21November2019

Agenda Daily

Yaman jatuh ke tangan pemberontak: Kerajaan bawa keluar rakyat Malaysia bermula Isnin

KEMASKINI  Ketika dunia asyik dengan agenda Barat memerangi kumpulan Negara Islam di Syria dan Iraq... Yaman, negara di pinggir Barat Daya Semenanjung Tanah Arab  dan bersempadan dengan Arab Saudi jatuh ke tangan pemberontak Syiah.

Agensi-agensi berita dunia baru melaporkan perkara tersebut setelah lebih 24 jam kejadian.

Dipercayai kejatuhan Sanaa berlaku dengan cepat berikutan tentera Yaman meninggalkan kem-kem mereka dan menukar uniform kepada pakaian awam.

Agensi berita dunia AP misalnya melaporkan, pemberontak Syi'ah Houti menguasai sepenuhnya bangunan-bangunan kerajaan, membuat sekatan jalan selepas merampas kuasa.

"Mereka melaungkan slogan mati Amerika dan mati Israel, menyumpah Yahudi dan melaungkan kejayaan Islam, - slogan popular di Iran dan kumpulan pejuang Hezbollah," lapor AP.

Lebih membimbangkan adalah pemberontah Syiah anti Amerika itu menguasai lapangan terbang dan bangunan kementerian pertahanan Yaman.

Koresponden Al Arabiya News Channel di Yaman melaporkan  bahwa pemberontak Syi'ah Houthi menguasai semua pos strategik, termasuk kes tentera dan balai berita.

 Rakyat Malaysia kebanyakkan pelajar di Universiti Al Iman yang merupakan musuh utama pemberontak Syiah.

Mengambil kira semua itu, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Luar memutuskan untuk membawa keluar rakyat Malaysia yang terperangkap dalam pergolakan di Yaman mulai Isnin.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan Ahad berkata, kedutaan Malaysia di ibu negara Yaman iaitu Sanaa telah menyediakan penginapan sementara kepada 449 rakyat Malaysia sejak 19 September lalu.

YEMEN EVACUATION EXERCISE

"Kerajaan telah membuat keputusan untuk membawa rakyat Malaysia pulang dengan secepat mungkin, kumpulan pertama dijangka bertolak dari Sana'a ke tanahair pada 6 Oktober.

"Pihak kedutaan akan terus menyediakan bantuan kepada semua rakyat Malaysia dengan sokongan daripada Persatuan Pelajar Malaysia di Yaman sehingga mereka selamat pulang ke tanah air," kata kenyataan yang dikeluarkan Ahad.

September lalu, Asian Federation of Muslim Youth (AFMY) melahirkan kebimbangan terhadap pergolakan dan ketidakstabilan yang mulai berlaku di Yaman.

Menurut laporkan AFMY serangan dan pertempuran di antara askar dan puak pemberontak Syiah Houthi di Universiti Al-Iman, Sana'a memberikan isyarat bahawa krisis ini semakin merebak jika tiada penyelesaian segera.

Yaman merupakan sebuah negara republik yang terletak di pinggir Barat Daya Semenanjung Tanah Arab (Barat Daya Benua Asia). Ianya juga bersempadan dengan Arab Saudi di sebelah utara Laut Arab (jarak 1,458 km) dan Teluk Aden di selatan, Oman di sebelah timur, (288 km) dan Laut Merah di sebelah barat dan mempunyai anggaran populasi penduduk sebanyak kira-kira 13 juta orang.
 
AFMY berpandangan ketidakstabilan mutakhir ini di Yaman kerana 4 faktor utama iaitu:

1) Cubaan penguasaan kuasa besar Amerika Syarikat kerana kedudukan geografi Yaman yang strategik.

Yaman secara umumnya mempunyai Selat dikenali 'Bab Al Mandab' dan selat ini menghubungkan Laut Merah dan Teluk Aden. Bab Al Mandab ini mempunyai kedudukan yang paling strategik iaitu sebuah kawasan laluan perkapalan yang paling aktif di dunia.

Republik Yaman mempunyai 120 buah pulau, kebanyakannya di Laut Merah. Di antaranya ialah Socotra yang terletak di Lautan Hindi, Perim yang terletak di Bab Al Mandab dan Kamaran yang terletak di Laut Merah.

2) Perbezaan aliran mazhab

Pertembungan di antara perbezaan aliran mazhab Sunni dan Syiah Zaidiyyah yang dikenali sebagai 'Houthi' memberikan kesan terhadap konflik di Yaman. Ini ekoran, pemimpin mereka iaitu Abdel Malek al-Huthi telah memberontak pada tahun 2004 terhadap pemerintah Yaman iaitu Presiden Ali Abdullah Saleh dan menuduh beliau telah meminggirkan komuniti Syiah secara politik dan ekonomi. Maka kekacauan lebih tertonjol berlaku mulai tahun 2011.

Seperti sedia maklum, Syiah Zaidiyah adalah antara mazhab Syiah yang paling hampir dengan mazhab Syafi'e dan tiada permasalahan di peringkat awal namun disebabkan tindakan Iran yang mempengaruhi Syiah Zaidiyyah di Yaman, maka konflik dan masalah mulai timbul.

Ini juga ekoran insiden pertumpahan darah di Dammaj pada tahun 2013 yang lepas dalam penguasaan masjid-masjid di antara kedua-dua aliran mazhab tersebut.

3) Ketokohan pemimpin Parti Islah dan pengasas Universiti Al-Iman, Syeikh Abdul Majid Az-Zindani.

Ketokohan dan keilmuan yang ada pada Syeikh Abdul Majid Az-Zindani dalam menggerakkan sistem pendidikan Islam di Yaman menyebabkan ada pihak yang berusaha untuk menjatuhkan dan menggugat pengaruh beliau.

Peranan ulama Yaman, Syeikh Abdul Majid dalam mengasas Universiti Al-Iman, Sana'a yang kini musnah akibat diserang oleh pemberontak Syiah Houthi menunjukkan petanda bahawa ada penentangan terhadap Syeikh Abdul Majid yang sebelum ini lantang terhadap Iran. Ulama Yaman tersebut mendakwa Iran merupakan punca dalam mempengaruhi Syiah Zaidiyyah di Yaman maka sejak itu masalah dan konflik mulai timbul.

4) Penentangan Gerakan Al-Qaeda terhadap pemberontak Syiah Houthi

Semenjak berlakunya pertempuran dan pertumpahan darah berlaku yang mengorbankan kira-kira seratus nyawa ke atas sebuah sekolah Salafi di Dammaj oleh kelompok militan Syiah Zaidiyyah iaitu Houthi pada tahun 2013 maka gerakan Al-Qaeda telah memberi ancaman berterusan kepada pemberontak Syiah Houthi.

Gerakan Al-Qaeda telah bersumpah untuk melancarkan serangan menuntut bela ke atas serangan yang telah dilakukan oleh Syiah Houthi di Dammaj sebelum daripada itu. Maka berlaku pertempuran di antara gerakan Al-Qaeda dan pemberontak Syiah Houthi dan pertempuran ini mengorbankan angka korban yang tinggi.-5/10/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 172  tetamu dalam talian