22September2019

Sesekali 'Mike Tyson' bersuara...

Namanya jarang muncul untuk memberikan ulasan mengenai isu politik semasa... tetapi sesekali beliau bersuara, terasa tepat 'pukulannya'.

Yang terbaru Tan Sri Muhammad Muhd Taib atau lebih dikenali sebagai 'Mike Tyson', mempersoalkan sikap bekas pemimpin parti itu yang berlagak seperti 'malaikat' berhubung isu sumber dana politik.

Sudah terang lagi bersuluh beliau maksudkan bekas pemimpin parti itu adalah Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainudin, Tan Sri Rafidah Aziz dan beberapa lagi yang berlagak macam mereka tidak kena mengena langsung dengan UMNO selama ini.

Beliau berkata, bekas pemimpin UMNO yang berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak sepatutnya mempertikaikan sumber dana yang diperoleh bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak serta kepada siapa ia disalurkan.

"Saya pelik tiba-tiba sekarang nak kaitkan UMNO terima dana haram. Kalau hendak persoal dari mana datangnya duit yang UMNO ada sekarang, kita kena persoal juga dari mana datangnya duit UMNO sejak 60 tahun lalu.

"Lainlah jika dana politik ini tidak turun ke akar umbi. Setahu saya, tidak ada dengar pula pemimpin serta ahli akar umbi mengeluh dana tidak sampai kepada mereka.

"Sejak berpuluh tahun lalu, adakah kita pernah bertanya kepada Presiden UMNO sumber dana ini? Saya berpendapat ia adalah amalan biasa semua parti politik dan adakah ahli mereka persoalkan sumber dana politik mereka?" katanya dipetik Berita Harian.

Ditanya mengenai kenyataan Dr Mohamad Khir Toyo semalam yang kemungkinan UMNO akan diharamkan selepas parti itu dikatakan menerima RM20 juta wang haram yang dikaitkan dengan Najib, Muhammad yang juga bekas Menteri Besar Selangor berkata, ia hanya pandangan peribadi bekas pemimpin itu.

"Saya akui agak kecewa dengan sikap bekas pemimpin UMNO yang dilihat seperti sengaja mengheret UMNO dalam isu ini apabila mereka berkuasa.

"Kenapa sekarang tiba-tiba semuanya haram? Janganlah main-main isu halal haram ini. Seperti yang saya tegaskan sejak dulu sehingga sekarang, kita semua tidak pernah bertanya dari mana UMNO dapat dana untuk kelangsungan parti ini," katanya.

Semalam, Dr Mohamad Khir yang juga bekas Menteri Besar Selangor berpendapat UMNO tidak perlu hala tuju baharu kerana ia bakal menjadi kenangan dan sejarah.

Beliau dalam status Facebook miliknya, berkata UMNO akan diharamkan seperti dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, UMNO akan diharamkan selepas Najib didakwa di mahkamah atas pertuduhan salah laku pengubahan wang haram yang turut membabitkan UMNO yang dikatakan menerima RM20 juta daripada wang terbabit.

Katanya, berdasarkan undang-undang, mana-mana pertubuhan yang menerima dana wang daripada sumber haram atau meragukan boleh diharamkan pertubuhannya.-2/10/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 717  tetamu dalam talian