22September2019

Anwar 'tumpang' kereta menteri jadi isu di PD...

Kempen pilihanraya kecil Port Dickson semakin panas selepas dakwaan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh “cakap tidak serupa bikin” apabila turut terlibat menggunakan acara dan kemudahan jentera kerajaan.

“Cakap tidak serupa bikin. Tidak hairan sekiranya calon ini menang, reformasi institusi yang sering dilaungkan akan dibakulsampahkan begitu sahaja,” kata ketua penerangan PAS.

Nasrudin Hassan membidas ketua umum PKR yang hadir acara penganugerahan pingat kepada pesara tentera yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu semalam.

Selain hadir di majlis tersebut yang diadakan di Muzium Tentera, katanya lagi, Anwar juga menaiki kenderaan rasmi menteri itu dengan nombor pendaftaran WC 1960 E.

“[Anwar] lupa dengan kenyataan beliau sendiri dalam sidang media bertarikh 21 September 2018 sebagai mana yang telah disiarkan oleh Astro Awani,” kata Nasrudin dalam kenyataannya.

Sebelum hari penamaan calon Sabtu lalu, Anwar dilaporkan berkata beliau mahu pilihan raya kecil itu “bebas daripada penggunaan aset dan jentera kerajaan”.

“Pihak yang berkempen dan hadir untuk memberi sokongan kepada saya, perlu hadir sebagai pemimpin parti dan bukannya wakil kerajaan,” kata calon Pakatan Harapan (PH) lagi.

Anwar berdepan calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas menteri besar Tan Sri Isa Samad dan bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Dalam kenyataan sama, Nasrudin juga mempertikai pengumuman Mohamad untuk menyediakan peruntukan RM500,000 bagi membaiki kuarters tentera di Port Dickson.

“Jadi, apakah semua ini? Sandiwara politik? Tidakkah ini secara jelas membohongi dan mengkhianati apa yang telah diucapkan oleh beliau [Anwar] sendiri?

“Saya tidak fikir bahawa ini adalah calon yang sesuai diangkat sebagai perdana menteri,” katanya.

Sebelum ini, NGO Bersih mendakwa PH menggunakan jentera kerajaan di PRK Seri Setia dan Balakong sebelum ini.

Pengarah Eksekutif BERSIH Yap Swee Seng berkata ia berdasarkan hasil pemerhatian NGO itu di kedua-dua PRK tersebut.

"Berdasarkan dapatan kami dan kesalahan (pilihan raya) yang dilakukan - menyediakan makanan dan memberikan barangan, dan juga penggunaan kereta rasmi untuk menghadiri program kempen - ini semua taktik yang sangat serupa dengan yang pernah dilakukan BN pada masa lalu.

"Nampaknya taktik sama digunakan oleh PH. Jadi dari sudut pandang BERSIH, kami bimbang budaya seumpama ini telah diamalkan oleh PH," katanya.

Menurut laporan Bersih berkenaan PRK Balakong, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk ke program kempen PH.

Pada 4 September lalu, iaitu hari mengundi awal, calon PH Wong Siew Ki dan beberapa penyokongnya dikatakan membawa logo parti ke pusat mengundi.

Sebuah kenderaan yang mempamerkan logo PH juga didakwa dilihat kurang 50 meter dari pusat itu.-05/10/2018

 

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 592  tetamu dalam talian