19November2019

Agenda Daily

Negara Islam... Kumpulan militan paling kaya pernah wujud di dunia

VIDEO DI DALAM Dengan wang tunai dan aset terkumpul RM6.5 bilion selain pendapatan harian RM3.2juta tidak dinafikan lagi kumpulan militan Negara Islam (IS) adalah kelompok pengganas paling kaya di dunia yang pernah wujud.

Sungguhpun media dunia menggelarkan ia adalah kumpulan militan namun hakikatnya mereka mentadbir sebuah kawasan yang luas antara 40,000 ke 90,000 kilometer persegi sebagai sebuah negara bukan hanya satu kumpulan.

Kekayaan kumpulan tersebut meningkat dengan kepantasan yang cepat dan "belum pernah terjadi sebelumnya".

Pendedahan wakil perbendaharaan untuk keganasan dan perisikan kewangan Amerika Syarikat David Cohen bahawa kumpulan militan itu menghasilkan berpuluh-puluh juta ringgit setiap bulan.

Dunia kini berdepan dengan sebuah kumpulan radikal yang menggunakan ideologi agama dan kaya raya.

IS membiayai ahli kumpulan mereka dengan cara dan kaedah baru dan berlainan daripada banyak organisasi pengganas sebelum ini.

IS menjadi kaya raya dengan menjual minyak curi, pembayaran wang tebusan mangsa culik, merompak bank, peras ugut dan juga sumbangan dari penyokong di seluruh dunia.

"Negara Islam mungkin organisasi yang terbaik dari segi pembiayaan," kata Cohen dalam satu ucapan dalam forum yang dianjurkan Carnegie Endowment Washington Rabu.

Cohen berkata, sukar untuk mempererolehi anggaran tepat nilai transisi minyak curi IS di pasaran gelap, namun pihaknya percaya pada pertengahan bulan Jun, kumpulan itu telah menerima kira-kira RM3.2 juta sehari dari aktiviti tersebut.

Manakala lagi RM60.6 juta daripada pembayaran wang tebusan mangsa culik sepanjang tahun ini.

Sehingga berita ini ditulis IS dan sekutunya mengawal kira-kira 40,000 kilometer persegi tanah di Iraq dan Syria, hampir sama dengan keluasan Belgium.

Ada juga yang percaya IS mengawal hampir 90,000 kilometer persegi kawasan, sama seperti keluasan Jordan.

Kawasan jajahan IS termasuk bandar Mosul, Tikrit, Falluja dan Tal Afar di Iraq, bandar Raqqa di Syria dan medan minyak, empangan, jalan utama serta pintu sempadan.

Sementara itu, seramai lapan juta orang dipercayai hidup di bawah kawalan penuh atau kawalan separa IS, dengan kumpulan itu melaksanakan undang-undang syariah tegas seperti memaksa wanita memakai purdah, orang bukan Islam perlu membayar cukai khas (jizyah) atau memeluk Islam dan melaksanakan hukum hudud.

Dipercayai sehingga kini, ada seramai 31,000 anggota IS di Iraq dan Syria.

Menurut satu rekod, lebih 12,000 orang luar dari sekurang-kurangnya 81 negara, termasuk 2,500 orang dari negara Barat ke Syria untuk berperang sejak tiga tahun lalu.

Pejuang IS mempunyai akses dan berkeupayaan menggunakan pelbagai jenis senjata berat termasuk pelancar roket, senjata antipesawat dan sistem peluru berpandu darat-ke-udara mudah alih.

Mereka memiliki kereta kebal dan kenderaan berperisai yang dirampas daripada tentera Syria dan Iraq.

IS dipercayai mempunyai rantaian bekalan fleksibel bagi memastikan bekalan peluru dan senjata kecil.

IS dilaporkan mempunyai AS$2 bilion (RM6.5 bilion) wang tunai dan aset, menjadikannya kumpulan militan terkaya di dunia.

IS adalah pertubuhan yang mempunyai sumber kewangan sendiri, dengan mengumpul jutaan ringgit setiap bulan daripada medan minyak dan gas yang dikawalnya, selain cukai, tol, penyeludupan, ugutan dan penculikan.

