15November2019

Agenda Daily

Abaikan manifesto DAP - Shafie

telukintan-shafiePengundi di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan diminta mengabaikan manisfesto DAP kerana ianya merupakan janji yang tidak pernah ditepati sebagaimana janji pakatan pembangkang itu di Selangor.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal berkata, manifesto pembangkang itu tidak boleh dipegang kerana sentiasa berubah-ubah malah di Selangor dianggap ianya tidak perlu ditunaikan.

“Itu adalah janji-janji manis, dua penggal parti DAP memegang Parlimen ini, apa pembangunan yang dibuatnya dalam tempoh itu.” kata Shafie yang mempersoalkan tanggungjawab ahli parlimen DAP sebelum ini.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas mengadakan ‘walkabout’ mesra bagi meninjau enam buah rumah keluarga miskin di Kampung Sungai Kerawai, Teluk Intan, petang Rabu. Penduduk yang dilawati itu adalah antara yang memohon pembiayaan membina dan membaiki rumah dibawah Program Bantuan Rumah (BPR) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Beliau berkata, sambutan penduduk kampung amat baik terhadap program tersebut dan memang banyak permohonan tetapi tidak semua dapat diluluskan segera.

“Setakat ini terdapat beberapa buah rumah yang begitu daif perlu diutamakan untuk dibina dalam masa terdekat,” tambah beliau.

Shafie yang juga menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memberitahu bahawa kemudahan infrastruktur termasuk sekolah, jalan kampung dan lampu jalan, dibuat oleh kerajaan.

“Saya berharap pada PRK ini pengundi mesti faham ianya untuk memilih wakil rakyat bukannya membentuk kerajaan. Pegundi perlu memastikan kebajikan masyarakat terbela," katanya.

Beliau juga menyeru agar semua pihak menghormati kemangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dengan menukar program ceramah kepada program keagamaan seperti bacaan surah yassin dan tahlil.

“Itu nasihat saya...supaya selain ada ruang untuk kita kempen kita juga dapat menyampaikan tanda sayang kita kepada baginda.” ujar Shafie.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 244  tetamu dalam talian