12November2019

Agenda Daily

PM dedah ada pegawai kerajaan bergaji RM200,000 sebulan...

Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan ada pegawai kerajaan sebelum ini yang bergaji sehingga RM200,000.00 sebulan.

“Bila kita kata membersihkan, kita maksudkan membersih jentera kerajaan yang mana kita dapati ramai daripada pegawai-pegawai tinggi daripada kerajaan telah menyeleweng, tidak lagi menjalankan tugas sebaliknya cuba mencari keuntungan untuk diri sendiri.

"Sampai kita lihat ada pegawai kerajaan yang gajinya sampai RM200,000 sebulan disebabkan penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan. Orang semacam ini kita sudah bersihkan dan singkirkan,” kata Dr Mahathir.

Dakwanya, jika diteliti, terlalu ramai yang terlibat dengan rasuah dalam kerajaan sebelum ini, malah ada di antara mereka memiliki 50 kesalahan membabitkan rasuah.

Tambah beliau, selepas mentadbir kerajaan selama enam bulan, kerajaan telah berjaya mengekang gejala rasuah semampu mungkin dan ketika ini tidak ada lagi rungutan tentang adanya pentadbiran kerajaan yang terlibat dengan rasuah.

“Mereka boleh berurus dengan kerajaan tanpa melibatkan rasuah. Kita dapati syarikat-syarikat dan peniaga sekarang ini tidak lagi merungut adanya rasuah ketika berurusan dengan kerajaan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, sebagai Perdana Menteri paling lama memerintah dan sebanyak dua kali, Dr Mahathir memberi markah sederhana iaitu 40 ke 50 peratus terhadap prestasi menteri Kabinet kini.

Walaupun tidak berpengalaman, beliau tetap bangga dengan mereka kerana dapat cepat belajar.

“Mereka belajar dengan cepat, kita bincang dengan mendalam berkenaan sesuatu supaya masing-masing faham cara-cara pemerintah.

“Sekarang ini mereka bukan lagi parti lawan tetapi pemerintah. tetapi alhamdulillah, kita tak dengar perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya dalam wawancara bersama Astro Awani.-22/10/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1498  tetamu dalam talian