05Julai2020

Agenda Daily

Hari kebebasan media: Nota wartawan kepada kawan-kawan...

keretatv3Selamat hari kebebasan akhbar. Ada yang memilih untuk mengenang hari yang dirayakan wartawan seluruh dunia ini dengan menyalahkan polis semasa perhimpunan Bersih 3.0. Dalam perhimpunan tersebut, ada petugas media yang mendakwa mereka menjadi mangsa kekasaran polis ketika menjalankan tugas.

Tapi kita jangan pula lupa, ada juga petugas media yang cedera kerana hendak mempertahankan polis dari jadi mangsa keganasan peserta Bersih 3.0.

Sebab itu, dalam semangat kita memakai baju hitam (simbol berkabung) dan riben kuning (simbol kebebasan media), jangan buat-buat lupa bahawa di Malaysia ini wartawan lebih kerap menjadi mangsa keganasan penyokong pembangkang daripada pihak berkuasa itu sendiri.

Ingat kisah wartawan dan jurugambar TV3 yang jadi mangsa penyokong PAS ketika buat liputan ceramah Mat Sabu di Kuala Kedah pada tahun 1995?

Jangan lupa, ketika Gerakan Reformasi tengah panas selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan, wartawan TV3 tak berani naik kereta ada logo syarikat takut kena baling batu?

Ada gambar kejadian macam mana serangan puak-puak reformasi ke atas kenderaan wartawan TV3 dan krew yang berada di dalamnya.

Bagi yang kata itu cerita lama, baiklah, ingat dua tahun lalu, kisah seorang jurugambar akhbar Cina di Pulau Pinang, dikasari oleh bodyguard yang ditugaskan PKR mengawal presiden parti itu...

samadmajidJuga kisah Wartawan RTM Kedah, Samad Majid (gambar)yang kena maki hamun dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika tanya soalan bantuan banjir yang 'slow' dari kerajaan negeri?

Terkebil-kebil Samad Majid kena bambu kaw-kaw dengan Ustaz Azizan sedangkan beliau baru sahaja tanya soalan pertama, belum apa-apa lagi dah kena sergah.

Lagi fakta menarik mengenai kebebasan media ala Pakatan Rakyat adalah apabila kerajaan DAP Pulau Pinang menghalang akhbar Utusan Malaysia dan NST membuat liputan majlis-majlis rasmi kerajaan negeri.

Ketua Menteri Lim Guan Eng ketika diminta mengulas menyatakan bahawa langkah itu sebagai usaha 'mempertahankan diri'.

Ooo bila kena atas kepala sendiri, pandai sebut 'mempertahankan diri'?

Itu belum sentuh bab Anwar Ibrahim yang suka buli dan memalukan wartawan dalam sidang-sidang akhbar beliau.

Pengalaman kami di Agendadaily, paling kerap kena buli oleh Anwar Ibrahim masa cover sidang medianya.

"Ya, ini soalan UMNO..."  ayat yang kerap keluar dari mulutnya bila tidak puas hati dengan soalan yang ditanya,.

Siapa lupa wartawan TV3 Nik Suriani Megat Deraman (gambar bawah) yang disergah Anwar ketika Pilihanraya Negeri Sarawak 2011. Sebabnya mudah, Nik Suriani tanya soalan mengenai Jam Omega yang ketika itu tengah panas dan diperkatakan orang ramai.

Anwar tidak jawab soalan tersebut, sebaliknya mengatakan soalan upahan UMNO, Nik Suriani minta Anwar jawab soalan asal, Anwar 'angin' terus berleter bukan-bukan terhadap beliau.

Apakah Anwar tidak tahu bahawa tugas wartawan bukan hanya tanya soalan 'bola tanggung' sahaja, ada kalanya kita hendak tanya soalan yang orang ramai hendak tahu walaupun ada ahli politik yang tidak berkenan.

niksurianiYang kenal dengan gaya Anwar semasa sidang akhbar, bila soalan dia tidak berkenan, dia akan tanya, dari mana, ini soalan UMNO, UMNO upah, dan segala macam lagi. Membuli dan memalukan wartawan tersebut depan kawan-kawan lain yang turut serta dalam sidang media itu.

Oh ya, soalan lain yang kerap ditanya di hari menyambut kebebasan akhbar sedunia ini adalah, apakah di Malaysia wujud kebebasan media?

Bagi yang kerap cover sidang media politik ini, tahu bukan tidak ada tetapi berlebihan.

Di Malaysia untuk tubuhkan syarikat media paling senang, tidak payah modal berjuta-juta. Dengan portal berita, cop dan alamat syarikat sudah boleh mohon PAS MEDIA Kementerian Penerangan dan sah jadi petugas media di negara ini.

Syarikat media tumbuh macam cendawan, puluhan, bayangkan untuk perhimpunan Agung UMNO 2011, jumlah wartawan yang berdaftar nak buat liputan adalah 1,540. Hendak sama banyak dengan perwakilan UMNO yang datang bersidang.

Apakah tidak ada kebebasan media di Malaysia? Bagi yang selalu cover program PM, kadang-kadang naik menyampah dengan gelagat kawan-kawan wartawan sendiri. Jika dulu, hanya wartawan senior yang dihantar untuk tugas cover PM, sekarang sesiapa saja yang ada pas media sudah boleh datang.

Ada yang baru setahun dua, jadi wartawan, tanya soalan remeh-temeh untuk level PM jawab sehingga memalukan kawan-kawan wartawan lain.

Akhirnya, bagus wartawan perjuangankan kebebasan media, dengan syarat, jangan kebebasan segelintir saja, sedangkan yang majoriti, kita lupakan. Selamat hari kebebasan media sedunia.3/5/2012ikon-helmexx

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 348  tetamu dalam talian