22November2019

Agenda Daily

Pengkalan Kubor: Kisah Haji Mat Razi dan Pondok Simpangan

Ramai yang tidak tahu, dalam kedinginan pagi Rabu, Mat Razi Mat Ail, bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat 'berpeluh'.

Namanya 'naik' tiba-tiba sebagai calon BN untuk pilihanraya kecil DUN Pengkalan Kubor. AJK UMNO bahagian Tumpat ini  dibawa ke Putrajaya untuk menghadiri 'temuduga' dengan pujuk pimpinan tertinggi parti.

Walaupun dari segi kerjayanya, beliau 'warga Kementerian Pendidikan' yang mana diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun untuk membuat keputusan siapakah calon BN, ia merupakan pilihan Datuk Seri Najib Razak.

Pagi itulah, ayah kepada enam orang anak ini, diputuskan secara muktamad, menjadi calon BN.

Jika lihat CVnya, memang impresif, walaupun bertugas dengan kerajaan, Haji Mat Razi ada sekolah agama yang didirikan atas tanah wakaf beliau sendiri.

Sebenarnya, kisah pondok itu juga menarik, Haji Mat Razi merupakan AJK Pemuda Bahagian pada 2005, ketika idea mengenainya tercetus.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Agama Pemuda Tumpat, bertemu dengan Ketua Bahagian Arwah Datuk Noor Zahidi Omar, untuk bertukar fikiran.

Melihat kepada 'background' Haji Mat Razi yang lebih kepada pendidikan, maka arwah Datuk Zahidi minta beliau buka sekolah agama, orang Kelantan panggil pondok.

"Kos pembinaan sekolah itu sebanyak RM50 ribu disumbangkan oleh arwah Datuk Noor Zahidi," kata Haji Mat Razi.

Sekolah itu dinamakan Pondok Simpangan terletak di belakang masjid mukim Simpangan yang menjadi nama sekolah agama rakyat itu.

Secara rasminya ia beroperasi seperti sekolah agama rakyat (SAR) pada 9 November 2012, di mana beliau dibantu oleh beberapa orang ustaz tempatan sebagai tenaga pengajar.

Isteri beliau, Khairos Husin juga seorang guru tempatan, iaitu di Sekolah Kebangsaan Simpangan Tumpat.

Tiga daripada enam anaknya mendapat pendidikan agama ada di UIAM, ada di sekolah agama tersohor di Kelantan Maahad Muhammadi dan seorang lagi di Maahad Tahfiz Tanah Merah.

Anak sulungnya, Zamir Mat Razi kini mahasiswa di UiTM dengan jurusan seni reka.

Dari segi pelajaran beliau merupakan pemegang ijazah sarjana muda Sejarah dan Persuratan Melayu UKM (1999) dan sebelumnya penuntut Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim Kedah (1988).

Anak jati Pengkalan Kubor itu sentiasa bertekad meneruskan agenda pembangunan ditinggalkan arwah Datuk Zahidi jika memenangi PRK itu pada 25 September depan.

“Sesungguhnya kepemimpinan ditunjukkan arwah Datuk Noor Zahidi banyak memberi inspirasi kepada saya lebih-lebih lagi sifatnya yang cukup berjiwa rakyat dan sentiasa pastikan nasib rakyat terbela.

“Saya akan meneruskan usaha arwah yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam apa juga keadaan dan ini akan  menjadi pegangan saya,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman beliau sebagai calon pada Rabu.

Sementara itu, bagi bekas calon Parlimen BN Tumpat, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki 'endorse' pemilihan Haji Mat Razi.

"Kriteria pemilihan calon ini segar dan dinamik dan merupakan anak tempatan.

"Apa yang menariknya Haji Mat Razi ini merupakan seorang pengasas pondok dan bukan hanya dikenali di kalangan pengundi malah turut disenangi anggota jawatankuasa UMNO bahagian," katanya.

Bagi Ketua Penerangan UMNO Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata Haji Mat Razi merupakan calon terbaik dan disenangi ramai.

"Beliau seorang yang tiada musuh dan berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang politik," katanya.

PRK DUN itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar, 57, dari BN akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 Sept ini sebagai tarikh penamaan calon manakala hari pengundian 25 Sept.-11/9/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 494  tetamu dalam talian