05Julai2020

Agenda Daily

Himpunan Bersih...dan kenangan menjelang 13 Mei 1969

bersih-bw“Kekacauan bulan Mei 1969 merupakan satu detik hitam dalam sejarah negara kita tetapi dengan izin Allah s.w.t., kita telah dapat menggubal dasar-dasar dan mengambil tindakan yang tegas dan berkesan untuk menyelamatkan bangsa dan negara kita daripada terjerumus ke dalam gaung yang dalam” –Tun Abdul Razak
 
ADA banyak perkara yang boleh dipilih untuk memulakan sebuah kolum, dan sengaja saya memilih untuk menulis, apa yang sebenarnya berlaku, beberapa ketika sebelum 13 Mei 1969.

Bagi generasi yang lahir selepasnya, kami hanya mengetahui peristiwa ‘defining moment’ itu melalui cerita orang tua-tua, juga pembacaan yang terhad.

Kita mengingati 13 Mei sebagai hari di mana sistem Demokrasi Berparlimen telah kalah. Perlembagaan digantung. Undang-undang darurat dikuatkuasakan.

alt

Dua etnik yang membentuk majoriti besar, Melayu dan Cina bergaduh, berbunuhan, kedai dan rumah dibakar, dan negara yang dibina bertahun lamanya terjerumus dalam ‘perangkap’ sekelip mata.

Malaysia baru berusia enam tahun ketika kejadian 13 Mei 1969. Sebelum itu, Semenanjung ini, nama rasminya adalah Persekutuan Tanah Melayu.

Kemudian bersama Sabah, Sarawak dan Singapura, Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963, membentuk Malaysia.

Singapura ditendang keluar oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1965, kerana Perdana Menterinya Lee Kuan Yew membuat onar dengan membangkitkan sentimen Malaysian Malaysia hingga menguris hati orang-orang Melayu di sini.

Kuan Yew dan parti PAP sungguhpun sudah tiada kena mengena dengan politik negara selepas disingkirkan, berjaya meninggalkan ‘anak’, cawangan PAP di sini, yang kemudian hari dikenali sebagai DAP.

Adakah rusuhan kaum terbesar itu terjadi begitu sahaja, tanpa angin dan ribut, tanpa disemai benih-benih kebencian yang kemudian bertukar menjadi taufan yang dashyat?

Sudah tentu tidak, 13 Mei hanya hari kemuncaknya sahaja, ada peristiwa-peristiwa lain yang boleh disifatkan sebagai ‘menyemai angin’ dilakukan oleh pihak tertentu, dan natijah kemudiannya seperti yang kita tahu ‘menuai badai’.

Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman menulis dengan jelas, pandangan beliau terhadap apa yang berlaku dalam bukunya 13 Mei Sebelum Dan Selepas terbitan Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd.

Kata Tunku, “faktor-faktor penting yang membawa kepada kekacauan yang telah berlaku itu ialah detik-detik kejadian yang berlaku dalam tahun 1967 dan 1968, iaitu sebelum tarikh pilihan raya diumumkan dalam tahun 1969.”

Beliau menyenaraikan beberapa kejadian antaranya, berbagai-bagai bentuk mogok (hartal) yang diapikan oleh barisan hadapan Komunis sejak 1967 lagi.

Selain itu,pada Jun 1968, tindakan pembangkang yang mempolemikkan hukuman bunuh kepada 11 ahli Komunis hingga memaksa hukuman dipinda kepada penjara seumur hidup.

 “Satu kempen yang besar dari rumah ke rumah untuk memungut tandatangan dengan tujuan hendak menimbulkan rasa simpati di kalangan orang ramai terhadap 11 orang yang dihukum bunuh itu,” kata Tunku yang telah memanaskan suhu politik negara terutamanya antara kaum Cina dan Melayu.

Juga kematian seorang petugas pilihan raya UMNO yang dibunuh anasir komunis pada 24 April 1969 di Pulau Pinang, bernama Kassim Omar, yang mayatnya dilumur cat merah bertulis perkataan “Jangan mengundi dalam pilihan raya”

Peristiwa lain yang turut memanaskan hubungan antara kaum adalah ‘perarakan mayat’ pada 9 Mei, sehari sebelum tarikh mengundi, apabila seorang pemuda Cina Lim Soon Seng, 24, mati ditembak pihak berkuasa.

Tunku mengenang semula peristiwa itu ” Pemuda-pemuda itu sedang menulis dengan cat tanda-tanda  di jalan raya. Apabila dicabar, mereka telah menentang anggota-anggota polis mata-mata itu dengan membaling kayu api, besi tajam, dan ketulan besi, dan kemudian mereka telah berundur masuk ke kawasan sebuah pasar lama yang berdekatan.

“Mereka telah melawan bersungguh-sungguh sehingga mata-mata itu terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri. Akhirnya seorang daripada pengacau itu telah tercedera dan kemudiannya mati di hospital.”

Pembangkang dan komunis kemudian mengambil kesempatan dari kematian pemuda itu untuk menganjurkan perarakan besar-besaran di Kuala Lumpur.

