Segerakan kerjasama dengan UMNO sekat 'cita-cita sulit' DAP - AJK PAS
- Terakhir dikemaskini: 19 November 2018
PAS perlu supaya menyegerakan kerjasama dengan UMNO bagi membendung “keserakahan” DAP, gesa seorang Ahli jawatankuasa PAS Pusat.
Menyifatkan Islam dan Melayu dipelekeh, Mokhtar Senik berkata kerjasama itu bakal menjadi “tsunami” politik yang meranap “cita-cita sulit” DAP, lapor Harakah Daily.
Beliau berkata parti itu berusaha menakut-nakutkan ahli PAS dan UMNO dengan “kalimat UG” kerana serpihan parti Melayu Islam akan “berpaut” kepada mereka.
“Ayuh kita gerakkan tsunami politik itu mulai sekarang. Jangan berlama-lama kerana tanah air ini sudah bosan dengan kezaliman, penindasan dan pembohongan.”
Mokhtar berkata DAP juga bertambah berani apabila mendakwa ada “Melayu bacul” yang mempertikaikan bangsanya dan mengiyakan pandangan parti majmuk itu.
Datuk Seri Zahid Hamidi semalam menyatakan UMNO dan PAS akan segera mewujudkan jawatankuasa khas demi memperjuangkan agenda Melayu dan Islam.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerjasama PAS dan UMNO penting dalam mempertahankan agenda Islam dan Melayu.
Bagaimanapun beliau menegaskan kerjasama tersebut bukanlah bermakna PAS dan UMNO akan bergabung dalam satu entiti politik.
“Buat masa ini, PAS dan UMNO tidak akan bergabung dalam gerakan politik kerana masih banyak perkara yang perlu diselesaikan manakala UMNO sendiri berdepan dengan pelbagai masalah," katanya.
“Namun, dalam konteks muafakat politik, kita (PAS) bekerjasama mengikut keperluan bagi mempertahankan agenda terbabit."
Katanya, agenda itu penting untuk menguatkan blok pembangkang yang berdepan banyak cabaran kebelakangan ini.-19/11/2018