18November2019

Agenda Daily

Surendran sekali lagi berdepan usul digantung enam bulan

surendran1xxAhli Parlimen PKR Padang Serai, N. Surendran sekali lagi berdepan usul bagi menggantung beliau dari menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan esok.

Usul berkenaan akan dibentangkan pada Khamis oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri kerana Surendran didakwa menghina serta mencemarkan nama baik dan merendahkan kredibiliti Dewan Rakyat.

Setelah diusir keluar dari Dewan Rakyat oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia Rabu lalu, Surendran telah mengadakan satu sidang media di lobi Parlimen menuduh Speaker sentiasa menolak apa juga pertanyaan dan usul yang dikemukakan oleh ahli Parlimen pembangkang.

Beliau turut dilaporkan membuat kenyataan bahawa Parlimen gagal berfungsi dengan baik selain menuduh Dewan Rakyat bersifat ‘autoritarian’ kerana menghalang hak pihak pembangkang bersuara.

Sehubungan itu, Nancy akan mengusulkan agar Surendran digantung daripada perkhidmatan selaku ahli Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat selama enam bulan dari tarikh keputusan usul berkenaan diluluskan.

Dalam insiden kekecohan di Dewan Rakyat Rabu lalu, Ahli Parlimen PKR Kuantan, Fuziah Salleh turut dihalau oleh Pandikar Amin gara-gara mempertikaikan kewajaran Speaker menolak petisyen beliau berhubung bantahan terhadap projek Lynas.

Untuk rekod, Surendran baru sahaja menamatkan tempoh penggantungan selama enam bulan yang berkuatkuasa sejak 14 November tahun lalu juga atas dakwaan membuat tuduhan liar terhadap Speaker dan menghina institusi Parlimen.

Ketika itu Surendran mulanya telah diarah keluar dari Dewan selama dua hari oleh Pandikar Amin kerana mencabar keputusan Speaker menolak usulnya untuk membahaskan isu perobohan sebuah kuil di ibu negara.

Surendran yang tidak berpuas hati kemudiannya mengadakan sidang media di lobi Parlimen dan membuat kenyataan menuduh Pandikar Amin bersikap berat sebelah.

Beliau turut menyamakan Parlimen Malaysia sebagai Parlimen Robert Mugabe, iaitu Presiden Zimbabwe.

Berbekalkan bukti kenyataan beliau itu Surendran terpaksa “bercuti panjang” selama enam bulan dari menghadiri persidangan Dewan Rakyat.-Oleh QURNISHA HAMKA- 18/6/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 243  tetamu dalam talian