16November2019

Agenda Daily

Pemimpin datang dan pergi... UMNO kuat kerana akar umbi

UMNO tidak perlu menagih simpati daripada mana-mana pihak lain dalam menentukan hala tuju dan pengukuhan parti itu, kata Ketua Pemudanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata paling penting ialah terus berusaha memperkukuhkan parti yang merupakan suara terbesar orang Melayu Islam tersebut.

“Paling penting ialah terus berusaha dan tidak sesekali berasa gundah gulana kerana kekuatan UMNO adalah kekuatan akar umbi.

“Akar umbi sedang menanti-nantikan apakah sebenarnya mesej yang hendak kita sampaikan. Kita kena jelas apakah sebenarnya yang ingin diperkukuhkan dalam konteks UMNO itu sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat itu turut membincangkan kerjasama antara UMNO dan PAS.

Pada 16 September lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak gopoh dalam membentuk kerjasama politik dengan UMNO dan Majlis Syura ulama parti itu akan membuat penilaian mengenainya.

Hadi berkata, setakat ini kerjasama antara UMNO dan PAS adalah berdasarkan kepentingan Islam yang merupakan satu keperluan, bukannya disebabkan keadaan mendesak.

Dalam pada itu, Asyraf juga berkata mesyuarat juga membincangkan isu beberapa pemimpin Umno yang keluar parti.

Perhimpunan Agung UMNO perjelas hala tuju

“Ada dibincangkan. Hari ini ada pertemuaan semua ketua UMNO bahagian dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Asyraf juga berkata mesyuarat MT itu juga ada turut membincangkan hala tuju UMNO dalam Perhimpunan Agung parti itu nanti.

Beliau berkata Zahid akan menjelaskan pendirian kepimpinan kepada ahli akar umbi terutamanya berkenaan hala tuju parti yang merupakan perkara yang dinanti-nantikan.

“Saya kira semua ahli di semua peringkat menanti-nantikan ucapan dasar presiden kerana ia akan menentukan masa depan dan juga hala tuju parti,” katanya.

Beliau juga berkata isu berkaitan pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson akan dibincangkan dalam mesyuarat Biro politik pada Isnin.-24/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 231  tetamu dalam talian