Jangan umpan MP UMNO... boleh rosak keharmonian PH - Azmin
- Terakhir dikemaskini: 21 September 2018
- By WARTAWAN AGENDADAILY
Ini amaran kepada pemimpin PPBM yang dok galak 'memancing' ahli-ahli Parlimen UMNO... berhenti berbuat demikian demi kehormonian dalam Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata tidak perlu mengumpan pemimpin UMNO keluar parti untuk menyertainya kerana pakatan itu sudah menjadi sebuah kerajaan yang kukuh.
"Untuk menyertai mana-mana anggota dalam PH, mereka perlu melalui proses supaya tidak ada satu suasana yang boleh rosakkan keharmonian dalam PH," katanya ketika ditemui pemberita selepas program Bual Bicara Muafakat di Bemban, Jasin, Melaka.
Untuk rekod, PKR mungkin bimbang jika jumlah MP UMNO menyertai PH melalui PPBM maka hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri dua tahun lagi akan terbantut. Ini kerana Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai cukup majoriti MP untuk memerintah selama yang diperlukan.
Bernama melaporkan Azmin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa hari ini yang mendakwa banyak tawar-menawar berlaku supaya anggota parlimen UMNO menyertai parti lain.
Sementara itu, Azmin berkata Reformasi 2.0 yang diperjuangkan PH bukan lagi sebuah gerakan menjerit dan turun ke jalanan, sebaliknya sebuah gerakan bagi melaksanakan apa yang dijanjikan kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Beliau berkata rakyat telah memberikan kepercayaan kepada PH pada PRU14 untuk menerajui kerajaan dan membela nasib mereka, justeru kuasa yang diperoleh itu perlu digunakan sebaiknya bagi melaksanakan aspirasi rakyat.
"Setiap pejuang dalam parti PKR harus fahami konsep dan prinsip refomasi itu dengan jelas. Pada peringkat awal kita mengerahkan kekuatan rakyat untuk menuntut sebuah kerajaan yang adil serta dapat memberi kemakmuran kepada negara dan juga rakyat keseluruhanya.
"Dalam fasa kedua ini adalah pelaksanaan kata-kata kita, kita mahu lakukan perubahan dalam tempoh 100 hari ini dan banyak perkembangan positif telah dilakukan," katanya.
Beliau berkata antara perkembangan positif dicapai ialah kerajaan telah menjamin SPRM bertindak secara adil dan saksama tanpa campur tangan politik.
Katanya kerajaan juga memberi kuasa dan kebebasan kepada Pejabat Ketua Audit Negara supaya dapat melakukan audit pada semua kementerian, jabatan dan agensi tanpa campur tangan pihak eksekutif.-21/9/2018