18September2020

Agenda Daily

Datuk Bad, doa raja dan guru bahasa

ikon-helmexxSeperti ramai di antara kawan-kawannya, saya juga merindui tulisan Datuk Bad –Badrul Hisham Abdul Aziz yang meninggalkan kita semua pada Jumaat 17 Febuari lalu.

Selalunya, pada setiap Selasa, dia akan mengirimkan tulisan untuk kolumnya Wartawan, Ahli Dewan, Tak Ketahuan yang diringkaskan jadi WADTK.

Biasanya Selasa, jika beliau sihat, jika sakit-sakit atau punya urusan mendesak akan dilewatkan sehari dua tapi akan tetap ditulisnya. Jika saya terlambat untuk memasukkan tulisan tersebut ke ruangannya, beliau akan SMS mengingatkan bahawa tulisan telah dihantar dan minta segera dimasukkan.

Datuk Bad, begitu saya memanggilnya, seorang yang kelakar dan mudah mesra. Beliau antara bos paling sempoi yang pernah saya berkerja sepanjang 12 tahun jadi wartawan.

Biarpun pernah menjadi Ahli Parlimen dan bergiat aktif dalam UMNO, saya merasakan Datuk Bad paling bangga menjadi wartawan dan sudah tentu wartawan di Utusan Malaysia. Beliau banyak anekdot politik sepanjang kerjayanya dan itulah yang jadi modal beliau menulis kolum juga berbual terutamanya ketika dalam kereta.

Sejak sakit-sakit, beliau jarang memandu, jika hendak ke mana-mana atas urusan kerja, saya akan mengambilnya di rumah, ini kerana kami satu kariah, Bangi.

Pernah sekali kami berkereta ke Janda Baik untuk temubual Uncle Seekers anak pak Habib AKA Syed Hussein Al Atas yang bikin panas cerita hubungan beliau dengan bekas permaisuri Siti Aishah tidak lama dulu.

Perjalanan petang itu dari KL ke Janda Baik, dengan kesesakan sepanjang MRR2, tidak terasa dek kerana anekdot-anekdot Datuk Bad terutamanya berhubung subjek ‘Siti Aishah’.

Datuk Bad semasa jadi wartawan memang dikenali cukup baik dengan Istana Selangor terutamanya Almarhum Tuanku Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Rapat sehingga Almarhum Tuanku tidak memanggilnya dengan nama asalnya Badrul, sebaliknya Tuanku memanggil Datuk Bad dengan gelaran Mok, Pak Mok atau Si Gemuk kerana berat badannya.

Memang ada antara kawan-kawan lama beliau di Utusan kekal memanggilnya Bad Gemuk walaupun sudah bergelar MP dan Datuk.

Hubungan rapat dengan Istana jugalah yang menyebabkan beliau pernah dibawa bercuti ke Florida bersama-sama Almarhum lebih 10 hari.

“Kalau hendak pergi sendiri, sampai matilah tak pergi, masa tu aku Penolong Pengarang Berita saja,” cerita beliau.

bad-libya1Barangkali percutian ‘Diraja’ itu antara perkara baik yang berlaku dalam hidup Datuk Bad sehingga beliau tidak henti-henti bercerita berkenaan itu.

Apa yang menariknya, hubungan beliau bukan saja rapat dengan Almarhum bahkan puterinya juga Tengku Zahariah atau Ku Yah.

Semasa kami di Janda Baik, sengaja beliau suruh saya pusing satu round untuk tunjuk banglo yang Ku Yah tawarkan kepada beliau dengan harga RM180 ribu sahaja.

“Sayang aku tak ambik, masa itu duit tak ada,” katanya menyesal tak sudah.

Selepas percutian ‘Diraja” yang berlaku sekitar tahun 1994 itulah, tersebar cakap-cakap di kalangan wartawan dan ahli politik Selangor beliau orang yang rapat dengan Istana sehingga tidak disedari mencerahkan karier politiknya.

Beliau tidak melobi, tapi entah mengapa Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menamakan beliau sebagai calon BN untuk kerusi Parlimen di Hulu Langat pada 1995.

Menurut Datuk Bad, satu hari Almarhum Tuanku Salahuddin dijadual merasmikan Masjid Batu 14 Hulu Langat dalam kawasan Parlimen yang diwakili beliau.

