14Ogos2020

Agenda Daily

RM50 juta untuk pilihanraya semula Selangor - SPR

Ini peringatan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai jumlah wang rakyat yang terpaksa dibelanjakan andaikata ada pilihanraya semula di Selangor.

Jangan lepas ini dok bising kata SPR tak bagi peringatan... Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof meminta pemimpin PKR berhenti daripada bermain politik sepanjang masa dalam soal krisis di Selangor kerana jika berlaku pilihan raya negeri...RM50 juta terpaksa dibelanjakan.

Menurut beliau, jumlah sebesar itu tak sepatutnya dibazirkan untuk satu lagi pilihan raya yang tidak perlu kerana adalah lebih baik dana tersebut digunakan untuk pembangunan negara daripada sekadar memenuhi nafsu politik pihak tertentu.

Jelasnya, jika benar pucuk pimpinan PKR tidak lagi boleh menerima Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, adalah lebih baik parti itu melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengemukakan undi tidak percaya berbanding mencetuskan pilihan raya negeri.

Dalam nada sinis beliau kemudiannya berkata, adalah sesuatu yang pelik melihat PKR begitu bersungguh-sungguh mahu menggulingkan Abdul Khalid sedangkan sebelum ini bekas tokoh korporat tersebut digambarkan oleh pembangkang sebagai menteri besar terbaik di Malaysia.

"Saya ingat dulu Abdul Khalid disifatkan sebagai menteri besar paling baik di Malaysia. Semua memuji beliau sebagai menteri besar paling cekap dan efisien terutama dalam pengurusan ekonomi tetapi sekarang digambarkan pula seolah-olah sebagai paling buruk. Tidakkah pelik?

"Pujian itu keluar dari mulut pemimpin PKR dan pembangkang sendiri tapi sekarang orang yang sama pula memburukkan Abdul Khalid. Pujian melangit bertukar jadi 20 helaian kes salah laku menteri besar secara tiba-tiba," katanya dipetik Utusan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada SPR sudah bersedia jika kemelut politik di Selangor yang berpunca daripada nafsu politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, gagal menemui penyelesaian sehingga memaksa pilihan raya negeri terpaksa diadakan.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, sejak Pilihan Raya Kecil DUN Kajang lagi yang sengaja dikosongkan atas motif politik, SPR sudah menjelaskan bahawa jika permainan politik sedemikian tidak dihentikan, sejumlah besar wang rakyat terpaksa dibazirkan.

"Seingat saya tiada negara lain dalam dunia ini yang permainan politiknya berlaku setiap hari seperti di Malaysia. Kita baharu sahaja melalui Pilihan Raya Umum 15 bulan lalu. Mengapa perlu diganggu kepemimpinan di Selangor sekarang? Semua ini tidak perlu dan boleh dielakkan.

"Apabila SPR bersuara, orang politik marah. Mereka hanya mahu SPR kunci mulut dan ikut sahaja. Tapi kita kena ing-at, negara ini ada undang-undang. Begitu juga dalam soal nak tukar menteri besar, bukan boleh dibuat seperti tukar pengurus syarikat milik persendirian," katanya.-7/8/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 348  tetamu dalam talian