18September2020

Agenda Daily

Pencarum KWSP, ASB, ASN, Tabung Haji akan terjejas

Tindakan pelabur asing keluar daripada pasaran bursa tempatan secara berterusan sejak PRU 14 lalu akan memberikan kesan kepada dividen pemegang saham ASB, ASN, Tabung Haji, KWSP kerana sebahagian besar pelaburan mereka adalah di bursa saham tempatan.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata, sekiranya harga saham terus turun, maka ia pastinya akan menjejaskan dividen pemegang-pemegang saham syarikat tersebut.

“Secara umumnya, apa yang boleh kita jangkakan pada tahun ini sekiranya keadaan penurunan harga saham ini berterusan, ia akan memberikan kesan kepada pelabur-pelabur Tabung Haji, ASB, ASN, KWSP dan lain-lain akan berkurangan dividennya.

“Kita berharap agar pasaran bursa saham kembali stabil kerana ia akan memberikan kesan kepada berjuta rakyat Malaysia yang melabur di dalam ASB, ASN, Tabung Haji dan lain-lain kerana sudah pasti dividen akan terjejas dan berkurangan,”ujarnya.

Mustapa yang juga AHli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian dalam program Diskusi N49 yang disiarkan secara langsung oleh facebook UMNO-online Isnin malam.

Menurut Mustapa, ada tiga perkara utama yang mampu mendatangkan keyakinan kepada pelabur untuk melabur di sesebuah negara itu.

“Pertamanya, kerajaan yang mesra pelabur. Keduanya, pelabur mahu dasar-dasar ekonomi yang jelas dan yang ketiganya ialah konsisten, iaitu tidak ada flip-flop dalam membuat keputusan. Malangnya, ketiga-tiga perkara itu masih tidak jelas terutama berhubung dasar dan juga konsistensi kerajaan dalam meneruskan sesuatu projek itu.

“Memang kita sudah menjangka akan berlakunya keadaan ekonomi yang tidak menentu dalam peralihan kerajaan, apatah lagi jika ia pertama kali berlaku di dalam sejarah seperti di Malaysia ini.

“Tetapi keadaan tidak menentu itu sudah pun berlanjutan selama tiga bulan dan ia sebenarnya satu jangkamasa yang lama yang menyebabkan ramai pelabur yang menarik ‘hand brake’ untuk melabur.

“Dan setakat ini, kita masih lagi tidak dapat melihat dasar ekonomi yang jelas daripada kerajaan baru hari ini dan sudah tentu perkara ini akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negara ini,” ujarnya.-31/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 411  tetamu dalam talian