08Disember2019

Agenda Daily

Pasca Lahad Datu: Apa pilihan kita...?

ld-postergantungkiram513Persoalan utamanya kini apakah zon perang di Lahad Datu kekal hanya di gugusan yang bersempadan dengan Pulau Tawi-Tawi atau ia akan merebak ke tempat lain pulak?

Bagi rakyat Malaysia yang berumur 50 tahun ke bawah, yang tidak pernah mengharungi konfrontasi dengan Indonesia pada 1963, pencerobohan Lahad Datu inilah pengalaman pertama merasakan gema semboyan perang.

Jamalul Kiram, yang pada asalnya menuntut Sabah bagi pihak 'Kesultanan Sulu', kini menukar retorik kepada berjuang untuk menuntut semula 'wilayah Filipina'.

Perang propaganda antara media arus perdana Malaysia dan Filipina, sambung menyambung dengan perang media sosial antara rakyat dan lebih 'ganas' lagi adalah perang siber antara kedua negara.

Angka rasmi jumlah laman web yang 'dirosakkan' oleh pasukan 'tentera siber' yang entah siapa-siapa kedua-dua negara kini lebih 200 buah.

Pengumuman Jamalul Kiram yang mengarahkan pengikutnya melancarkan perang gerila 'hit and run' terhadap Malaysia menambahkan lagi kebimbangan kita.

Bagi orang yang arif dalam selok belok perang gerila, ancaman Jamlul Kiram tersebut tidak boleh dipandang mudah.

Seorang bekas pegawai Komando misalnya menulis supaya pasukan keselamatan mesti menjangkakan lebih dari itu.

"Berkemungkinan mereka melaksanakan 'ancaman keganasan dalam bentuk yang lain' dan kemungkinan battle zone akan bertambah luas dan tidak semestinya hanya di sesuatu region sahaja,"tulisnya dalam blog ex-cdo.

Atau dalam bahasa mudahnya, perang yang kita hadapi kini, mungkin akan merebak, ke kawasan-kawasan lain, tidak semestinya di sempadan kedua-dua negara sahaja.

ld-posterlama

Sebab itu, saya percaya, pengisytiharan perang terhadap negara ini meninggalkan kita rakyat Malaysia satu-satunya pilihan iaitu memberikan sokongan padu terhadap kerajaan BN yang berpengalaman mentadbir negara ini sejak merdeka.

Kerajaan yang sama yang telah berjaya mengharungi konfrontasi dan ancaman perang gerila oleh pihak komunis.

Kerajaan BN yang akan melaksanakan PRU ke 13 bila-bila masa dari sekarang ini amat memerlukan mandat besar dari rakyat.

Ini kerana sebuah kerajaan yang lemah akan berdepan dengan ugutan, intrik dari berbagai pihak dalam dan luar negara.

Sedangkan pengisytiharan perang oleh kumpulan paramiliter seperti 'Tentera Sulu' ini perlu dihadapi dengan langkah-langkah tegas yang mungkin tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

Perlu diingat kita berdepan dengan satu paramiliter yang sudah terlibat dengan perang gerila berpuluh-puluh tahun.

Mereka ini tiada identiti dan kesetiaan, hari ini memakai baju 'Tentera Sulu', sebelumnya memakai baju MNLF, dan Abu Sayyaf dan entah apa lagi.

Sudah menjadi asam garam mereka tembak dan lari, letupkan pasar yang sesak, sabotaj kemudahan awam dan sebagainya.

Hendak mengawal mereka sekiranya ia terhad di sempadan Sabah dengan Filipina, pun sesuatu yang sukar, bayangkan dari Tawi-Tawi (tempat asal puak ini) untuk ke Lahad Datu hanya 25 minit dengan speed bot, jika laut bergelora paling lamapun 45 minit sahaja.

Lihat pula faktor muka buminya, yang dikelilinggi paya bakau, laluan sungai yang sempit, hutan yang tebal di satu kawasan, ladang kelapa sawit yang luas di satu kawasan,  semua ini menjadikan ia satu tugas sukar untuk dikawal sepenuhnya.

Sempadan lautnya 1000 kilometer panjang antara Sabah dan Filipina sudah mustahil untuk kita kawal 24 jam tanpa lolos.

Di Amerika, sempadan darat negara itu dengan Mexico yang dijaga rapi dengan segala teknologi pun boleh diceroboh lagi, apakan pula kita.

Perang gerila satu bab, itu memerlukan tindakan dan langkah ketenteraan. Satu bab lagi hubungan diplomatik kita dengan Filipina selepas ini.

Pengumuman Presiden Filipina Benigno Aquino bahawa negara itu akan menyemak semula tuntutan terhadap Sabah, sungguhpun melalui dialog, amat membimbangkan.

Aquino seperti juga Datuk Seri Najib Tun Razak akan berdepan dengan pemilihan semula kerajaan masing-masing.

Dengan pembangkang di kedua-dua negara tekan itu ini, menyebabkan kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan kecuali mendengar 'suara rakyat'.

lahad-posterkeluargaTindakan dramatik Kiram dan pengikutnya sudah membuka mata sebahagian penduduk Filipina bahawa mereka belum mengugurkan tuntutan hak ke atas Sabah walaupun selepas Suruhanjaya Cobbold 1962.

Ketika Suruhanjaya Cobbold yang diseliakan oleh PBB dibuat, majoriti penduduk Sabah yang ketika itu dipanggil North Borneo, memilih bersama dengan Tanah Melayu membentuk Malaysia.

Kita percaya begitu, tetapi ada juga puak yang tidak puas hati, setiap tahun pemilihan Presiden Filipina, isu mengenai tuntutan ke atas Sabah ini dimainkan, masing-masing hendak tunjuk pandai dengan membangkitkan persoalan-persoalan baru yang tidak diselesaikan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Cobbold.

Ia seperti kata Pejabat Peguam Negara baru-baru ini adalah kes yang rumit.

Boleh bayangkan siapapun yang perintah Filipina selepas ini, akan mengasak Malaysia bertalu-talu melalui saluran dialog dan diplomatik mengenai isu tuntutan Sabah.

Retorika Filipina untuk menuntut kembali Sabah menyebabkan sekali lagi, kita tidak punya pilihan kecuali memberikan sokongan padu kepada kerajaan yang sedia ada.

Sokongan atau mandat rakyat melalui PRU kepada BN adalah satu-satunya cara untuk Najib bangun dan mempertahankan kedaulatan setiap inci bumi Sabah dan semua hak Malaysia dengan tegas dan menyakinkan.

Ingat Timor-Timor? Dahulu ia wilayah Indonesia paling hujung ke arah timur, kerana reformasi 1997, kerajaan Soeharto dijatuhkan dan yang menggantikannya adalah adalah rejim baru yang lemah, ia kehilangan wilayahnya.

Timor-Timor hari ini dikenali dengan nama Timor Laste, sebuah wilayah merdeka pada 2002 hasil campurtangan PBB.

Memang Timor-Timor dan Sabah dua kes yang berbeza, tapi moral dari kisahnya adalah, hanya kerajaan yang kuat dan disokong rakyat berupaya mempertahankan kedaulatannya.-19/3/2013 ikon-helmexx

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 336  tetamu dalam talian