22September2019

Jika keluar UMNO minggu lepas, anda tidak akan lihat saya begini - Azeez

Inilah harga yang perlu saya bayar untuk sebuah perjuangan." itu kata bekas Pengerusi Biro Kebajikan UMNO yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam satu catatan terkini di facebooknya.

Menurut beliau, jika saya telah keluar dari UMNO minggu lepas, orang ramai anda tidak akan melihat beliau berbaju lokap SPRM dan bergari semasa direman pada Rabu.

Tegas Azeez, walau apa pun dugaan atau rintangan atau ugutan yang datang, hatta ke penjara sekalipun beliau tetap tidak akan meninggalkan perjuangan parti keramat UMNO ini.

"Kirim salam kepada semua rakan2 seperjuangan. Insyallah saya akan terus teguh bersama UMNO." katanya.

Sementara itu, permohonan penahanan reman selama tujuh hari di bawah Sek­syen 117 Kanun Tatacara Jenayah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ahli Parlimen Baling yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim didakwa tidak sah di sisi undang-undang.

Berikutan itu, permohonan tersebut telah dibantah oleh peguam, S. Devanandan yang mewakili Abdul Azeez berasaskan alasan bahawa Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM sejak siasatan terhadapnya dijalankan selepas serbuan di beberapa lokasi yang mempunyai kaitan dengannya pada 23 Mei lalu.

Menurut Devanandan, peruntukan yang terpakai bagi siasatan berkenaan sepatutnya di bawah Seksyen 49 Akta SPRM 2009 dan bukan permohonan reman di bawah Sek­syen 117 Kanun Tatacara Jenayah, namun hujah tersebut ditolak oleh mahkamah.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akur dengan keputusan mahkamah.

“Kita bantah sekeras-keras­nya hujah pihak Timbalan Pendakwa Raya SPRM memandangkan alasan-alasan tersebut tidak kukuh dan Abdul Azeez tidak perlu berada dalam penahanan untuk pihak SPRM selesaikan tindakan-tindakan siasatan yang perlu diambil.

“Mereka mengatakan bahawa mereka perlu membuat semakan dan perbandingan rakaman percakapan saksi-saksi lain dengan rakaman percakapan Abdul Azeez bagi memastikan sama ada terdapat sebarang percanggahan atau tidak.

“Kami berpendapat bahawa Abdul Azeez tidak perlu ditahan untuk mendapatkan penjelasan kerana beliau sanggup hadir di SPRM pada bila-bila masa untuk membolehkan mereka menyelesaikan siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Selain itu, Devanandan memberitahu, pihak pendakwaan berhujah bahawa pegawai penyiasat perlu membuat semakan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tentang aset Abdul Azeez sama ada telah diisytihar dan dibayar cukai, namun pihaknya menyatakan perkara itu boleh dilakukan tanpa penahanan anak guamnya.

Berikutan itu, Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap Abdul Azeez, abangnya dan sepupu mereka setelah ketiga-tiganya dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada pukul 10.30 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dan tangan digari.

Pada Selasa, Abdul Azeez ditahan di Ibu pejabat SPRM  pada pukul 11.15 pagi ketika hadir untuk memberi keterangan kepada suruhanjaya berkenaan.-27/9/2018

Berita sebelum ini

Azeez digari untuk tahanan reman SPRM...

Bekas Pengerusi Biro Kebajikan UMNO yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pagi Rabu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman berhubung siasatan rasuah.

Beliau diiringi beberapa pegawai, tiba dengan baju lokap berwarna oren Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tangan bergari pada jam 10.35 pagi dengan menaiki kenderaan Toyota Fortuner hitam.

Beliau disambut kira-kira 50 penyokong yang diketuai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang berkumpul di luar mahkamah sejak 8 pagi tadi.

Azeez, 52, ditahan di ibu pejabat SPRM semalam, selepas dipanggil untuk membantu siasatan kes penerimaan rasuah di bawah Seksyen 16 Akta SPRM.

Abangnya, Abdul Latif – pengurus besar sebuah syarikat yang ditahan semalam, dilihat tiba di mahkamah sejurus selepas Azeez.

Media melaporkan 2 beradik itu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi sebuah projek.

Pada 23 Mei lalu, SPRM merampas wang tunai RM500,000 dari rumah Azeez di Baling, Kedah dan Subang, Selangor serta pejabatnya di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dalam siasatan ke atas pelantikan kontraktor untuk projek TH.

Azeez dilaporkan berkata, sebahagian daripada RM500,000 itu untuk membiayai misi ke Gaza, Palestin yang dirancangnya selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, manakala sebahagian lagi ialah peruntukan bagi perbelanjaan UMNO Bahagian Baling yang sepatutnya diberikan kepada rakyat sempena Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

Selain wang tunai, katanya, SPRM turut merampas jam tangan dan pelbagai mata wang asing.-26/9/2018
   

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 422  tetamu dalam talian