaya orang lain, tetapi ahli PPBM diajar oleh Dr Mahathir untuk menghormati semangat setiakawan dalam PH.

Bercakap dalam satu acara di Seremban bagi menyokong pencalonan Rafizi Ramli, yang mencabar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk kerusi timbalan presiden dalam pemilihan PKR bulan depan, Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani berkata, terdapat usaha untuk menyekat Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Abdullah secara berterus-terang dilaporkan berkata, pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin merupakan antara individu yang berusaha menyekat Anwar daripada menjadi perdana menteri sebagaimana dipersetujui pimpinan PH sebelum pilihan raya umum lepas.

“Dalam kami menghormati persahabatan yang dibina, janganlah ada pemimpin parti lain yang celupar memfitnah semata-mata kerana nafsu mahu mengejar jawatan dunia,” kata Wan Saiful lagi.

Katanya, perangai buruk tidak berakhlak bukanlah budaya yang hendak dibentuk dalam gabungan PH, dan PKR tidak seharusnya mengheret orang lain ke dalam perpecahan dalam parti itu.

“Perangai buruk tidak berakhlak bukan budaya yang kita mahu bentuk dalam gabungan PH. Jangan heret orang lain masuk ke dalam perpecahan teruk parti sendiri,” kata beliau.-13/8/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 294  tetamu dalam talian