12Disember2019

Agenda Daily

Azmin tidak pertahan jawatan Ketua Cabang Gombak

Lain macam signal yang diberikan oleh Timbalan Presiden PKR  Datuk Seri Azmin Ali apabila membuat keputusan untuk melepaskan 'tapak sokongan akar umbi' dengan tidak bertanding untuk jawatan Ketua Cabang PKR Gombak.

Sebaliknya Bernama melaporkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang akan bertanding untuk jawatan tersebut dan pencabarnya adalah Datuk Nizam Saad.

Ketua Koordinator PKR Negeri Selangor Hassan Yusof berkata ini kali pertama Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Anggota Parlimen Gombak melepaskan jawatan ketua cabang yang diasaskannya ketika PKR ditubuhkan pada 1999.

Beliau turut memberitahu Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang kekal Ketua Cabang Ampang selepas menang tanpa bertanding.

“Jumlah pendaftaran calon yang bertanding bagi peringkat cabang di Selangor juga meningkat lebih 20 peratus berbanding jumlah calon yang bertanding pada pemilihan lepas,” katanya.

Tambah beliau lagi, jumlah kutipan yuran pencalonan bagi negeri itu adalah tertinggi iaitu sebanyak RM201,000 diikuti Sabah sebanyak RM169,000.

Sesi pencalonan pemilihan 22 cabang PKR Selangor di Dewan Teratai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini semalam berjalan lancar dengan kira-kira 2,200 borang pencalonan diterima untuk pelbagai jawatan.

Kaunter pendaftaran dibuka pada pukul 10 pagi dan ditutup pada pukul 5 petang tetapi pemprosesan pendaftaran masih diteruskan sehingga 6 petang.

Para calon, pencadang dan penyokong bagi cabang masing-masing juga dilihat telah menunggu seawal 7.30 pagi di luar perkarangan dewan tersebut.

Selangor adalah negeri terakhir melakukan pencalonan pemilihan dan pengundian akan diadakan bermula September sehingga awal Oktober di seluruh negara.-14/8/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 242  tetamu dalam talian