22September2019

"Kita tak boleh berlembut dengan liwat" - Tun Mahathir

Undang-undang berkaitan liwat tidak akan dimansuhkan kerana perbuatan itu tidak wajar diterima, kata perdana menteri.

Dalam wawancara yang diterbitkan oleh Wall Street Journal, Tun Dr Mahathir Mohamad juga berkata hubungan seks seperti itu bertentangan dengan ajaran Islam.

“Kita ini negara Muslim dan kita tidak berlembut dengan liwat. Seluruh dunia mungkin boleh bertolak ansur tetapi kita tidak boleh. Ia bercanggah dengan agama,” katanya.

Bakal penggantinya Datuk Seri Anwar Ibrahim dihukum penjara sebanyak dua kali dengan pertuduhan kes ini, pada 2000 dan juga 2015. Namun beliau mendapat pengampunan diraja Mei lalu.

Ketua umum PKR, yang bertanding pada pilihan raya kecil Port Dickson, baru-baru ini menyarankan akta berkaitan kesnya dipinda kerana ia undang-undang lapuk warisan penjajah.

“Ini bukan sahaja lapuk, ia undang-undang penjajah Britain yang diperkenalkan di India dan digunakan juga di Malaysia.

“Ia sangat tidak adil kerana seseorang boleh dituduh, dan tanpa bukti kukuh seperti jelas dalam kes saya.

“Undang-undang itu mesti dipinda bagi memastikan proses keadilan dan isunya bukanlah soal orientasi seks,” katanya dalam temubual dengan Al Jazeera yang disiar minggu lalu.

Sementara itu, dalam soalan yang berlainan Dr Mahathir menegaskan, beliau tidak seharusnya dipersalahkan terhadap hukuman penjara yang dijatuhi ke atas Anwar kerana itu adalah keputusan mahkamah.

Perdana Menteri ketika diajukan pertanyaan sama ada berasa kesal terhadap tindakan undang-undang yang diambil terhadap bakal Presiden PKR itu pada tahun 1990-an, yang membawa kepada sabitan dan hukuman penjara.

“Saya tidak pasti mengenai penyesalan, tetapi pada masa itu ia diputuskan di mahkamah. Perbicaraan berlangsung selama sembilan bulan. Pelbagai bukti ditunjukkan, kemudian mahkamah membuat keputusan.

“Itu bukan keputusan saya! Ada pihak yang mahu menyalahkan saya walaupun saya tidak masuk campur dalam urusan mahkamah,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan yang beliau boleh sahaja menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang ketika itu masih berkuat kuasa dan membenarkan kerajaan menahan individu tanpa perbicaraan.

“Tetapi saya tidak melakukannya, beliau (Anwar) sebaliknya dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Dr Mahathir berkata, pengkritiknya mahu mempolitikkan hukuman penjara Anwar.

“Saya bukanlah pemimpin yang disenangi barat, kerana seorang yang kritikal terhadap sebarang kesalahan dilakukan di tempat lain (merujuk kepada kritikannya terhadap Israel).

“Maka apabila mereka mempunyai sebab untuk menyalahkan saya, mereka akan melakukannya,” katanya yang kini bekerjasama dengan Anwar dalam Pakatan Harapan (PH), yang mencatatkan kemenangan menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.-30/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 625  tetamu dalam talian