21Oktober2019

Blok pembangkang tolak Bajet 'airmata rakyat'....

Blok pembangkang menolak Bajet 2019 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 2 November lalu kerana bajet tersebut adalah ‘bajet air mata rakyat’, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas beliau, bajet tersebut diibaratkan sedemikian kerana ia tidak menyentuh setiap golongan rakyat.

“Ini boleh dikatakan sebagai bajet airmata rakyat. Tiada segmentasi kumpulan sasaran rakyat dipenuhi. Lihat sahaja peruntukan yang dibuat, bukan sahaja dikurangkan malah ada yang tidak diberi.

“Saya juga kecewa kerana kerajaan PH tidak memberi peruntukan yang seadilnya kepada sekolah-sekolah yang berada di negara ini,” ujar beliau.

Mengikut Bajet 2019, kerajaan memperuntukan RM652 juta menaikkan taraf dan menyelenggara semua sekolah berbanding RM615 juta tahun 2018.

*Sekolah Kebangsaan – RM250 juta;
*Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) – RM50 juta;
*Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) – RM50 juta;
*Sekolah Berasrama Penuh – RM50 juta;
*Maktab Rendah Sains Mara – RM50 juta;
*Sekolah Agama Bantuan Kerajaan – RM50 juta;
*Sekolah Mubaligh – RM50 juta;
*Sekolah Tahfiz – RM50 juta;
*Sekolah Pondok yang berdaftar – RM25 juta;
*Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) atau Conforming School – RM15 juta; dan
*Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) – RM12 juta.

Selain itu, Zahid turut membangkitkan isu penjawat awam yang diminta menyokong PH atau hilang mata pencarian.

Tegas beliau, penjawat awam seharusnya perlu diberi kebebasan untuk memilih parti yang mereka mahu selari dengan amalan demokrasi diamalkan di negara ini.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, biarlah mereka memilih apa juga parti untuk disokong asalkan mereka menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Saya dapat tahu penjawat awam diminta menyokong PH dengan menyertai parti-parti dalam PH. Kita lihat mereka yang bekerja di bawah KEMAS, JASA dan agensi lain disuruh mengisi borang (sertai PH), kalau tidak akan hilang mata pencarian.

“Sebagai negara demokrasi, biarlah mereka tentukan mana hala tuju sokongan mereka, asalkan mereka menjalankan tugas-tugas dengan bagi bagi jawatan yang telah diamanahkan,” katanya.

Tambah Zahid lagi, terlalu banyap harapan yang telah diberikan oleh kerajaan PH kepada rakyat, namun hasilnya amat mengecewakan.

“Mereka terpedaya dengan janji-janji lalu. Mengikut laporan seramai 500,000 orang telah diberhentikan kerja. Ada yang hilang kerja apabila projek besar dibatalkan, ada yang hilang kerja kerana politik.

“Apa yang akan terjadi kepada nasib mereka ini? Kesian rakyat. Pulangkan apa yang telah ditarik balik. Tanpa rakyat siapa kamu dalam kerajaan?

“Rakyat tidak perlu jambatan bengkok, rakyat tidak perlu kereta nasional ketiga. Mereka mahu taraf sara hidup dinaikkan. Ada mulut yang perlu disuap, perlu pakaian yang cukup. Apa nasib mereka bila bantuan dipotong dan dikurangkan,” katanya.-13/11/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 216  tetamu dalam talian