06Ogos2020

Agenda Daily

The Battle of Anak-anak Ibrahim

anwar-khalid-zaid513Datuk Mohd Zaid Ibrahim tiba di restoran Haji Samuri Satay Kajang tengah hari Ahad memakai baju kemeja warna krim, sedondon dengan isterinya Datin Suliana Shamsuddin Alias yang setia menemani ahli politik kontroversi itu.

Dalam sidang media itu, beliau mengumumkan hasratnya untuk bertanding sebagai calon bebas di DUN Kajang. Satu langkah untuk 'mengajar' Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas bosnya dalam PKR dan juga tanda soladiriti dengan seorang lagi anak Ibrahim, Tan Sri Abdul Khalid, yang juga Menteri Besar Selangor.

Bagi Zaid, Kajang Move adalah satu bentuk rampasan kuasa oleh Anwar, dan seperti selalu, beliau terpaksa ke depan sebagai hero, untuk menyelamatkan keadaan.

Kisah pertembungan anak-anak Ibrahim di Kajang ini agak menarik untuk dibaca... yang tersurat mahupun tersirat.

Pandangan ramai orang-orang UMNO dan penyokong BN, Zaid Move ini satu lagi bentuk sandiwara politik pembangkang.

Anwar yang terdesak mahu sokongan orang Melayu yang kukuh untuk BN di Kajang, menggunakan bekas menteri yang dilantik oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ke Kabinet pada 2008, sebagai senjata untuk pecahkan undi BN, sesuatu yang wajar diambil kira.

zaidibrahim-isteri

Dalam kewartawanan politik, nama Zaid Ibrahim timbul ketika berlaku apa yang pembangkang gelar Krisis Perlembagaan 1988 ketika pemecatan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas.

Ketika ramai peguam memilih untuk menyokong Salleh dan menentang kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad, Zaid menongkah arus.

Beliau paling ke depan membela kerajaan di dalam kes tersebut, suaranya lantang dan menarik perhatian ramai.

Zaid kemudian berjinak-jinak dengan politik, menjadi Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu.

Beliau juga ahli perniagaan yang berjaya, firma guamannya, Zaid and Co merupakan firma guaman terbesar di Malaysia.

Pernah bertanding kerusi Parlimen Kota Bharu beberapa kali dan menang pada tahun 2004, bagaimanapun beliau tewas pada tahun 2008, dan dalam satu langkah mengejut, Zaid diberikan jawatan Senator dan dilantik ke Kabinet Abdullah yang baru saja hilang 2/3 majoriti di Dewan Rakyat ketika itu.

Jodoh tak panjang, Zaid meletak jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak lama kemudian, mula rapat dengan PKR, sebelum menyertai parti itu selepas Anwar menang kerusi Permatang Pauh dan dilantik ketua pembangkang di Parlimen.

Ketika Zaid bersama PKR, puji dan puja penyokong Anwar pada Zaid yang dilihat sebagai tokoh demokrat melambung-lambung.

Beliau dinamakan calon parti itu di Pilihanraya kecil Hulu Selangor menentang calon muda BN P Kamalananthan pada April 2010.

Zaid kalah. Dalam pemilihan PKR berikutnya, beliau bertanding kerusi nombor dua parti, menentang anak emas Anwar, Azmin Ali, dan Zaid kalah, lagi.

Kritikan terhadap PKR mula kedengaran dari mulut Zaid, yang kemudian sekali lagi mengejutkan politik Malaysia dengan menubuhkan parti politik baru dinamakan Parti KITA.

Dan seperti dijangka, KITA pun ditinggalkan Zaid, yang 'menarik diri' dari politik arus perdana, dan hanya memberikan pandangan melalui blog serta twitter peribadinya.

Bagi pengiat politik Malaysia, Zaid kini pro pakatan pembangkang. Jika di Kajang, beliau mahu memecah undi, undi pembangkang lah yang sepatutnya berpecah.

Orang-orang UMNO dan BN, cukup kenal siapa Zaid Ibrahim. Sehingga ada yang bertanya, dengan nada sinis, jika Anwar menggunakan alamat rumah bapanya untuk bertanding di Kajang, Zaid yang tinggal di banglo dalam kawasan elit Tropicana Damansara, menggunakan alamat siapa untuk bertanding di Kajang?

khalid-ibrahim-tenang

Sehingga kini, yang nampak tenang dan penuh kawalan diri, walaupun berdepan kehilangan jawatan adalah Tan Sri Abdul Khalid.

Ahli korporat yang merasa 'disingkirkan' oleh kepimpinan Abdullah selepas era Dr Mahathir, terjun ke dunia politik, secara tiba-tiba dan meraih paling banyak untung dari semua ahli PKR yang lain.

Jawatan paling berkuasa kepunyaan PKR di dalam pentadbiran kerajaan adalah MB Selangor, dan ia milik Khalid, yang hanya menyertai parti itu pada awal tahun 2007.

