20November2019

Agenda Daily

Rasuah: Azmin nafi dakwaan Chegubard

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa dirinya menentang amalan politik wang dan rasuah sekaligus kenyataannya itu menafikan dakwaan bahawa dirinya terlibat dengan amalan tersebut.

Menurut Azmin, beliau selesa untuk memberikan ruang kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti dan Jawatankuasa Disiplin bagi menjalankan siasatan ke atas dakwaan terbabit.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan dakwaan bertulis yang disampaikan kepada Lembaga Disiplin parti oleh ahli PKR, Badrul Hisham Shahrain atau lebih dikenali sebagai Chegubard minggu lalu.

“Saya menentang amalan politik wang, amalan rasuah, itu asas perjuangan parti. Apatah lagi di dalam pemilihan merupakan satu peluang untuk kita membuktikan apa yang kita nyatakan bahawa pemilihan mesti dijalankan secara bersih dan adil kepada semua calon,” katanya.

Menurut ahli Parlimen Gombak itu, sekiranya ada sebarang bantahan atau aduan, ada saluran yang perlu disampaikan kepada JPP dan jika ia melibatkan disiplin, ia akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin.

Katanya, pihak berkenaan akan meneliti setiap aduan selain mengemukakan cadangan untuk tindakan.

“Saya dah kena fitnah 15 tahun. Biarlah JPP siasat, Jawatankuasa Disiplin siasat,” katanya ketika ditemui di Parlimen, Rabu.

Dalam perkembangan yang sama, Azmin hanya berpandangan bahawa tuduhan yang dikemukakan oleh Chegubard hanyalah sebagai satu dakwaan dan meminta pihak JPP untuk menjalankan siasatan yang sewajarnya.

“Itu dakwaan. Semua orang boleh buat dakwaan. Tetapi JPP kita berikan sepenuh kepercayaan untuk meneliti setiap aduan dan dakwaan. Beri peluang kepada mereka untuk siasat,” katanya ringkas.

Pada Selasa, Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Abdullah Sani Abdul Hamid mendesak Lembaga Disiplin untuk turut menjalankan siasatan keatas semua calon yang bertanding termasuk calon Timbalan Presiden PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bertanding menentang Azmin.

Menurut beliau, Lembaga Disiplin harus berlaku adil dengan menjalankan siasatan ke atas semua calon yang terlibat dengan pemilihan selari dengan konsep keadilan yang menjadi asas kepada penubuhan parti itu.Oleh QURNISHA HAMKA -11/6/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 217  tetamu dalam talian