Pada 9 Mei 1969, perarakan itu terjadi, dengan melewati jalan-jalan utama di tengah bandar iaitu Jalan Petaling, Jalan Kinabalu, Jalan Raja, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Ipoh.

Perarakan dengan berbagai-bagai slogan dan sepanduk, nyanyian dan ucapan itu ‘membakar’ semangat melawan yang tinggi di kalangan kaum Cina.

Keesokan harinya, 10 Mei merupakan hari pembuangan undi dan pembangkang menang besar dalam pilihanraya umum itu.

Mereka yang mabuk kemenangan berarak pula meraikan kemenangan pada 12 Mei. Dengan slogan dan nyanyian, juga provokasi termasuk kata Tunku “penyapu besar yang diusung simbol menghalau orang Melayu”

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur ketika itu, Abu Bakar bin Abdul Aziz, seperti yang dicatatkan Tunku;”Dia tanya sama ada saya kenal siapa dia. Saya jawab saya kenal dia sebagai Encik David (pemimpin pembangkang). Dia kemudian berkata dialah seorang Ahli Parlimen yang baru dipilih.

“Saya jawab kepadanya, itu tidak menjadi soal, tetapi yang penting pada saya ialah dia mesti memberitahu penyokong-penyokongnya supaya bersurai kerana jika tidak anggota FRU akan menyuraikannya.

Dia langsung berkata ”Pergi berambus FRU,  kamu anak haram”, dan terus menghentakkan telefon.

”Sebahagian daripada perarakan itu telah juga pergi ke Pudu dan melemparkan perkataan-perkataan menghina orang-orang Melayu dan Polis.” Kata pengawai polis itu dalam satu kenyataan bertulis yang disiarkan di dalam buku Tunku itu.

Dan pada 13 Mei, orang-orang Melayu pula berkumpul di perkarangan rumah Menteri Besar Selangor Datuk Harun Idris, di Kampung Baru, bagi mengadakan perhimpunan membalas perarakan kemenangan pembangkang.

Akhirnya, apa yang terjadi tidak boleh diubah lagi. Api, kata Tunku, di Kuala Lumpur menjulang tinggi hingga boleh dilihat dari kediaman rasminya.

“Kuala Lumpur telah menjadi satu bandar yang terang dengan api kebakaran dan dapat dilihat dengan jelas dari rumah saya yang terletak di atas bukit,” imbas Tunku.

Hari ini, generasi saya barangkali tidak melalui kepahitan tersebut, namun kejadian itu bukanlah sesuatu yang tidak boleh berulang.

Melihat kepada keghairahan luar biasa pembangkang yang berterusan membakar sentimen rakyat sejak pilihan raya umum lepas, amat menggusarkan.

Politik bagi pembangkang kini, bukan lagi soal pembangunan atau prinsip perjuangan. Mereka hanya fokus kepada satu perkara “mengambil alih Putrajaya”.

Jika perlu rakyat dihasut untuk tujuan itu, rakyat dihasut, jika perlu buat perhimpunan tunjuk kekuatan, buat perhimpunan, pokoknya kemarahan rakyat perlu terus diapi-apikan sehingga pilihan raya umum nanti.

Soalnya, bagaimana jika pembangkang gagal ambil alih kerajaan pilihanraya ke 13 itu nanti? Apakah SPR akan disalahkan seperti selalu? Apakah 30, 40 ribu penyokong mereka akan berhimpun dan mencetuskan kekacauan hingga melupakan hak 28 juta rakyat Malaysia lainnya?

Satu yang kita belajar dari 13 Mei 1969 adalah, kejadian tersebut boleh dielakkan jika ada ketegasan pihak berkuasa, bagi menghalangnya beberapa perarakan/perhimpunan dari awal lagi.

Kini selepas 42 tahun kejadian itu, adakah kita merasa bahawa ia tidak boleh berulang lagi?

Ingat kata-kata Tunku bahawa 13 Mei itu adalah “bahaya-bahaya yang boleh timbul sekiranya kita terlampau lalai dan cuai,”.

Lihat sahaja bagaimana pembangkang berterusan memprovokasi ‘silent majority’ dengan berbagai-bagai perkara sejak beberapa tahun terakhir ini.

Adakah kita tidak dapat melihat ‘kilasan masa depan’ jika ia berterusan begini.

Provokasi akan dibalas provokasi, lihat saja perhimpunan BERSIH 9 Julai ini oleh pembangkang. Kini, PERKASA yang dipimpin Datuk Ibrahim Ali juga mahu mengadakan perhimpunan pada hari yang sama bagi menghalangnya.

Apa akan jadi! Perhimpunan di tengah jalan raya ini, baik oleh sesiapa saja, hanya akan menganggu keamanan ‘silent majority’ dan lebih menakutkan jika perhimpunan yang konon aman bertukar sebaliknya (siapa boleh jamin ia tidak akan berlaku begitu?)

Belajarlah dari sejarah, belajarlah membaca ‘kilasan masa depan’.-15/6/2011- OLEH HELME HANAFI

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 381  tetamu dalam talian