23Mac2019

Pemilihan PKR: Siasat juga Khalid Ibrahim

abdullah-sani-abdul-hamidLembaga Disiplin PKR diminta turut menyiasat calon Timbalan Presiden, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membuktikan parti itu berlaku adil kepada semua ahlinya, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Menurut beliau, bukan penyandang jawatan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali sahaja yang harus disiasat atas dakwaan politik wang seperti dikatakan Badrul Hisham Shahrin (Chegubard), malah semua calon termasuk Khalid juga turut disiasat.

“Sepertimana diketahui bahawa Dr Syed Husin Ali mengetuai siasatan terhadap Azmin, pada pandangan saya,  harus dan wajib untuk disiasat secara menyeluruh semua yang bertanding supaya tidak akan terlepas jenayah yang dilakukan dalam PKR,” katanya.

Sebelum ini, PKR melalui Lembaga Disiplin telah melantik Dr Syed Husin bekas timbalan presiden parti  untuk mengetuai pasukan siasatan terhadap kem  Azmin yang dikatakan cuba menyogok Pengerusi Panel Bantahan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Abdul Malek Hussin.

Namun bagi Abdullah Sani, beliau melihat bahawa semua pihak wajar disiasat memandangkan tuduhan berkenaan politik wang bukan sahaja membabitkan Azmin, malah ada juga calon lain.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu turut menambah bahawa dirinya yakin Azmin tidak melakukan perkara seperti yang dituduh oleh Chegubard dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai satu spekulasi.

“Setahu saya sejak mengenali Azmin Ali, jauh panggang dari api. Tidak berlaku begitu, sebab saya kenal dia bukan sekarang, saya kenal dia sejak 1994.

“Itu hanya spekulasi, musuh hanya akan mengundang kepada kecelakaan, kawan akan mengundang kebaikan. Itu yang berlaku,” katanya.

Walaupun pemilihan parti sudah tertangguh hampir sebulan, Abdullah Sani tetap positif dengan perkembangan pemilihan.

Menurut beliau, pemilihan kali ini dianggap sebagai satu pencapaian yang baik buat parti berbanding pemilihan yang sebelum ini.

“Sepertimana yang diamanahkan, ianya mengikut jadual yang telah ditetapkan. Saya kira pemilihan kali ini adalah yang terbaik yang perlu diberi penghormatan kerana JPP.

“Demi untuk mencari keadilan, ianya harus mengambil tempoh yang agak panjang supaya tidak mencicirkan keaiban,” katanya.

Katanya, jika perlu masa yang panjang supaya keadilan ditegakkan, masa akan panjanglah waktu pemilihan PKR yang masih tertangguh.-11/6/2014 -bnbbc.my

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 625  tetamu dalam talian