05Julai2020

Agenda Daily

Bersih 3.0: Ini cerita pengalaman saya...

bersihbawabudak1Selain tiga kali muntah sebab terhidu gas pemedih mata, pengalaman peribadi saya membuat liputan di perhimpunan Bersih 3.0 ini amat menghiburkan.Menghiburkan kerana berpeluang melihat gelagat-gelagat manusia yang gila kuasa sehingga sanggup memperbodohkan penyokong sendiri, dan gelagat penyokong yang bodoh mengikut saja apa kata pemimpin.

Ada beberapa anetdot peribadi yang saya ingin kongsikan.

Pertama ketika menggunakan komuter dari Bangi ke KL Sentral  seawal jam 7.00 pagi. Memang sesak, di setiap perhentian ada saja geng baju kuning naik, di Stesen Bangi, UKM, Kajang, soladiriti sesama mereka pula tinggi, sanggup berhimpit-himpit demi Bersih 3.0.

“Baju kuning sila masuk,” kata salah seorang peserta dalam komuter tatkala keadaan padat dan sesak itu.

Di setiap perhentian, orang yang sama, ucap yang sama, kira macam penyambut tetamu pulak. Cuba selepas perhentian Serdang, yang memang sah-sah geng baju kuning ramai sungguh, sebelum sempat orang itu jemput geng baju kuning dia masuk.

Ada satu makcik, sambil berdiri, dengan selamba berkata, “Kuning tak kuning, kalau nak bagi masuk, engkau keluar,”

Terkulat-kulat orang tadi, dan mengharapkan ada simpati, tapi semua senyap, ya lah dan terkepit setengah jam, bau wangi jadi masam, apa lagi nak soladiriti, sendiri-sendirilah jawabnya.

Sebaik sampai di KL Sentral suasananya meriah, macam biasa, di mana-mana baju kuning menguasai tempat. Saya bertukar ambil LRT ke Masjid Jamek. Atas LRT, geng baju kuning sekali lagi menguasai gerabak.

Saya dengar perbualan begini;

“Eh ada lukisan (grafity)… panjang pulak ni…” kata seorang geng baju kuning kehairanan lihat graffiti sepanjang Sungai Klang dari arah KL Sentral ke Pasar Seni.

“Ha itu semua penagih dadah buat tu, DBKL tak bagi, dia tangkap kalau nampak…” kata kawannya dari gaya bercakap macam orang Terengganu.

Saya dalam hati ketawa sendirian, sebab tahu gravity sepanjang Sungai Kelang itu dibuat dalam satu pertandingan anjuran DBKL. Dan sah-sah geng Bersih itu ‘orang luar’ yang hendak buat-buat tahu kepada kawannya.

bersihceriaApabila sampai saya lihat, barangkali ini kali pertama, manusia bersidai kiri dan kanan Jalan Tun Perak, dengan aman, tidak ada langsung polis.

Ketika itu dalam pukul 8.20 pagi, hanya peserta Bersih yang dari seluruh negara berkumpul. Tengok cara muka, saya rasa mereka juga baru sampai, nampak keletihan, tapi bersemangat.

Agendadaily ambil sewa bilik di hotel Swiss, jadi ‘markas’ sementara untuk memudahkan kerja-kerja semasa membuat liputan di lapangan. Hotel Swiss kedudukannya paling hampir dengan Dataran Merdeka, betul-betul di permulaan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan simpang empat antara Jalan Tun Perak dan Dataran.

Amat strategik. Sehinggakan selain jadi tempat media-media, ada juga beberapa pemimpin pembangkang menginap di situ, selain rombongan peserta Bersih.

Bilik penuh, kata pekerja hotel, walaupun dah booking, namun hanya boleh masuk lepas jam dua. Pujuk punya pujuk boleh masuk jam 12.00 tengahhari.

Jadi sesi pagi, selepas makan, jurugambar kami, Hiekal bergerak naik motor untuk merakam suasana di Jalan Sultan, Petaling Street, Masjid Jamek, Sogo. Kami berpecah-pecah. Roslan Bian jaga Puduraya dan Dataran, Lukman Abdullah bersiap sedia di Masjid Negara. Shila Ismail di Sogo dan saya di Jalan TAR dan  Dataran.

Di sekitar Dataran suasananya aman-aman saja. Meriah dengan macam-macam slogan dan aksi. Ada ‘kugiran rakyat’ ada ‘power rangers’ boleh kata ketika jam 1.00 petang, memang sepanjang jalan Tun Perak sehingga ke arah Jalan Kinabalu, di bawah laluan LRT itu penuh manusia.

Mereka berteduh dari panas matahari.

Suasana bertukar panas dan tegang apabila pemimpin pembangkang mula sampai dan ‘hijack’ perhimpunan tersebut. Bermula dengan Nurul Izzah yang berucap di Masjid Jamek, kemudian Azmin Ali berucap di depan Dataran.

