06Ogos2020

Agenda Daily

Isu Anwar disekat masuk Jepun... ini sebenar ceritanya

anwar-nataliaxx KEMASKINI : Isu ini sebenarnya mudah saja, tapi jadi riuh tak tentu pasal gara-gara Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang gopoh cuba hendak salahkan kerajaan. Sebaliknya perkara ini jika diperhalusi memang terang-terang boleh buat orang ketawa dengan kegopohan bos Pakatan Rakyat itu.

Ceritanya begini... Jepun sejak tahun lepas menghapuskan visa untuk rakyat Malaysia ke negara itu. Namun ada syaratnya, untuk bekas banduan...mereka yang berkenaan tetap kena minta Surat Kebenaran Khas untuk ke sana.

Ini yang mungkin Anwar tak faham. Beliau lupa status dirinya bekas banduan dan oleh kerana itu jika nak masuk ke Jepun, masih wajib kena dapat kebenaran khas itu.

Sebelum ini, beliau pernah masuk Jepun tahun 2006, 2009, 2012. Ketika itu visa masih diwajibkan kepada rakyat Malaysia yang hendak ke sana.

Kali ini, ketika visa dihapuskan, Anwar tidak minta kebenaran khas itu.

Perkara ini disahkan oleh jurucakap Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur Selasa.

Menurutnya Anwar tidak dibenarkan masuk ke Jepun bila sampai di Lapangan Terbang Narita ,Tokyo pagi Ahad lalu kerana gagal memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang Imigresen Jepun.

Jelasnya, pihak berkuasa mempunyai hak untuk menafikan kemasukan mana-mana individu yang gagal memenuhi syarat ditetapkan di bawah Perkara 7 Kawalan Imigresen dan Akta Pengiktirafan Pelarian.

"Kami tiada kuasa untuk menjawab hal-hal berkaitan peribadi individu," katanya.

Menerusi undang-undang Jepun, seseorang yang pernah dipenjara lebih daripada satu tahun boleh dihalang daripada masuk ke negara berkenaan seperti yang ditetapkan di bawah Perkara 5 Kawalan Imigresen dan Akta Pengiktirafan Pelarian.

Untuk rekod, Anwar pernah dipenjarakan selama enam tahun kerana penyalahgunaan kuasa.

Selain daripada memiliki paspost yang sah, syarat lain untuk memasuki Jepun ialah termasuk menyatakan sebab kemasukan serta sama ada tempoh kemasukan sama dengan program kunjungan atau tidak.

Menerusi kenyataan pada Ahad, Anwar berkata beliau dihalang memasuki Jepun sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 6.45 pagi Ahad dan diminta menaiki pesawat pertama yang berlepas pulang atau menghadapi tindakan pengusiran.

SEMENTARA ITU, Agendadaily menerima email dari 'individu yang arif' mengenai undang-undnag imigresen Jepun tetapi minta identitinya dirahsiakan. Kami siarkan sepenuhnya penjelasan individu tersebut seperti dibawah.

Seperti semua sedia maklum, sebelum ini rakyat Malaysia perlu memohon visa untuk memasuki Jepun. Namun, pada tahun 2013 Kerajaan Jepun telah menguatkuasakan peraturan rakyat Malaysia yang memegang pasport biometrik dilengkapi mikrocip TIDAK PERLU MENDAPATKAN VISA untuk berkunjung ke Jepun.

Kesilapan Anwar Ibrahim ialah, apabila dia beranggapan kelonggaran syarat tersebut terpakai bagi dirinya juga. Apa yang Anwar Ibrahim terlupa, mereka yang pernah memasuki PENJARA tetap perlu memohon Surat Kebenaran Khas untuk memasuki negara Jepun.

Hal ini kerana kelonggaran syarat tersebut hanya terpakai bagi mereka yang bebas dari rekod jenayah atau rekod tahanan penjara.

Apa yang berlaku terhadap Anwar Ibrahim juga telah termaktub dengan jelas melalui undang-undang Jepun, apabila pihak dia gagal mengemukakan dokumen sewajarnya (VISA bagi mereka yang pernah memasuki penjara), dia akan dihantar pulang serta-merta ke negara asal.

Rujuk Undang-Undang Kerajaan Japan: CHAPTER II ENTRY AND LANDING, SECTION I ENTRY OF AN ALIEN (Entry of an Alien)
Article 3?Any alien who falls under any of the following items shall not enter Japan.

(ii)?A person who intends to land in Japan without receiving a seal of verification for landing or undergoing the recording of the prescribed data pursuant to the provision of Article 9, paragraph (4), or without obtaining authorized permission for landing (hereinafter referred to as "permission for landing") from an immigration inspector (except for those set forth in the preceding item).

(xiv)?In addition to those persons listed in items (i) to (xiii), a person whom the Minister of Justice has reasonable grounds to believe is likely to commit an act which could be detrimental to the interests or public security of Japan.

(2)?Even in cases where an alien seeking to land in Japan does not fall under any of the items of the preceding paragraph, if the country of which he or she is a national or citizen denies landing to a Japanese national therein for any reasons other than those set forth in the items of the same paragraph, the Minister of Justice may deny his/her landing for the same reasons.

**Rujuk Section ii Landing of an Alien

Bagi yang tertanya-tanya kenapa sebelum ini Anwar bebas memasuki Japan pada 2006, 2009 & 2012, anda perlu sedar ketika itu memang permohonan VISA merupakan syarat wajib, jadi semestinya dia masuk ke Jepun menggunakan VISA.