Pencerobohannya di Iraq memberikan kumpulan itu akses kepada wang tunai yang disimpan di bank utama di bandar yang ditaklukinya.

Matlamat IS adalah untuk mewujudkan sistem pemerintahan khalifah, iaitu negara yang diperintah oleh seorang pemimpin politik dan agama.

Walaupun pada masa ini IS masih beroperasi di Iraq dan Syria, kumpulan itu telah berjanji akan memperluaskan jajahan ke Jordan dan Lebanon serta membebaskan Palestin.

Ia menerima sokongan militan Islam dari seluruh dunia dan menuntut semua ahlinya bersumpah setia kepada ketuanya, Ibrahim Awad Ibrahim Ali al-Badri al-Samarrai, atau lebih dikenali sebagai Abu Bakr al-Baghdadi.

Penubuhan IS boleh dikaitkan dengan kumpulan Tawhid wa al-Jihad yang diwujudkan oleh seorang lelaki Jordan, Abu Musab al-Zarqawi pada 2002. Setahun selepas pencerobohan AS di Iraq, Zarqawi menyokong Osama Laden, ketua kumpulan pejuang Al-Qaeda di Afghanistan.

Zarqawi kemudian menubuhkan kumpulan Al-Qaeda di Iraq (AQI) yang menjadi kumpulan utama dalam pemberontakan terhadap pencerobohan AS.

Selepas kematian Zarqawi pada 2006, AQI mewujudkan pertubuhan penaung, Negara Islam di Iraq (ISI).

Kumpulan ini bagaimanapun berjaya dilemahkan oleh serangan AS dan penubuhan Majlis Sahwa oleh pemimpin puak Arab Sunni yang menolak keganasan ISI. Selepas menjadi pemimpin kumpulan itu pada 2010, al-Baghdadi membina semula keupayaan ISI. Menjelang 2013, ia sekali lagi melancarkan puluhan serangan dalam tempoh sebulan di Iraq.

Ia juga menyertai pemberontakan terhadap Presiden Syria, Bashar al-Assad dengan menubuhkan Barisan al-Nusra.

Pada April 2013, al-Baghdadi mengumumkan penggabungan tenteranya di Iraq dan Syria serta penubuhan Negara Islam di Iraq dan Jajahannya (ISIL).  

Pada 2014, ISIL berjaya menakluki bandar Mosul di Iraq dan menuju ke arah Baghdad.

Akhir bulan itu, selepas menggabungkan pegangannya terhadap puluhan bandar dan pekan, ISIL mengisytiharkan pembentukan negara khalifah dan menukar namanya kepada Negara Islam (IS).

Apa yang membimbangkan di Malaysia adalah ada rakyat negara ini yang menjadi ahli IS dan berjuang di Syria selain merekrut ahli-ahli lain untuk pergi ke kawasan yang dikawal oleh kumpulan tersebut.

Selain itu, beberapa kumpulan kecil pengganas di Asia Tenggara seperti kumpulan Abu Sayyaf di Filipina mengatakan sokongan terbuka kepada IS selain menggunakan taktik penculikan mereka untuk menuntut wang tebusan seperti yang kita lihat baru-baru ini dalam kes pasangan warga Jerman.

Kumpulan militan di Selatan Filipina itu memperolehi RM18 juta yang dibayar sebagai wang tebusan jika tidak mahu kedua-dua rakyat Jerman itu disembelih.

Pada Khamis, tiga lagi rakyat Malaysia didakwa di mahkamah selepas ditahan ketika mahu meninggalkan Malaysia melalui KLIA untuk menyertai kumpulan Negara Islam.

Ada di antara mereka adalah arkitek yang baru tamat pengajian.

Sehingga kini polis masih menahan 28 orang lagi dipercayai ada kaitan dengan kumpulan tersebut di Malaysia.-24/10/2014

Video yang disiarkan di atas tidak mewakili pandangan penulis mahupun agendadaily.com. Ia disiarkan sebagai satu pendedahan untuk masyarakat Malaysia memahami bahaya kumpulan pengganas Negara Islam ini.-Editor

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 852  tetamu dalam talian