Kerana yang rasmi itu Sultan, maka penuhlah masjid dengan pembesar-pembesar termasuk MB Tan Sri Mat Taib dan wakil-wakil rakyat Selangor.

Tiba-tiba Mat Taib memperkenalkan Datuk Bad sebagai MP baru bagi Parlimen Hulu Langat kepada Almarhum.

``Aku ingat Tuanku bertitah, Si Gemuk ni kalau bukan aku yang doakan, tak menanglah dia,'' cerita Datuk Bad, titah Almarhum Tuanku itu menyebabkan ketawa besar hadirin dalam majlis tersebut.

Cerita-cerita anekdot seperti itulah yang menghidupkan kolum Datuk Bad, sehingga ditunggu-tunggu setiap episodnya.

Beliau juga seorang yang cukup sensitif terutamanya soal tugasan, pernah sekali, saya ke Mesir menyertai Ops Piramid bagi misi menyelamatkan pelajar dan rakyat Malaysia awal tahun lepas.

Ada satu kejadian ngeri di mana saya dan kawan-kawan wartawan terperangkap dalam masa perintah berkurung dan melalui malam yang panjang menempuh lebih 30 sekatan untuk balik ke hotel di negara bergolak itu.

Saya menulisnya seperti biasa, hanya sebagai catatan seorang wartawan, tapi Datuk Bad, membacanya dengan air mata, hatinya terusik mengenang kepayahan serupa semasa beliau bertugas di Afghanistan.

Dan ia tulis dalam kolumnya.

Selain kolumnya, saya atau barangkali kami di Agendadaily akan mengenang beliau sebagai guru bahasa kami atau ‘Kamus Dewan bergerak”.

Pantang besar bagi Datuk Bad kalau menggunakan bahasa rojak, beliau pernah sekali menelefon saya yang sedang buat liputan dalam pilihanraya kecil Galas kerana saya menggunakan bahasa rojak dalam tulisan corat-coret.

bad-mpBab bahasa Datuk Bad tak ada kompromi.

Rakan sekerja saya Noor Hasilah Ismail punya cerita menarik bagaimana tegasnya Datuk Bad mengawal kesilapan ejaan kami.

Noor Hasilah dapat memo SMS dari Datuk Bad selepas buat typo-error dalam tulisannya.

“Jaga standard Agendadaily,” itulah SMS yang yang Noor Hasilah terima daripada Datuk Bad dua minggu sebelum kematiannya.

 “Lambat taip atau hantar story tak apa, yang penting, jaga standard Agendadaily,” begitulah pesanan Datuk Bad, kata Noor Hasilan ketika kami mengenang semula Allahyarham.

Saya tersenyum, sebab tidak ada siapa tahu, termasuk bos Agendadaily, Rosli Ismail, Datuk Bad pernah memanggil saya ke rumahnya untuk ‘disekolahkan’ mengenai penggunaan bahasa yang betul berdasarkan standard Dewan Bahasa.

Tiga jam saya kena leter, cukup-cukup, siap tunjuk kamus, siap bagi nota perkataan yang boleh guna dan tidak boleh guna berdasarkan ayat.

‘Sekolahnya’ dalam gurau ketawa, sambil dihidangkan keropok lekor dan air teh O,  cukup terkesan saya dan sebelum pulang, Datuk Bad tunjukkan email seorang pelajar universiti yang merungut tentang bahasa rojak Agendadaily.

“Ooo, itulah sebabnya,” fikir saya, sambil mengambil nota-nota yang sudah siap dicetak yang dibekalkan Datuk Bad kepada saya.

Nota itu, saya lekatkan di dinding meja kerja, dan akan dirujuk dari masa ke semasa, terutamanya ketika terkeliru, misalnya hendak guna “bila ke apabila…”

Hari ini hari Selasa, sudah dua minggu saya merindui kolum Datuk Bad, saya tahu, saya tidak akan membacanya lagi.

Kepada Datuk Bad, terima kasih kerana tidak lokek berkongsi kenangan dan tunjuk ajar selama ini, semoga Allah SWT menempatkan Datuk Bad di sisiNya, di sisi orang-orang yang beriman. Al Fatihah-6/3/2012

*Caption: Datuk Bad (kanan sekali) dalam satu trip ke Libya.

Datuk Bad (empat dari kanan) dengan pakaian rasmi Ahli Parlimen, bersama bekas bosnya, Tan Sri Muhammad Muhd Taib (dua dari kanan).

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 430  tetamu dalam talian