Yang menjadi masalah sekarang, apabila dia menyangkakan kelonggaran tidak memohon VISA laku untuk diri dia juga yang merupakan bekas banduan.-21/1/2014


Saya hebat kalau dapat sekat Anwar masuk Jepun - Anifah

Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menuding jari ke aras Wisma Putra punca dia tak boleh masuk ke Jepun, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pulangkan 'paku buah keras' dengan sinisnya, "Kalau benar saya boleh halang Anwar masuk Jepun, saya Menteri Luar paling hebat...".

Dalam sidang media di Kuala Lumpur, Anifah kata hal Anwar tak boleh masuk ke Jepun tak ada kena mengena dengan Kementerian Luar.

"Mungkin ada kaitan dengan isu dalaman Jepun, seperti undang-undangnya... saya pun tak tahu bila Anwar ke Jepun, daripada saya tulis surat untuk halang Anwar, banyak lagi perkara lain yang saya boleh buat..."ujarnya.

Menurut Anifah, kerajaan Malaysia tidak ada kena mengena dengan keputusan kerajaan Jepun menghalang Anwar memasuki negara itu.

Beliau berkata setiap negara mempunyai hak kedaulatan untuk menghalang sesiapa sahaja yang mereka fikirkan tidak diingini daripada memasuki negara mereka atas apa jua sebab.

"Dan selalunya, mereka tidak perlu memberi penjelasan mengenai keputusan yang diambil itu," katanya.

Dalam kenyataannya semalam, Anwar berkata beliau dihalang memasuki Jepun sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 6.45 pagi Ahad dan diminta menaiki pesawat pertama yang berlepas pulang atau menghadapi tindakan pengusiran.

Anifah menyifatkan dakwaan 'ada tangan tersembunyi' yang mungkin memainkan peranan dalam keputusan kerajaan Jepun itu sebagai sesuatu "yang tidak masuk akal" kerana sepanjang pengetahuannya, beliau tidak mempunyai kedudukan untuk mempengaruhi negara seperti Jepun supaya menyekat mana-mana individu daripada memasuki negara itu.-20/1/2014




Anwar dilarang masuk Jepun tak ada kena mengenai dengan Imigresen Malaysia..

Tindakan kerajaan Jepun melarang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk ke negara itu tiada kaitan dengan Jabatan Imigresen Malaysia.

Perkara ini ditegaskan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Alias Ahmad ketika diminta mengulas kejadian yang berlaku terhadap Anwar di Lapangan Terbang Narita, semalam.

Menurut Alias, pihaknya tiada kaitan kerana Anwar masih pemegang pasport yang dikeluarkan jabatan Imigresen.

“Mungkin ada masalah dalaman di sana (Jepun). Mana-mana negara berhak menegah sesiapa masuk ke negara itu jika ada sebab tertentu,” katanya.

Beliau bagaimanapun, tidak tahu jika tindakan itu berkaitan pihak lain.

Berdasarkan kenyataan media Anwar, sejak keluar penjara, beliau dah tiga kali masuk negara Matahari Terbit itu.

Kali terakhir tahun 2012, tetapi pada Ahad, pegawai imigresen di Lapangan Terbang Narita memintanya mengambil penerbangan pertama untuk kembali sejurus sahaja tiba atau akan dihantar pulang.

Beliau kemudian mengambil pesawat keluar pada jam 10.45 pagi waktu Tokyo.

Sementara itu, insiden dialami Anwar terus jadi viral di media sosial dan portal malah kejadian itu gambarkan melalui macam-macam sitara termasuk ultraman dan Doraemon.

Di pihak Anwar pula, PKR mendakwa kerajaan menggunakan tekanan politik yang tidak kelihatan bagi melindungi kepentingannya sehingga menyebabkan Anwar dilarang memasuki Jepun.

Malah, menurut pengerusi biro guaman dan hak asasi manusia PKR Latheefa Koya, perkara itu bukan pertama kali berlaku.

“Oleh itu kami menuntut perdana menteri membetulkan keadaan dengan segera menarik balik laporan yang tidak perlu kepada kerajaan Jepun dan memberikan pelepasan perjalanan penuh kepada Anwar,” katanya.-20/1/2014




Apa kes... Anwar dihalang masuk Jepun...


Kalau ikut 'skrip' Datuk Seri Anwar Ibrahim... apa saja yang buruk kat dia, salah UMNO dan BN. Sampai ada orang buat lawak, kalau selipar dia hilang kat masjid pun salah UMNO.

Tapi ini cerita serius, al kisah ketua pembangkang yang rajin ronda satu dunia itu, tadi 'sangkut' kat Lapangan Terbang Narita Jepun.

Dia diarah balik dengan pesawat pertama kerana rekod imigresen Jepun.

Berdasarkan kenyataan media Anwar, sejak keluar penjara, beliau dah tiga kali masuk negara Matahari Terbit itu.

Kali terakhir tahun 2012, tapi entah apa cerita, pagi tadi, beliau nak masuk tak lepas.

Kata Anwar, pegawai imigresen di Lapangan Terbang Narita memintanya mengambil penerbangan pertama untuk kembali sejurus sahaja tiba atau akan dihantar pulang.

“Ekoran saya terus menuntut penjelasan, mereka akhirnya memberitahu terpaksa mengambil langkah itu 'kerana laporan terkini' kemungkinan pada 2013,” katanya.

Anwar sendiri tak pasti mana pasal laporan tersebut... sebab itu beliau letak mungkin.

Beliau kemudian mengambil pesawat keluar pada jam 10.45 pagi waktu Tokyo.

Dalam kenyataannya malam ini, Anwar berkata, pejabatnya sudah menyemak dengan kedutaan Jepun berhubung keperluan penerbangannya minggu lalu dan tidak dimaklumkan sebarang halangan.

Justeru, beliau mendesak Wisma Putra menjelaskan perkara itu, terutamanya berhubung “laporan terkini” yang menyebabkan beliau dilarang.-19/1/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 488  tetamu dalam talian