19November2019

Agenda Daily

MIC kekal dalam BN tapi ada isu yang perlu diselesaikan...

MIC tetap kekal sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN), kata Presidennya Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Beliau berkata walaupun BN bukan lagi parti pemerintah, kerjasama MIC sebagai parti komponen yang terjalin selama lebih 50 tahun akan terus kekal sehingga satu keputusan dibuat secara bersama dengan parti komponen BN yang lain.

"Kami ada isu yang perlu diselesaikan. Akan tetapi kami sudah bekerjasama lebih 50 tahun. Bukan hanya UMNO ada masalah, MCA dan MIC juga ada masalah.

“Perkara pertama yang kami perlu lakukan ialah memastikan semua parti (komponen) berada di landasan yang betul dahulu,” kata Vigneswaran pada sidang media pengumuman keputusan pemilihan parti di ibu pejabat MIC, pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Presiden MCA Tan Sri Dr Chua Soi Lek  yang menggesa kepimpinan MCA membawa parti itu keluar BN.

Malah, Dr Chua dilaporkan berkata itu perkara pertama yang akan dilakukannya jika beliau presiden parti.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan dipilih sebagai Timbalan Presiden MIC bagi penggal 2018-2021 menewaskan bekas Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M Ramasamy.

Saravanan memperoleh 9,391 undi berbanding Ramasamy yang hanya mendapat 5,270 undi dalam pemilihan parti itu yang berlangsung semalam.

Bagi tiga jawatan Naib Presiden, Datuk T Mohan mendapat 9,093 undi, manakala Datuk C Sivaraajh (6,803) dan Datuk T Murugiah (5,984), menewaskan tujuh pencabar lain.

Selain itu, bagi 21 ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), mereka yang terpilih antaranya J Dhinagaran, S Kanan, R Gunasegaran dan Datuk P Kamalanathan.

Keputusan pemilihan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MIC, Tan Sri G Rajoo di Ibu Pejabat MIC di sini, hari ini.

Seramai 14,911 daripada 25,536 ahli layak mengundi membabitkan 4,256 cawangan di seluruh negara bagi memilih kepemimpinan MIC baharu penggal 2018-2021.

Pada Jun lalu, Tan Sri SA Vigneswaran muncul sebagai calon tunggal dalam pemilihan presiden parti dan menang tanpa bertanding bagi menggantikan Datuk Seri S Subramaniam yang memutuskan untuk berundur.-22/10/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1407  tetamu dalam talian