19November2019

Agenda Daily

Taktik pembangkang... bila kalah, salah SPR

ti-mahpczzIni memang perangai pembangkang, apabila mereka kalah maka 'pengadil' salah... dalam kes pilihanraya kecil Teluk Intan, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) jadi mangsa.

Bagi Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong, pembangkang terutama DAP perlu berhenti menyalahkan pihak lain berhubung kekalahan parti Sabtu lalu.

Menurutnya, mereka seharusnya menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi di Parlimen itu dengan hati terbuka.

"Saya lihat pihak lawan tidak henti-henti menyalahkan pihak lain kecuali diri sendiri. Sekarang, PRK sudah berakhir dan masa untuk bekerja demi kepentingan penduduk di Parlimen ini," katanya pada sidang media selepas mengiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, melakukan lawatan ucapan terima kasih ke beberapa daerah mengundi pada Selasa.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menuduh SPR gagal memastikan ketelusan di dalam proses PRK itu sehingga menyebabkan kekeliruan dari segi jumlah yang keluar mengundi dan jumlah kertas undi yang dikeluarkan.
 
Justeru, katanya, pembangkang mahu Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bertanggungjawab dengan menjelaskan mengapa percanggahan angka tersebut boleh berlaku.
 
Menolak dakwaan ia sengaja ditimbulkan oleh pembangkang, Nga seterusnya memberitahu, integriti SPR yang seharusnya bebas wajar dipersoalkan apabila terjadinya isu-isu sebegini.
 
"Tan Sri Aziz gagal. Beliau perlu tepuk dada tanya diri sendiri. Bukan menuding jari kepada pembangkang kerana angka ini bukan direka oleh pembangkang. Sebaliknya diumumkan oleh SPR sendiri,"katanya.
 
Terdahulu, Abdul Aziz menjelaskan putar belit yang sengaja ditimbulkan pembangkang berhubung jumlah undi dalam PRK Teluk Intan.
 
Maka ujarnya, tidak timbul isu SPR tidak telus dan berat sebelah sehingga memberi kemenangan kepada calon BN, kerana menurutnya, penjumlahan undi dilakukan dengan lebih daripada sekali. 
 
Perkembangan terkini berhubung PRK Teluk Intan menyaksikan pihak pembangkang yang tidak berpuas hati dengan kekalahan calon DAP, Dyana Sofea Mohd Daud, tampil dengan maklumat tidak tepat berhubung pecahan jumlah undi.
 
Dalam maklumat yang disebarkan secara meluas di internet, pihak pembangkang mendedahkan kononnya jumlah undi yang diperoleh Mah dan Dyana, serta jumlah undi rosak, tidak selari dengan jumlah keseluruhan pengundi.
 
Maklumat dan kiraan yang dikeluarkan pihak pembangkang juga menyatakan terdapat lebihan 384 undi, iaitu terhasil daripada jumlah tidak selari antara jumlah pengundi yang keluar mengundi, dengan jumlah undi yang dimenangi Mah dan Dyana. 
 
Angka yang dikeluarkan pihak pembangkang yang menyatakan jumlah undi rosak atau ditolak adalah sebanyak 505 undi, sama sekali tidak tepat dengan pengumuman rasmi SPR iaitu 543 undi. 
 
Tidak itu sahaja, pihak pembangkang juga didapati salah membuat kiraan. Ini boleh dilihat daripada maklumat tersebut yang menjumlahkan undi Mah (20,157), undi Dyana (19,919) dan undi rosak menurut sumber pembangkang (505), maka jumlah keseluruhan yang dicatakan adalah 40, 626; sedangkan jika dikira dengan teliti, jumlah yang patut dicapai 40,581.
 
Aziz dalam pada itu menjelaskan bahawa jumlah keseluruhan kertas undi yang dikeluarkan iaitu 40,668; sejumlah 543 kertas undi rosak dan ditolak dan bilangan kertas undi yang dikeluarkan tetapi tidak dimasukkan dalam peti undi adalah sebanyak 49 undi.
 
Dari angka tersebut, jumlah undi yang dimenangi oleh Mah (20, 157), dicampur dengan jumlah undi yang diperoleh Dyana (19, 919), jumlah undi ditolak atau rosak (543) dan bilangan kertas undi yang dikeluarkan tetapi tidak dimasukkan dalam peti undi (49); maka ia akan selari dengan jumlah kertas undi yang dikeluarkan.-3/6/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 224  tetamu dalam talian