30Mei2020

Agenda Daily

Satu hari di Legoland...

legoland-malaysiaKetika iklan mengenai Legoland Malaysia mula disiarkan di kaca televisyen, anak saya, Mukhriz, sibuk ajak pergi, dia yang baru berusia empat tahun, tidak tahupun di manakah Legoland itu berada.

Mukhriz yang setiap hari melayari laman youtube kartun-kartun kegemarannya, mula suruh buka youtube mengenai Legoland. Dan kemudiannya, hari demi hari, makin banyak pertanyaan mengenai Legoland keluar dari bibirnya.

Belas melihat keinginan Mukhriz, saya dan isteri merancang trip tiga hari dua malam ke selatan tanahair untuk menghabiskan masa di taman tema bertaraf antarabangsa yang terletak di Nusajaya, Johor itu.

Perjalanan kami dari Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, terus ke bandar Johor Bharu, dan mendaftar di Hotel Grand Sentosa, yang saya tempah di booking.com dengan kadar sewa bilik untuk tiga hari dua malam RM250 tanpa sarapan di JB.

Ia perjalanan yang mudah, dari Bangi, kami ikut Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) keluar Tol Skudai yang ambil masa 3 jam, terus menghala ke pusat bandar dan lebih kurang 10 minit tiba di hotel yang terletak di Taman Sentosa tidak jauh dari jalan menghala ke Woodland, Singapura.

Selepas makan malam di Stulang Laut yang terkenal dengan keenakkan mee rebus, kami pulang awal ke hotel, jarak hotel dengan Stulang Laut kira-kira 15 minit sahaja.

Hotel itu terletak di tepi Plaza Sentosa, yang ada berbagai kemudahan untuk membeli belah. Hotel baru setahun beroperasi, biliknya bersih, nak makan boleh order dan secara keseluruhannya berbaloi dengan wang yang dibayar.

Berdasarkan pengalaman yang sudah-sudah pergi ke taman tema di luar negara, saya tahu esok (Sabtu) akan menjadi satu hari yang memenatkan, jadi saya beritahu Mukhriz supaya tidur awal, dapatkan rehat secukupnya.

legolanhelme200Legoland dibuka jam 10 pagi setiap hari, ditutup jam 6 petang hari biasa dan 8 malam pada hujung minggu atau cuti umum, perjalanan dari hotel ke Nusajaya melalui Skudai, Taman Perling, menyusuri Teluk Danga hanya mengambil masa 35 minit.

Kalau dalam kereta ada GPS, setkan saja : - 1º 26’ 14? N 103º 37’ 2? E sampailah ke Legoland Nusajaya, insyallah.

Lokasi Legoland sangat strategik di mana orang dari Singapura dan Indonesia dapat datang dengan mudah dan sudah tentu bakal menjadi satu lagi tempat tarikan pelancong ke Malaysia.

Taman bertemakan sistem mainan Lego dengan pelaburan sebanyak RM700 juta ini adalah yang pertama di Asia dan keenam di dunia selepas Denmark, England, California, Florida dan Jerman.

Jadi tidak hairanlah walaupun perjalanan kami dari hotel ke Nusajaya lancar sebaik tiba di Legoland sekitar jam 10.30 pagi, kami melihat deretan bas bawa rombongan dan kereta berpusu-pusu masuk ke laluan utama.

Tempat letak keretanya cukup luas, boleh menampung 3500 kereta satu-satu masa, tidak sukar untuk mencari parking jika tiba awal.

Legoland Malaysia mengekalkan konsep asal Legoland di Barat, ia merupakan taman tema out door, makanya dengan cuaca di Malaysia boleh dibayangkan betapa panasnya terutama ketika matahari terpacak atas kepala.

Tips penting sebelum masuk ke Legoland pastikan bawa payung, ia merupakan perkara asas, samada panas atau hujan. Saya bawa juga bekas air, senang beli air mineral dan letak dalam bekas sendiri.

Semasa beratur hendak beli tiket, quenya panjang biarpun semua kaunter dibuka, sempat berborak-borak dengan pengunjung lain, rata-rata orang Singapura yang menghabiskan hujung minggu di Malaysia.

Ada ramai juga pelancong asing, dan saya sempat berborak dengan rombongan dari Pulau Pinang yang datang dengan bas, terus ke situ. Wah ramai yang teruja rupanya.

