20Julai2019

Jentera BN Sarawak dalam keadaan siap siaga - Muhyiddin

tpmsampaiKEMASKINI Jentera Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi apa jua perubahan politik dan juga pilihan raya negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya pelbagai isu berkaitan pilihan raya negeri dibincangkan pada sesi taklimat beliau dengan jentera BN Sarawak pada Selasa, antaranya soal berkaitan projek-projek pembangunan yang dijanjikan buat negeri, pendaftaran pemilih, dan juga tanah adat pribumi (NCR).

Beliau berkata sejak berlalunya pilihan raya negeri Sarawak yang lepas pada 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sendiri telah mengumumkan peruntukan yang menjangkau lebih RM3 bilion bagi pelbagai projek pembangunan untuk dilaksanakan di Sarawak.

"...arahan hari ini adalah supaya segala projek yang diumumkan akan kita laksanakan selaras dengan (konsep) janji ditepati. Kalau ada isu-isu berkaitan tapak, kontraktor dan hal-hal tertentu peringkat negeri, ia akan diselesaikan sebelum pilihan raya negeri akan datang," katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat berkenaan di sebuah hotel di Kuching pada Selasa.

Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri berkata selain itu beberapa jadual lawatan beliau dan juga Perdana Menteri sudahpun disusun oleh kepimpinan BN Sarawak, bagi membolehkan mereka memantau sendiri masalah-masalah yang dihadapi penduduk kawasan tertentu.

Mengulas prestasi BN dalam menunaikan janji- janjinya di Sarawak, Muhyiddin berkata melihat kepada keadaan sekarang, prestasinya cukup baik, namun apa yang penting adalah segala yang diumumkan itu mesti disempurnakan dalam tempoh sekitar dua tahun akan datang.

Menurutnya banyak projek diumumkan secara berperingkat, pada skala yang pelbagai, dan ia perlu diteliti satu persatu.

Muhyiddin berkata selain itu pada 30 Julai ini, Petronas akan memberikan taklimat terperinci kepada kerajaan negeri berhubung pelbagai projek yang dilaksanakan syarikat berkenaan, termasuk tentang hasil minyak negara, perbelanjaannya dan isu berkaitan.

Merujuk kepada isu parti baharu Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang ditubuhkan beberapa wakil rakyat Sarawak daripada BN, Muhyiddin berkata perkara itu sudah dibincangkan beliau dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan Perdana Menteri sendiri sudah mengambil maklum mengenainya.

"Setakat ini kita serahkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri (Sarawak) selaku Pengerusi BN Sarawak (untuk menanganinya), dengan mengambil kira situasi yang sensitif mengenainya.

"Tapi yang penting adalah memastikan bahawa apapun yang timbul nanti tidak akan menjejaskan kedudukan BN," katanya dan menambah Adenan memerlukan sedikit masa lagi untuk menangani isu berkenaan.-24/6/2014


Lawatan kerja sehari TPM ke Sarawak

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Kuching pada Selasa untuk lawatan kerja sehari ke Sarawak.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bersama-sama isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman disambut Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan isteri Puan Sri Jamilah Anu.

Turut hadir menyambut ketibaan beliau adalah anggota kabinet negeri serta orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Muhyiddin memulakan lawatan dengan melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di kediaman peribadi di Demak Jaya, di sini.

Timbalan Perdana Menteri kemudian dijadual menghadiri taklimat tertutup 'Janji Ditepati' pada 3 petang di sebuah hotel di sini dan diikuti dengan sidang akhbar.

Beliau dijadual menghadiri Program Sekolah Amanah anjuran Yayasan Amir di SK Tabuan, kira-kira 4.15 petang.

Muhyiddin akan mengakhiri lawatan kerja sehari dengan menghadiri Majlis Sambutan Perayaan Gawai Dayak di Pusat Redeems, Kampung Apar Singai, Bau Kuching malam ini.-24/6/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 606  tetamu dalam talian