19November2019

Agenda Daily

Peguam Negara diminta berundur secara terhormat

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, perlu berundur secara terhormat kerana beliau disifatkan sudah tidak kompeten untuk bersikap adil dan tegas kepada rakyat Malaysia terutama membabitkan isu yang menyentuh soal perpaduan.

Beliau juga dianggap lemah serta tidak responsif terhadap kegelisahan rakyat terbanyak, selain dilabel gemar melakukan pendakwaan terpilih terutama jika kesalahan itu dilakukan orang Melayu yang mana tindakan segera pantas diambil.

Utusan melaporkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pandangannya secara peribadi, Abdul Gani boleh dianggap sebagai peguam negara yang tamat tempoh dan perlu diganti segera dengan tokoh undang-undang yang lebih cekap, berani dan tegas.

Dakwanya, contoh paling ketara ialah bagaimana Abdul Gani mengenakan pendakwaan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer atas kesalahan mengeluarkan perkataan celaka yang dibuat semasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

"Semua orang tahu wakil rakyat mempunyai imuniti di DUN mahupun Dewan Rakyat tetapi dalam kes Rayer, pemimpin DAP ini mengulangi perkataan celaka dalam ceramah di luar DUN. Mengapa Peguam Negara lakukan kesilapan ini sehingga kes terpaksa digugurkan?

"Kenapa tiada pendakwaan baharu ke atas Rayer dengan mengambil kenyataan yang dibuatnya semasa dalam ceramah? Sebab itu, bagi saya Abdul Gani tidak kompeten dan sudah tamat tempoh," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rasa tidak puas hati banyak pihak terhadap Abdul Gani yang sehingga kini masih gagal mendakwa Kelvin Yap selepas lelaki itu secara terang-terangan menghina orang Melayu dan Islam menerusi Facebook baru-baru ini.

Berlainan pula dengan kes penceramah bebas, Shahul Hamid yang segera diambil tindakan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan begitu juga dengan kes Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin atau dikenali sebagai Kiki.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad berkata, Abdul Gani perlu berhenti bersikap mahu cuci tangan dalam isu-isu berkenaan apabila membiarkan kerajaan menjadi mangsa kemarahan rakyat, sedangkan beliau dilantik sebagai peguam negara bagi mengurus hal sedemikian.

"Beliau kena jelaskan kenapa Jabatan Peguam Negara lambat bertindak? Apakah kerana tidak cukup bukti atau tidak mendapat kerjasama daripada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) atau polis sendiri? Jangan membisu dan mahu cuci tangan.

"Kalau beliau tidak mampu memberi penjelasan, Abdul Gani perlu berundur secara terhormat kerana siri kegagalan yang sudah menjadi koleksi beliau sepanjang perkhidmatannya menyebabkan kegelisahan rakyat terbanyak semakin sukar dibendung," katanya.-5/8/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 292  tetamu dalam talian