Beliau tanding sekali di PRK Ijok dan kalah, cuba kali kedua dalam PRU12, dan menang bergaya di Ijok juga kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Gajinya sebagai MB dan MP, belum campur elaun pengerusi berbagai anak syarikat kerajaan negeri, sudah pasti dicemburui oleh rakan-rakannya dalam PKR.

Orang macam Azmin Ali, yang bersama Anwar, puluhan tahun, hanya memerhatikan, Khalid memperolehi semuanya, kuasa dan harta, dari penat lelah beliau merintis jalan.

Anwar sendiri, biarpun diangkat menjadi ketua pembangkang, juga tidak punya kuasa sebesar Khalid di dalam pentadbiran kerajaan.

Seringkali pemimpin PKR dengar Anwar bersungut mengatakan Khalid juga tidak dengar nasihat-nasihat beliau.

Khalid adalah Pengarah PKR DUN Kajang di mana Anwar merupakan calonnya, beliau melakukan apa yang perlu dilakukannya, tetapi Khalid juga menolak tunduk, ketika orang-orang kepercayaan Anwar menyuakan surat perletakan jawatan beliau sebagai MB untuk ditandatangani.

Sebagai tokoh korporat, Khalid tahu seni bersilat, 'budak-budak' baru kepercayaan Anwar, bukan tandingan Khalid dalam soal political maneuvers.

Khalid faham, kedudukannya dan apa peranan yang hendak dimainkan berdasarkan situasi dan suasana.

Macam Khalid kata sendiri, di dalam satu temubual dengan Malaysiakini, jika beliau hendak letak jawatan sebagai MB, itu atas pilihannya sendiri, bukan atas desakan sesiapa saja.

Dan percayalah itulah Khalid Ibrahim. Hanya dia saja betul.

anwar-cantikxx

Seorang lagi anak Ibrahim, Anwar, tidak perlu diperkenalkan lagi, seorang yang licik dalam politik, hanya berkelulusan sastera dari Universiti Malaya, tetapi menjadi pensyarah jemputan di Universiti Johns Hopkins (universiti dengan penkhususan mengkaji dasar luar Amerika Syarikat).

Itulah liciknya Anwar, ketika beliau bersama UMNO, ustaz, artis, tauke judi, ahli akademik, seniman... semua kawan-kawan beliau.

Sebagai pemimpin, Anwar bukan pentadbir yang hebat, tetapi pencatur nombor satu... beliau tahu apa dan bagaimana hendak melangkah.

Ketika dalam kerajaan, Anwar diuji dengan krisis matawang 1997/1998 dan beliau gagal.

Skandal peribadinya menyebabkan dia dipecat, dibicarakan, dihukum penjara sebelum dibebaskan dan kembali ke arena politik sebagai tokoh pembangkang.

Sebagai pencatur, Anwar berjaya mendekatkan PAS dan DAP, beliau ditengah-tengah, dan beliau jadi ketua.

Kononnya mahu jadi PM sejak PRU11 tahun 1999, sehinggalah PRU13, tahun 2013, cita-cita Anwar tidak tercapai, apa lagi yang tidak beliau janjikan, semua sudah, termasuk ugutan halus kepada simpatisannya, jika pembangkang kalah PRU13, dan beliau tidak menjadi PM, akan bersara dari politik dan jadi pensyarah.

Pembangkang kalah, Anwar bukan PM, tapi beliau tidak bersara.

Dan kini, menurunkan tarafnya, dari calon PM kepada calon MB. Barangkali lebih realistik.

Kajang Move ini dilaksanakan untuk membolehkan Anwar jadi MB. Jika menang, dan jika sultan berkenan.

Mungkin Anwar merasakan dia terlalu kuat, PKR dan pembangkang terlalu hebat, untuk dikalahkan di Kajang, sehingga mengambil perhitungan tersebut.

Untung sabut timbul, dengan kemasukan Zaid, yang dijangka pecahkan undi Pakatan, mungkin BN nampak peluang yang lebih cerah.

Ingat sejarah pilihanraya kecil Ampang, ketika bekas MB Selangor, Datuk Harun Idris dikalahkan oleh anak muda MCA Ong Tee Keat.

Dalam gelanggang pilihanraya kecil, apa saja boleh jadi, terutamanya jika majoriti pengundi adalah Cina. Tak boleh pegang, tak boleh percaya.

Pertembungan anak-anak Ibrahim di Kajang ini menarik, masing-masing dengan mimpi sendiri.

Banyak persoalan dari jawapan, apakah Anwar berjaya melepasi halangannya kali ini, bagaimana nasib Khalid Ibrahim jika Anwar menang atau kalah, juga apa lagi Zaid Ibrahim mahu selepas ini...

Macam kata Ibrahim Pendek dalam filem Ali Baba Bujang Lapuk... "Mari kita tengok siapa yang kena..."-17/2/2014

ikon-helmexx

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 506  tetamu dalam talian