19November2019

Agenda Daily

Shahidan ‘berbulu’ UMNO, BN terus dipersalahkan

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim melahirkan rasa ‘berbulu’ atau tidak puas hatinya kepada pemimpin dan ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang berterusan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di atas kegagalan mereka sendiri.
 
Antara yang paling kerap berbuat demikian ujar Shahidan adalah ahli Parlimen DAP Jelutong, RSN Rayer.
 
Berucap ketika membahaskan usul kajian separuh penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat, Isnin, Shahidan turut membangkitkan satu ‘trend’ baru di kalangan ahli Parlimen PH yang gemar menjawab ‘bagi pihak’ menteri.
 
“Saya ingin menyatakan bahawa saya menyokong KSP RMK 11 yang telah disampaikan oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sebab diasaskan untuk kebaikan rakyat. Tetapi yang saya masih tidak berpuas hati dan (rasa) berbulu dengan cara penyampaian dibuat oleh pihak kerajaan dan juga ahli-ahli Parlimen kerajaan iaitu menyalahkan UMNO dan BN.
 
“Jelutong nombor satu, suka sangat menyalahkan UMNO dan BN. Silap sikit salahkan BN. Dan ada satu trending yang kurang bagus, semua di sana (ahli Parlimen PH) nak jadi menteri. Jelutong pun jawab bagi pihak menteri. Jadi seolah-olah mereka menganggap bahawa apabila mereka berada di pihak kerajaan, mereka boleh menjawab bagi pihak menteri.
 
“Ahli parlimen kena minta menteri untuk menjawab. Jadi saya minta supaya pemikiran bahawa UMNO salah, BN salah, hentikan serta-merta,” katanya.
 
Menurutnya lagi, tindakan PH yang terus meletakkan kesalahan kepada UMNO dan BN sebenarnya secara tidak langsung menghina Dr Mahathir dan ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini memimpin PH.
 
Ini kerana katanya kedua-dua pemimpin tersebut adalah merupakan pemimpin yang paling lama berkuasa di dalam UMNO dan BN.
 
“Sekarang PH memerintah. Bukan mengulangi benda-benda atas asas (menyalahkan) ini UMNO dan BN.
 
“Tiap kali Yang Berhormat menyebut perkataan tersebut, kita sebenarnya menghina Tun (Dr Mahathir) sendiri, menghina Port Dickson kerana merekalah yang menjadi ketua UMNO yang paling lama.
 
“Siapa Yang Amat Berhormat Tun?  Siapa Yang Berhormat Port Dickson. Semua orang tahu bahawa mereka ini DNA UMNO. Mereka diwujudkan oleh UMNO dan BN.
 
“Tapi tak mengapa, sebab PH kurang pemimpin, kami hantar kepada mereka untuk jadi pemimpin,” katanya.
 
Shahidan turut mengulas, pendirian politik Dr Mahathir yang berubah sejak beliau bekerjasama dengan DAP.
 
“Tun sering menyebut kepada kami (pemimpin BN), bahawa benda yang baik kalau disimpan jadi tak baik. Tetapi benda yang tak baik diulang berkali-kali, dia jadi baik.
 
“Jadi inilah yang terjadi, Tun juga setelah berkawan dengan DAP, terus berubah mengulangi benda-benda yang tidak baik sehingga disangkakan baik.
 
“Kita lihat bahawa Tun juga mengulangi banyak berkara-perkara yang tak mampu dilaksanakan tetapi diulang sehingga rakyat percaya.
 
“Contohnya manifesto, cukup sukar untuk dilaksanakan. Tetapi diulang berkali-kali sebagai satu perkara yang baik, akhirnya rakyat percaya,” katanya. – 22/10/2018 - Oleh AIDIL SYUKRI
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1281  tetamu dalam talian