26Januari2020

Agenda Daily

Khaled Nordin akan jumpa pemimpin UMNO Perlis mengenai lantikan Pengerusi Perhubungan...

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan berjumpa dengan semua pemimpin utama negeri itu dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu berbangkit tentang pelantikannya ke jawatan berkenaan baru-baru ini.
 
Beliau berkata langkah itu juga antara lain bagi mendapatkan pandangan dan mengadakan perbincangan berhubung wujudnya ketidak puasan hati di semua peringkat dan bahagian.
 
"Setakat ini saya belum mula berjumpa (dengan pemimpin utama Perlis) kerana sekarang sedang ada pilihan raya kecil di sini tapi saya sudah mengatur pertemuan tersebut.
 
"Apabila saya sudah mendapat input (mengenai pandangan tentang pelantikan), baru saya akan buat sebarang keputusan mengenainya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di ceramah penerangan Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Taman Seri Andalas dekat Klang Selasa malam.
 
Mengulas lanjut mengenai protes oleh UMNO Perlis terhadap pelantikannya ke jawatan tersebut, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden parti berkata ia adalah perkara biasa dan bantahan juga berbeza mengikut peringkat dan bahagian.
 
"Saya tak tahu berapa ramai yang terima dan berapa ramai yang tak terima (pelantikannya) tapi ia tak beri masalah kepada saya," katanya ringkas.
 
Ketika ditanya mengenai respon presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai protes tersebut, beliau berkata pihaknya belum mengadakan sebarang pertemuan dengan pemimpin utama parti itu untuk mengemukakan isu berkenaan.
 
Baru-baru ini, media melaporkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim mendakwa tindakan melantik Mohamed Khaled sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis dilihat sebagai satu hukuman kepada kepemimpinan negeri yang tidak memberi sokongan penuh kepada Ahmad Zahid.
 
Ismail Kassim berkata, tindakan mengetepikan tiga ketua bahagian di Perlis daripada memimpin UMNO negeri seolah-olah tidak mengiktirafkan keupayaan pemimpin sedia ada.
 
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata keputusan meletakkan tiga Naib Presiden UMNO sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Selangor, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Terengganu) dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Perlis) adalah bersifat sementara.
 
Keputusan itu dicapai bagi membolehkan parti terus menyusun struktur pentadbiran parti di tiga negeri iaitu Perlis, Selangor dan Terengganu.
 
Katanya, ketiga-tiga negeri itu gagal mencari penyelesaian berhubung isu kepemimpinan di peringkat negeri masing-masing.- 25/7/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 199  tetamu dalam talian