05Disember2019

Agenda Daily

MP PKR tuduh Tun Daim berusaha halang Anwar jadi PM

Ketua penasihat kerajaan, Tun Daim Zainuddin didakwa berusaha menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen PKR Kapar Abdullah Sani mendakwa terdapat usaha untuk menyekat Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu rakaman video yang disebarkan di media sosial, Abdullah Sani berkata demikian dalam kempen pemilihan PKR di Seremban pada Sabtu.

“Banyak pihak cuba menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri. Ya kita tahu mereka bersekongkol dengan pihak yang menzalimi Anwar. Saya sebut terang-terang, Tun Daim Zainuddin, ya peranan beliau untuk memastikan…kalau kita tidak pilih Rafizi Ramli hari ini, sudah barang tentu kesukaran yang akan digalas oleh Anwar atas kedudukan beliau sebagai perdana menteri.

“Apakah saudara bersetuju kalau kita biarkan kesengsaraan Anwar berulang kembali?” soal Abdullah dalam satu ucapan penuh semangat bagi menyokong Rafizi Ramli dan pasukannya dalam pemilihan parti kali ini.

Rafizi, naib presiden PKR dan bekas Ahli Parlimen Pandan, menyatakan sokongan beliau kepada Anwar dalam kempen merebut jawatan No 2 PKR itu.

Rafizi berkata, beliau mewakili semangat “reformasi” PKR, slogan pembaharuan yang membawa kepada penubuhan parti itu 2 dekad lepas berikutan protes terhadap tindakan Dr Mahathir memecat Anwar Ibrahim sebagai timbalan beliau pada 1998.

Beberapa bulan sebelum pemecatan itu berlaku, Dr Mahathir memanggil semula Daim daripada pesaraan, untuk mengetuai Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) yang ditubuhkan bagi menangani krisi ekonomi ketika itu.

Anwar dalam banyak ucapannya sebelum ini pernah menuduh Daim terlibat dalam konspirasi untuk menamatkan kerjaya politik beliau.

Dalam pilihan raya umum lalu, Daim terlibat aktif berkempen untuk calon PH, termasuk daripada PKR.

Dalam satu perjanjian ditanda tangani pemimpin parti komponennya, PH bersetuju menamakan Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir untuk jawatan perdana menteri.

Walaupun tempoh masa tertentu tidak dinyatakan, Dr Mahathir mengisyaratkan beliau akan memegang jawatan itu selama dua tahun, atau lebih lama lagi sekiranya rakyat mahukannya.-13/8/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 282  tetamu dalam talian