19September2020

Agenda Daily

"Kita pertahankan apa yang kita ada bukan hendak semua,"

UMNO bukan parti rasis sebaliknya hanya mempertahankan hak-hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata tindakan itu tidak sepatutnya dilabel rasis.

"Apabila kita bercakap untuk mempertahankan kaum masing-masing bukanlah rasis. Sebagai orang Melayu, nak pertahankan siapa lagi dalam sebuah negara bangsa?

"Kawan kita yang lain akan memohon ikut etnik masing-masing. Kita pertahankan apa yang kita ada bukan hendak semua. Kita nak benda yang termaktub dalam Perlembagaan negara. Itu saja," katanya ketika Diskusi N49 : Betapa Ruginya Perpecahan Khamis malam.

Katanya, sehingga hari ini kaum Melayu sudah berkongsi semua sektor termasuk pendidikan dengan kaum lain.

"Kalau kita tak boleh pertahankan apa yang kita ada, baik kita tak jadi baik, kita serah sajalah.

"Dalam ekonomi, pendidikan, sosial semua kita kongsi. Kita hidup dalam kepelbagaian kaum cuma dominasi politik 61 tahun itu, orang Melayu berada di hadapan. Itu saja tapi hari ini dominasi itu bukan Melayu lagi," katanya.

Berkait isu pendidikan, Mahadzir yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata tuntutan dibuat masyarakat Cina turut dilaksanakan kerajaan terdahuu.

"Dalam pelajaran kita bagi sampai ke tahap sekolah menengah persendirian Cina lebih 60 buah sekolah. Diminta pula UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) yang dibuat secara swasta.

"Selama ini UEC dibuat tanpa pengiktirafan daripada kerajaan. Itu tuntutan masyarakat Cina. Kalau kita pertahankan Melayu minta dikata rasis. Tak betullah. Tak boleh cakap begitu," katanya.

Malah, beliau berpandangan bahawa Dasar Pendidikan Negara tidak perlu lagi diubah kerana dasar yang digariskan itu adalah yang terbaik untuk negara berbilang bangsa dan kaum seperti di Malaysia.

“Pada saya Dasar Pendidikan Negara hari ini adalah yang terbaik. Tidak perlu diubah-ubah lagi. Di rantau Asia ini semua orang tahu, bahawa hanya di Malaysia sajalah yang wujudnya sekolah kebangsaan dan ada sekolah rendah jenis kebangsaan.

“SRJKC saja ada 1,200 buah sekolah di negara ini. SRJKT pula ada lebih kurang 500 lebih di negara ini. Bakinya adalah sekolah kebangsaan. Inilah konsep BN bermula dari Perdana Menteri yang pertama sehinggalah ke Perdana Menteri yang ke tujuh hari ini, yang mana kita mahukan semua kaum boleh belajar melalui bahasa ibunda mereka.

“Jadi bagi saya, kalau kerajaan baru hari ini mahu mengubah Dasar Pendidikan Negara, maka tutuplah sekolah-sekolah jenis kebangsaan ini dan tetapkanlah semua murid dari semua kaum mesti bersekolah di satu sekolah kebangsaan yang satu, tapi soalnya beranikah mereka berbuat begitu?,” soalnya sinis.-27/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 341  tetamu dalam talian