30Mei2020

Agenda Daily

Diam Azmin meresahkan pemimpin PKR...

Sikap Datuk Seri Azmin Ali yang diam seribu bahasa berkaitan kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri meresahkan pemimpin PKR.

Azmin yang merupakan menteri kanan dalam Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga kini tidak memberikan sokongan terbuka untuk mempercepatkan Anwar mengambil alih jawatan Mahathir.

Berikutan itu, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan yang bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan PKR mempersoalkan kesetiaan Azmin terhadap Anwar.

Kesavan berkata, beliau juga tidak yakin sama ada Azmin yang akan mempertahankan jawatannya benar-benar mahu Ketua Umum PKR itu dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Ini kerana katanya, sehingga kini Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu tidak menyatakan sokongannya terhadap Anwar untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya kurang yakin dengan Azmin kerana sehingga ke hari ini dia belum menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam kempen pasukan Rafizi Ramli di Kota Kinabalu Isnin.

Kesavan berkata, atas sebab itu, ahli PKR termasuk di Sabah perlu menyokong perubahan kepemimpinan parti dengan memberi kemenangan kepada Rafizi sebagai Timbalan Presiden.

“Kita tidak mahu seorang pemimpin yang kelihatan setia tetapi secara diam-diam cuba menggagalkan agenda reformasi parti untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Sebab itu kita perlu sokong Rafizi sebagai Timbalan Presiden, iaitu untuk memastikan bahawa agenda ini dan Anwar sebagai Perdana Menteri dapat menjadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong yang turut bertanding jawatan Naib Presiden PKR, sekali lagi menyatakan keterbukaannya untuk mengosongkan kerusi Parlimen Selayang bagi memberi laluan kepada Anwar.

“Anwar lebih penting berbanding saya sebab itu saya tiada masalah beri laluan kepadanya... bagi saya semua Ahli Parlimen PKR yang berpegang kepada semangat reformasi parti tiada masalah untuk memberi laluan kerana yang penting Anwar menjadi Perdana Menteri kelapan.

“Bagaimana kita kata setia kepada parti tapi enggan beri laluan. Isu sokongan rakyat tidak timbul kerana rakyat Selayang akan bangga kalau Ahli Parlimen mereka nanti adalah Perdana Menteri,” katanya.

Beliau turut menyangkal tuduhan kononnya menjadi mangsa Anwar kerana terpaksa memberi laluan kepadanya untuk menjadi wakil rakyat selepas sah memenangi jawatan presiden parti, sebaliknya menjelaskan bahawa mangsa sebenar adalah Ketua Umum PKR itu kerana perlu memikul tugas besar sebagai Perdana Menteri selepas ini.-21/8/2018 *gambarfail

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1081  tetamu dalam talian