22September2019

UMNO bantah perjualan aset Khazanah dan PNB

UMNO menolak usaha penjualan aset Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNB).

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa PNB merupakan agensi amanah (trust agency) Bumiputra di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra.

“Justeru, sebarang penjualan untuk melepaskan hak pemegangan ekuiti akan jejaskan peratusan ekuiti potfolio untuk skim-skim saham amanah di bawahnya,” katanya menerusi akaun Twitter beliau hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian sebagai respon kepada Setiausaha Politik Menteri Kewangan Tony Pua yang dilapor berkata akan mengkaji semula dan mencairkan beberapa “aset yang tidak strategik” dalam Khazanah dan PNB sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan kerajaan.

Terdahulu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua berkata, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan menyemak semula dan melepaskan aset bukan-strategik sebagai sebahagian langkah kerajaan mengurangkan kos.

Pua berkata, Khazanah, sebagai salah satu pihak berkepentingan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama, serta PNB akan mengkaji semula pegangan mereka.

Sementara itu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengkritik pendekatan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang berhasrat menjual aset negara sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan mengurangkan hutang negara.

Najib berkata, penjualan aset negara, terutamanya dalam bentuk saham yang disenarai adalah langkah paling mudah dilakukan, namun adakah ia merupakan langkah bijak dan sudah dikaji terlebih dahulu sebelum diambil.

“Adakah langkah untuk menjual aset negara hari ini seumpama menggadai masa depan negara bagi menampung langkah populis kerajaan hari ini?

“Meningkatkan ekonomi negara yang akan melonjakkan hasil kerajaan ialah langkah yang patut diambil,” katanya.

Najib berkata, sewaktu beliau mentadbir negara, aset Khazanah naik dari RM33.7 bilion akhir 2008 kepada RM115.7 bilion pada akhir 2017, manakala aset PNB naik dari RM120 bilion kepada RM279.2 bilion.

Beliau turut menjelaskan hutang kerajaan kebanyakannya adalah dalam bentuk bon atau sukuk, manakala kadar faedah ke atas bon ini adalah sekitar 3.6% setahun. Ia lebih rendah dengan kadar pertumbuhan purata aset Khazanah iaitu sebanyak 9.6% setahun, manakala PNB 9.2%.

“Pada masa itu kita tidak jual aset Khazanah, asetnya meningkat dari RM33.7 bilion kepada RM115.7 bilion pada akhir tahun 2017, iaitu keuntungan RM82 bilion. Pilihan mana yang lebih bijak? Keuntungan RM82 billion ataupun penjimatan RM10.1 bilion?” katanya..-12/10/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 792  tetamu dalam talian