30Mei2020

Agenda Daily

MB Johor mahu rampas tanah kurnia UMNO

Politik dendam yang tiada kesudahan... MB Johor memberi amaran akan merampas tanah kurnia milik UMNO yang kononnya gagal menyelesaikan tunggakan cukai tanah.

Datuk Osman Sapian berkata pihaknya juga mendapati terdapat tanah kurnia milik parti itu yang tidak dibangunkan dalam tempoh dua tahun, selain ada pemilik yang menjual tanah kepada pihak lain seperti pemaju.

Beliau berkata terdapat 12 tunggakan cukai tanah Umno dengan yang tertinggi membabitkan Bahagian Batu Pahat berjumlah RM287,048 dan Tebrau RM31,772.

“Sebanyak lapan daripadanya membabitkan pemegang amanah kepada UMNO iaitu RM18,280,” katanya.

Katanya rayuan boleh dibuat, namun ia bergantung kepada budi bicara kerajaan negeri.

“Kita (kerajaan negeri) boleh ambil tindakan bukan sahaja tanah itu tidak dibayar cukai tetapi setiap kurniaan tanah mesti kena bangunkan dalam dua tahun , tidak bangunkan kita rampas balik. Sudahlah tidak bayar cukai, lepas itu tidak bangunkan juga,” katanya.

Beliau pada masa sama menyelar kenyataan Ketua Umno Bahagian Tebrau Datuk Maulizan Bujang yang menyebut bahawa tiada tunggakan cukai tanah melibatkan bahagian itu kerana tanah di kawasan Pandan, di sini, yang juga milik Umno bahagiannya didapati sudah diserahkan kepada pemaju.

Osman menyifatkan kenyataan Maulizan itu seperti membuka pekung sendiri kerana secara tidak langsung mendedahkan kesalahan dilakukan UMNO.

“Dia (Maulizan) serahkan kepada pemaju, saya boleh rampas balik sebab sudah menyalahi pemberian,” katanya. -27/8/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1121  tetamu dalam talian