14Disember2019

Agenda Daily

Long Busang: Menjejak kubu penyokong setia kerajaan BN

Bahagian satu Sejak dua pilihanraya umum terakhir ini, 2008 dan 2013, satu fakta yang disepakati semua penganalisis politik adalah kerajaan Barisan Nasional mendapat sokongan padu dari masyarakat luar bandar.

Mereka menyokong BN kerana khidmat (servis) yang ditawarkan wakil rakyat BN adalah terbaik, sedangkan orang bandar di mana semua kemudahan sudah disediakan oleh kerajaan BN sebelum ini, merasakan khidmat bukan lagi kriteria penting untuk memilih calon, mereka mahu mencuba 'orang baru', jenama baru dan mula berangan dengan mimpi-mimpi baru.

Ketika diminta untuk menyertai rombongan Pemuda BN untuk komuniti di Long Busang Belaga Sarawak baru-baru ini, saya membuat penyelidikan sendiri, berapa 'luar bandar'kah Long Busang itu.

Menggunakan google map, satu-satunya yang berjaya dikesan adalah Sekolah Kebangsaan Long Busang dan tanpa peta bagaimanakah mahu pergi ke situ dari Bintulu mahupun Kapit.

Ketika itu, sajak dua baris Joko Pinurbo, penyair Indonesia bertajuk Peta Buta terlintas di kepala "Dengan peta buta aku menempuhmu, menghapus jauhmu."

Sedikit melonkolik ketika mengenangkan kami pergi ke kawasan pedalaman yang tidak berpeta, di pagi hari raya aidiladha.

Mobiliti sosial antara nikmat utama yang dirasai oleh penduduk Malaysia sejak merdeka masih terlalu mahal penduduk-penduduk di luar bandar Sarawak dan Sabah.

Faktor keluasan, bilangan penduduk, bentuk muka bumi dan kurang tarikan ekonomi menyebabkan kos membina jalan raya berkali ganda berbanding di Semenanjung.

Bayangkan kos membina Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,239 kilometer yang akan menjadi penghubung bandar-bandar utama di Sabah dan Sarawak berharga RM27 bilion.

Projek mega itu dijangka siap pada tahun 2020 dan ia merupakan keutamaan kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Ini boleh difahami kerana di Sarawak dan Sabah merupakan 'fix deposit' kerajaan BN.

Seperti Long Busang ini... satu kawasan yang cukup setia mengundi kerajaan BN sejak perbentukan Malaysia 53 tahun lalu.

Terletak jauh di pedalaman, Long Busang dalam kawasan Parlimen 216 Ulu Rajang (antara yang terakhir dari 222 kawasan Parlimen seluruh negara) adalah kubu kuat BN.

Di dalam DUN Belaga yang mana wakil rakyatnya Liwan Lagang merupakan Ketua Pemuda Parti Rakyat sarawak (PRS) parti komponen BN kedua terbesar jumlah kerusi DUN dan Parlimen selepas parti PBB di Bumi Kenyalang itu.

Ikut ceritanya, dalam satu mesyuarat Pemuda BN, Liwan mencabar Khairy untuk 'go rurul' dan menawarkan tempatnya, sebagai destinasi program khidmat masyarakat Pemuda BN.

Gayung bersambut... Khairy kemudiannya mengumpulkan lebih 150 pemimpin-pemimpin Pemuda BN seluruh negara berkampung di kawasan masyarakat Kenyah di Long Busang Belaga dalam kawasan DUN YB Liwan Lagang.

"Program Pemuda BN untuk komuniti ini penting bukan saja dari aspek khidmat masyarakat yang ditawarkan tetapi untuk membuka minda pemimpin-pemimpin muda BN, mungkin satu hari nanti ada antara mereka yang menjadi Perdana Menteri, Menjadi Ketua Menteri atau Menteri Besar, sudah pasti ramai yang akan menjadi Ahli Parlimen... jadi mereka tahu seperti apakah kehidupan yang dijalani setiap hari oleh penyokong-penyokong setia mereka..." kata Liwan Lagang.

LAGI GAMBAR PERJALANAN KE LONG BUSANG DI FANPAGE AGENDADAILY

Berdasarkan rekod kerajaan negeri Sarawak, Long Busang wujud sejak tahun 1910 lagi. Ia merupakan perkampungan kaum Kenyah subetnik yang besar dari etnik Dayak.

Kumpulan ini tersebar ditengah hutan belantara sempadan antara Malaysia dan Kalimantan Indonesia dan menjadikan muara di sepanjang Sungai Rajang sebagai penempatan mereka.

Long adalah muara dalam bahasa Kenyah. Jika dilihat dalam peta, mereka tinggal di ulu sungai, dan menggelarkan diri mereka sebagai masyarakat 'orang Ulu'.

Ada puluhan Long selain Long Busang... ada Long Jawe, Long San dan banyak lagi, setiap Long mempunyai penempatan sendiri, tapi Long Busang yang dipilih menjadi destinasi Pemuda BN untuk komuniti tahun 2015 di Sarawak ini yang paling terpencil dan mencabar untuk sampai menggunakan jalan darat.

Khairy atau KJ yang merupakan Menteri Persekutuan pertama yang sampai ke Long Busang awalnya dijadualkan menggunakan helikopter.

