28Mei2020

Agenda Daily

BN ubah strategi kempen di Sungai Kandis - Ismail Sabri

BN akan melaksanakan pendekatan kempen yang berbeza dalam PRK Sungai Kandis dengan mengeluarkan fakta mengenai kepincangan dasar kerajaan Pakatan Harapan menerusi media-media sosial setiap hari.

Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jika dahulu BN adakan program kenduri-kendara dan ceramah besar-besaran. Kali ini BN lebih kepada perang media sosial menerusi infografik yang disebarkan kepada kira-kira 32,000 pengundi.

“Kita akan mempergiatkan usaha memberi kesedaran kepada rakyat mengenai isu-isu dalam pentadbiran Pakatan Harapan seperti harga ikan tidak turun, polisi pemakaian kasut hitam pelajar sekolah yang tidak ada kaitan dengan usaha meningkatkan mutu pendidikan serta janji-janji yang belum ditunaikan,” ujarnya yang turut merancang mengadakan program bersama seperti forum perdana dengan para pemimpin BN dan PAS.

Ismail Sabri berkata demikian ketika Majlis Pengenalan Calon dan Penyerahan Anak Angkat Bahagian Selangor untuk PRK Sungai Kandis Isnin malam.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan ramai rakyat ketika ini menyatakan rasa kecewa dengan sikap pentadbiran negara yang dilihat cuba mengelak daripada melaksanakan janji-janji yang dibuat dalam pilihan raya umum lalu.

Sementara tu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, dalam persekitaran baharu ini, taktik secara konvensional tidak relevan dengan perkembangan teknologi maklumat.

Selain itu katanya, pemimpin dan ahli BN perlu terus berjuang dan tidak menganggap kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sebagai kesudahan parti berkenaan.

“Kita jangan anggap ini kiamat politik tetapi anggaplah ujian.Tunjukkan solidariti pada pemimpin termasuk dengan cara berkempen.

“Malah, jangan tunggu arahan untuk menggerakkan jentera. Jangan tunggu disogok atau tunggu habuan. Jika sayang pada negara, rakyat, bergeraklah sekarang lebih-lebih lagi zaman sekarang yang memerlukan taktik ‘unconventional war’ ,” katanya.-24/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 532  tetamu dalam talian