11November2019

Agenda Daily

Fokus kukuhkan UMNO, bukan jatuhkan Zahid - Khaled

Ahli UMNO perlu  mengambil iktibar daripada keadaan semasa agar tidak berlaku usaha saling jatuh menjatuhkan antara satu sama lain.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ahli parti perlu berusaha untuk memperkukuhkan parti dan bukan cuba untuk menjatuhkan sesama sendiri termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Pemimpin dan ahli parti perlu fokus dan tumpu kepada banyak perkara dalam soal memperkuatkan parti.

“Bukannya usaha untuk jatuh menjatuhkan atau memperkecilkan mana-mana pihak terutamanya Presiden,” katanya kepada pemberita selepas mendengar ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 malam Sabtu.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menyifatkan pendirian Zahid kurang jelas dalam menentukan hala tuju parti.

Beliau mempersoalkan pucuk pimpinan parti berhubung ucapan dasar Zahid sama ada mahu menjadi pembangkang yang kuat atau membentuk kerajaan perpaduan dengan mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“Hari ini beliau (Zahid) mengatakan kita mahu melawan PH tetapi kemudian beliau mengeluarkan kenyataan untuk membentuk kerajaan perpaduan.

“Anda perlu jelas jika anda memimpin parti. Tidak boleh berkata seolah-olah mahu menjalin kerjasama dengan PH tetapi hari ini kata nak lawan (PH), zalim lah,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammad Hassan menegaskan dalam politik seseorang tidak boleh menolak apa-apa jua kemungkinan yang boleh berlaku.

“Kita mahu menjadi pembangkang yang kritikal, tetapi kenapa perlu kita tolak jika ditawarkan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan?” katanya menjawab persoalan yang dibangkitkan Khairy.

Katanya, ucapan presiden UMNO itu cukup jelas, tetapi bergantung kepada pendengar sama ada memahami dasar itu atau tidak.

“Seperti yang dikatakan semalam, kita ada 2 fokus utama. Satu, mengukuhkan parti dan kedua, strategi apakah yang akan kita gunakan untuk memenangi pilihan raya umum ke-15 kelak,” katanya.-30/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 185  tetamu dalam talian