Sampailah Anwar yang bergerak dari Masjid Negara tiba ke Dataran dan sebuah kereta Toyota Hilux yang entah dari mana sampai jadi pentas untuk Anwar ceramah.

bersihazminrempuhKeadaan bising dan tegang, saya tidak dengar apa lagi, Cuma, sebaik saja Anwar selesai berucap, tiba-tiba sekumpulan budak-budak Bersih menarik pagar dan mula berlari merempuh ke arah Dataran. Yang menariknya, masa mula-mula budak-budak itu merempuh, polis yang jaga dalam Dataran pun lari sama berundur ke belakang.

Saya lihat polis lari ke belakang, teringat orang cerita pasal tsunami, sebelum jadi, ombak surut secara tiba-tiba. Dalam seminit, tak sempat apapun, berdesus-desus tembakan gas pemedih mata, sebelum itu semburan air water cannon.

Sambil berlari sambil telefon bos, cakap budak-budak Bersih dan rempuh Dataran. Tercungap-cungap lari panjat hotel, lif tak boleh pakai, ramai-ramai sekali dengan peserta yang berlindung.

Lukman sudah ‘pengsan’. Dia betul-betul ‘flat’ kena asak segala arah, terbaring dalam bilik hotel bila saya masuk. Sebab keadaan dalam hotel yang tertutup, susah saya hendak hantar report pada bos, saya keluar dari bilik ke tangga kecemasan.

Sambil cakap dengan bos, tiba-tiba sekumpulan peserta lelaki, perempuan berkejar, saya tolak pintu bilik hendak masuk mereka pun rempuh, ikut masuk sama.

“Tolong adik, tolong kami kena halau,” kata mereka.

Lukman yang terbaring, terkejut. Tiba-tiba orang rempuh masuk bilik. Saya hendak kata apalagi. Semua orang Melayu kita, tengok muka, saya tahu mereka ketakutan. Ada enam orang, dua perempuan, empat lelaki, dari umur 30-an sampai ke 60 an.

Bila kumpulan pertama berjaya masuk, ada kumpulan kedua pun hendak rempuh sama, saya sudah angin, saya kata “dah penuh”. Dengan selambanya. Cukuplah lima yang ada, campur saya dan Lukman jadi tujuh orang, bilik RM120, sekangkang kera, dengan Hiekal dan Roslan entah ke mana.

Dalam rungsing dan kusut saya masih sempat hantar report pada bos. Lukman yang tidak selesa, bangun dari ‘pengsan’ keluar bawa diri. Tinggal saya seorang diri, dengan wajah semanis mungkin melayan ‘tetamu’.

Kami berbual-bual, dan saya sesekali keluar bilik periksa keadaan apakah sudah selamat untuk mereka keluar atau belum. Dari tingkat atas bangunan, saya lihat polis menahan orang yang memakai baju kuning.

Saya turun dan cakap, belum selamat. Dua tiga kali juga kerja saya jadi ‘spy leman’ untuk periksa jalan buat tetamu-tetamu saya. Dalam hati saya simpati. Saya tahu satu-satunya kesalahan mereka adalah percaya pembohongan pemimpin pembangkang.

Dalam bilik yang sempit itu, kami jadi mesra bertukar cerita, sekali itu, saya periksa laporan portal pembangkang yang kata kehadiran cecah 100,000.

Pakcik paling tua, orang Kelantan, dengan serta merta membantah.

“Satu juta, mana boleh seratus ribu, dekat sini (Dataran) saja dah 500.000 ribu,” beriya-iya dia bercakap. Saya pun tak ada mood nak bertengkar atau cerita macam mana media buat andaian. Saya pun iyakan saja.

Lepas keadaan dan selamat, saya beritahu mereka, dan mereka pun minta diri.

Saya sambung buat kerja yang terbengkalai, lama kemudian, tiba-tiba saya sedar, bawah katil, ada beg plastic, bila saya buka, isinya dua helai baju Bersih dan topi.

Saya syak memang sengaja baju tersebut ditinggalkan sebab kedudukannya agak tersorok bawah katil. Saya ingat, bila saya masuk bilik dan beritahu polis hantar orang pakai baju kuning wajah mereka berubah. Hehe.

Ya, pengalaman saya amat sederhana, tidak ada adegan-adegan ganas kecuali muntah tiga kali sebab terhidu gas pemedih mata semasa peserta Bersih cuba rempuh Dataran. Selainnya, di perhimpunan Bersih 3.0 ini, saya lebih terhibur melihat gelagat-gelagat manusia.

Oh ya, penting untuk saya catatkan, dari tingkat paling atas hotel ini, ketika saya meninjau ke bawah sebaik keadaan terkawal dan jalan lenggang. Bukan bersih yang saya nampak, sebaliknya sampah sarah dan kotoran di mana-mana, yang ditinggalkan peserta.

Ada pasu pecah, motor rosak, kereta kemek, saya juga lihat seorang kakak ditemani suaminya (barangkali) datang mengais-gais sampah seperti mencari sesuatu. Mungkin rantai leher, mungkin gelang tangan, saya tidak pasti. Dari jauh saya lihat wajahnya suram, penuh kesal.

Hmmm… sendiri buat, sendiri tanggung…-28/4/2012ikon-helmexx

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 413  tetamu dalam talian