Saya hanya dapat masuk kira-kira jam 11.10 minit pagi, selepas berbaris lama.

Tiketnya berharga RM140 untuk yang berumur 12 hingga 59 tahun, kanak-kanak dan warga emas pulak RM110, jika anda rakyat Malaysia sila tunjuk Mykad dan dapat potongan, setiap tiket jadi RM110 sahaja.

Jika rasa setahun hendak beberapa kali ke Legoland, elok beli pakej tahunan dengan harga RM245.00 dewasa, dan yang berumur 3 hingga 11 tahun hanya RM180.00.

Boleh masuk setiap hari pun tak apa sepanjang tahun selagi tempohnya tidak tamat.

legoland-malaysia-theme-park400Sebaik masuk, sebelah kiri mengadap pintu utama ada kedai sewa kereta sorong, bagi yang bawa budak dan ada kereta sorang sendiri elok bawa, jika tiada boleh sewa dengan kadar RM20 untuk single dan RM30 untuk double.

Nasihat saya, kalau tak ada budak pun sewa sahaja, boleh letak beg-beg yang dibawa, ingat, taman tema ini luasnya 76 ekar atau kira-kira 50 padang bola, ada 40 jenis permainan, dengan tujuh gugusan mengikut tema, kalau menapak dengan beg berat memang seksa badan.

Lagi pula, ada beberapa permainan yang tidak boleh bawa beg, jadi jika ada kereta sorong boleh letak beg di situ dan simpan di tempat disediakan. Lebih selamat dari tinggal beg merata-rata.

Makanan luar tidak dibenarkan dibawa masuk, jadi elok makan kenyang-kenyang dulu, baru masuk, makanan di dalam Legoland, mahal berdasarkan harga antarabangsa.

Untuk sepinggan nasi ayam RM15 dan segelas air coco-cola RM4.60 sen. Selain itu kena beratur panjang terutamanya ketika waktu puncak, dan kena buat sendiri kerana tiada sesiapa hendak ambik order.

Dari pintu pagar utama, jika anda bawa anak kecil berusia 6 tahun ke bawah, elok bermula dari sebelah kanan, tempat di mana banyak permainan untuk kanak-kanak pada usia tersebut.

Jika bermula di sebelah kiri, permainannya untuk kanak-kanak dengan ketinggian tertentu, biasanya budak bawah 6 tahun tidak lepas, dan akan mengecewakan mereka yang teruja dari mula.

Ada dua surau utama, tiga restoran dan berbagai kemudahan termasuk ATM untuk keluar duit.

legoland-mukhriz400Permainan 40 jenis, dan pengalaman saya berada di Legoland dari jam 11.00 pagi hingga 7.30 malam, hanya sekitar 30 sahaja yang sempat dimainkan.

Antara faktor utama adalah masa untuk berbaris setiap kali hendak main, ada permainan yang memerlukan kita berbaris panjang, dan saya pada Sabtu lepas, dua kali menunggu lama kerana masalah teknikal.

Sekali masa hendak naik bot di Lego City, terpaksa menunggu lebih 30 minit, sebab masalah teknikal pada sistem yang beroperasi, 30 minit itu belum campur masa berbaris lagi, kalau campur masa berbaris mahu sejam juga.

Di Lego City juga, kami menaiki kereta api Legoland Express yang boleh memuatkan 60 penumpang pada satu-satu masa untuk mengelilingi taman tema ini, bolehlah... Seronok juga ronda-ronda naik keretapi ini.

Permainan seperti lumba kereta untuk kanak-kanak bawah 6 tahun juga perlu berbaris panjang, Mukhriz yang teruja hendak 'race car' sabar menanti gilirannya hanya selepas 45 minit. Ada enam kereta dan ratusan budak-budak, satu pusingan ambik masa empat minit, bayangkan berapa banyak masa terbuang untuk menunggu sahaja.

Mujur budak-budak ini tidak jemu menunggu, kerana pada setiap tempat, ada disediakan set khusus Lego yang mereka boleh mainkan, jadi mereka akan main itu beramai-ramai, tinggalah mak-bapak yang berbaris tunggu giliran.

