Polis tidak amal siasatan terpilih - Timbalan KPN
- Terakhir dikemaskini: 06 Ogos 2014
Memang rungutan ini mula kedengaran... ada yang soal kenapa kes ini cepat ambil tindakan... kes itu lambat atau tiada tindakan.
Pihak yang jadi mangsa rungutan ini adalah polis dan Pejabat Peguam Negara.
Pada Selasa, dalam satu kenyataan media, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata pihaknya memandang serius tohmahan kononnya polis menjalankan siasatan secara selektif/terpilih isu-isu sensitif perkauman dan agama yang tersebar menerusi media sosial.
Menurut Mohd Bakri, polis tidak pernah bersikap selektif dan dalam menjalankan siasatan polis tidak mengutamakan mana-mana kaum atau agama.
Kelewatan menyiapkan siasatan sesuatu kes menimbulkan sangkaan yang polis bersikap selektif (memilih).
"Saya ingin menjelaskan bahawa tempoh yang diambil untuk melengkapkan sesuatu kertas siasatan adalah berbeza dan ia bergantung kepada banyak faktor, khususnya maklumat yang berjaya dikumpulkan.
"Dalam menangani kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang disebarkan melalui Facebook, polis harus mengambil tindakan untuk mengenal pasti pemilik sah akaun yang digunakan terlebih dahulu agar tindakan yang adil dapat dilaksanakan," katanya.
Beliau juga menjelaskan dalam kebanyakan situasi, akaun tersebut didaftarkan di luar negara di mana undang-undang Malaysia tidak boleh digunapakai.
"Ia menyebabkan polis mengambil masa yang lama untuk menjalankan siasatan forensik, terutamanya apabila pemilik mendakwa bahawa akaun mereka telah dicerobohi (hacked) oleh pihak ketiga.
"Bagaimanapun masalah ini dapat diselesaikan dengan kerjasama agensi lain," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar tidak memainkan isu berbaur perkauman dan agama hingga boleh menggugat keharmonian kaum dan ketenteraman awam.-6/8/2014