"Saya beritahu pegawainya minta KJ datang melalui jalan darat dengan menaiki bot, saya akan sediakan speed boat untuk beliau," kata Liwan.

Kecuali masa tiada yang membezakan bot panjang -pengangkutan yang sering digunakan penduduk berulang alik, dengan bot laju.

Hanya enjin dan tempat duduk berkerusi sahaja, bot panjang menggunakan dua enjin 40 kuasa kuda, bot laju menggunakan dua enjin 115 kuasa kuda.

Perjalanan lapan jam boleh dijimatkan masa menjadi empat jam, pun begitu sejam setengah sebelum tiba di Long Busang, perlu menukar bot yang lebih kecil, kerana speed boat tidak boleh masuk ke sungai yang lebih cetek, berbatu dan berjeram deras.

Berbeza dengan bot panjang... apa jenis jeram pun boleh diredahkan, tinggal lagi, penumpang dan barang di dalam bot, basah dek air sungai, dan bot panjang yang membawa rombongan media nyaris terbalik di salah satu jeram paling deras airnya.

Bagi kami yang kali pertama merasi pengalaman tersebut sedikit panik... tapi orang kampung yang berkali-kali melalui perkara sama menganggap kisah kami hanyalah cerita biasa.

Perjalanan menaiki bot itu bermula dari Empangan Bakun, satu lagi projek mega kerajaan Barisan Nasional untuk membina janakuasa elektrik dan sekaligus menyelesaikan masalah penduduk-penduduk yang tinggal di kawasan ulu sungai sebelum ini.

Ia projek serampang dua mata, sebelum Empangan Bakun dibina pada pertengahan 1990. Masa yang diambil dari Long Busang ke Bakun adalah dua hari, kerana perlu melalui anak-anak sungai yang cetak dan berair deras.

"Dulu (sebelum Empangan Bakun) banyak kali berhenti untuk menolak perahu dan apabila malam perlu tidur di rumah panjang berdekatan," kata Rudy, pembawa bot panjang kami.

Katanya, selepas Empangan Bakun dibina jarak dua hari untuk keluar ke pekan terdekat menggunakan jalan sungai lebih singkat iaitu lapan jam.

"Empangan Bakun ini seperti lebuh raya pada kami orang ulu, ia memudahkan perjalanan dan lancar berbanding dahulu..." ujarnya.

Tetapi pembangunan dan projek mega mempunyai kos lepas. Untuk membina Empangan Bakun, beberapa kampung penduduk, ribuan ekar tanah dan ladang, ditenggelamkan.

"Semua yang terlibat dengan projek Bakun dulu, dipindahkan ke Sungai Asap, diberikan rumah panjang dan wang pampasan berdasarkan kerugian yang mereka tanggung," kata Rudy.

Selepas lebih 15 tahun Empangan Bakun dibina... rata-rata penduduk menarik nafas lega, mobiliti sosial semakin mudah walaupun lapan jam untuk keluar ke pekan terdekat tapi berbanding dahulu dua hari...!!!

"Ketika projek Bakun dibuat, pembangkang memomokkan bahawa BN akan kalah kerana penduduk marah dengan projek ini, tapi pengalaman saya sebagai wakil rakyat dua penggal di sini, undi saya bertambah... bahkan untuk pilihanraya negeri yang lalu, penduduk Long Busang beritahu saya, YB tak perlu berkempen di sini, pergi berkempen di tempat lain, di sini undi YB..." kata Liwan Lagang.

Ketika keputusan diumumkan 97 peratus undi di Long Busang memihak kepada BN, kepada Liwan Lagang. Satu manifestasi sokongan penduduk kepada rancangan kerajaan untuk membantu rakyat.

Give and take.

Kini sebahagaian besar penduduk yang terlibat dengan projek Bakun dipindahkan untuk menetap di beberapa rumah panjang di sekitar Sungai Asap.

Salah satu yang kami sempat lawati Uma Belor, menempatkan lebih seribu penghuni dengan jarak dari hujung ke hujung 800 meter.

Dibina dua tingkat, tingkat bawah adalah ruang tamu, dapur dan tandas manakala tingkat atas adalah bilik tidur.

Sangat kemas dan bersih, amat luas dan selesa untuk menempatkan 7-8 orang ahli keluarga.

Ketika kami menumpang tidur dengan salah satu keluarga Muslim di Uma Belor Sungai Asap... saya bilang ada lapan bilik tidur di tingkat atas dengan salah satunya bilik tidur utama.

Sungai Asap yang merupakan penempatan semula penduduk kampung yang terlibat dengan projek Bakun, kini mempunyai sekolah rendah dan menengah, lebih tersusun dan teratur.

Kehadiran BN terasa di mana-mana di kawasan ini... gelanggang futsal 1Malaysia, geran kerajaan untuk membina pasar umum, klinik 1Malaysia, dan berbagai lagi.

Konsep BN... "kamu tolong saya, saya tolong kamu" terasa pekat di sini. Tidak hairanlah rata-rata penduduk di sini merupakan pengundi setia kerajaan BN sejak merdeka lagi.-4/10/2015 OLEH HELME HANAFI

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 922  tetamu dalam talian