Apa yang menarik, ada juga permainan yang melibatkan keluarga, seperti perlumbaan untuk padam kebakaran, ada dua kereta bomba dan dua polis, empat keluarga boleh join sekaligus.

Apabila bermula, ibu bapa kena tekan padel khas dengan tangan bergilir-gilir untuk kenderaan bergerak, dan apabila tiba, anak-anak kena sembur air ke arah 'api' juga dengan menekan padel khas.

Permainan ini menarik kerana ia melibatkan perlawanan antara keluarga, pemenang adalah yang berjaya pergi padam kebakaran dan pulang dengan masa paling pantas, agak memenatkan, tetapi lepas itu boleh senyum panjang.

Di gugusan Lego Kingdom pula tersedia permainan kereta berkelajuan tinggi, sayang saya tidak sempat ke situ pada trip kali ini berikutan kesuntukan masa. Apatah lagi bila melihat panjangnya barisan sebelum boleh naik kereta berkelajuan tinggi ini.

Sempat 'kembali' ke zaman Firaun dengan menaiki bot sambil menyaksikan dinosaur di Land of Adventure, ada pistol dengan infra red untuk kita tembak sasaran tertentu sepanjang perjalanan dalam 'piramid' itu dan ada markah yang dipaparkan setiap kali sasaran mengena di depan bot anda.

Banyak bot disediakan, tetapi tetap kena beratur panjang, saya habiskan masa kira-kira sejam di sini, termasuk 15 minit kerana kerosakan teknikal, yang entah apa puncanya.

legolandxxWalaupun begitu, saya puji kecekapan petugas-petugas muda Legoland ini, yang pantas menyelesaikan masalah, dan melayan kerenah pengunjung dengan penuh hormat dan sopan.

Di satu sudut Miniland, ada berbagai jenis replika bangunan bersejarah Malaysia dan dunia, ada bangunan Sultan Abdul Samad, Masjid Putrajaya, KLCC, Angkor Wat, Taj Mahal, selain pelabuhan yang dibina dengan begitu indah dan mengkagumkan.

Apa yang membanggakan adalah semua rekaan ini dibuat oleh anak-anak muda Malaysia, juga dari pemerhatian saya hampir 90 peratus pekerja di Legoland adalah orang Malaysia.

Membaca dari risalah yang disediakan Legoland ada lebih kurang 1000 pekerja, dan rekaan Miniland ini dibuat sejak tiga tahun lalu melibatkan 50 juta bongkah Lego dan 15,000 ribu model berbagai jenis.

Sebelum balik, boleh singgah di kedai barang cenderahati, cuma pastikan duit cukup, sebab untuk topi dengan logo Legoland sahaja harganya RM49, baju budak-budak RM39, yang dewasa harga ikut saiz, harga bagi t-shirt berkolar Legoland saiz XL adalah RM99.00.

Sebaik keluar sudah malam, terus pulang ke hotel. Kebetulan dari hotel saya hanya perlu berjalan kaki untuk menikmati bubur nasi istimewa No 1 yang terkenal di JB itu, itulah juadah kami sekeluarga malam itu, nak makan berat-beratpun badan dah tak boleh terima, orang kata "letih tahap gaban".

Makan ala kadar, pulang ke bilik dan tidur. Esoknya kami bangun awal, terus daftar keluar, sebab ada lagi satu tempat yang hendak dituju iaitu Johor Premium Outlets (JPO) yang terletak di Kulai.

Jika dari JB, hanya perlu ikut PLUS, keluar tol Senai Utara, dari situ hendak ke JPO hanya lima minit sahaja. Di JPO, banyak butik antarabangsa, dari yang kecil ke yang besar, macam-macam jenis barang, dan sudah tentu pengunjungnya hampir separuh warga Singapura.

Selepas makan tengahhari di JPO, kami jalan 'cuci mata', tengok saja apa yang ada, alang-alang ke JB kan...

Dari segi kos, perjalanan tiga hari dua malam kami tiga beranak, tidaklah mahal, minyak, tol, makan, tiket Legoland, beli itu ini, lebih kurang RM1000 saja, berbaloi sangat kerana pengalaman meluangkan masa bersama keluarga sudah pasti akan dikenang sampai bila-bila.-8/10/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 351  tetamu dalam talian